"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kekejaman Di depan Kaabah - kisah haji

HishamAhmad
Kekejaman sedang berleluasa berlaku di Syria, Mesir, Iraq, Myanmar, Afrika dan banyak lagi tempat di muka bumi ini. Bagaimana dengan Malaysia?

Memali? Fikirlah sendiri.

Selagi ada orang zalim, selagi itu ada risiko berlaku kekejaman, kezaliman. Risiko kepada kezaliman, meningkat berkali ganda sekiranya kuasa (pemerintahan, politik) berada di tangan orang zalim.

Kezaliman, kekejaman juga pernah disaksi berlaku di tanah yang diberkati, Mekah Mukaramah. Bahkan, dilakukan dihadapan kaabah. Depan multazam. Di musim Haji.

Sungguhlah kekejaman itu tidak mengenal tempat! Sebabnya, manusia yang kejam itu tidak mengenal erti kemanusiaan! Jadi apa hal perlu dibezakan tempat untuk berlaku kejam dan zalim.

Sukar untuk percaya? Percayalah.

Ini kisah semasa musim haji. Kisah benar. Melalui pengalaman diri dan penyaksian mata sendiri.

Ketika itu Abu Dubeis berada sekitar di depan Multazam. Lebih tepat lagi di depan pintu Kaabah sambil memerhatikan suasana. Ketika itu diwaktu malam. Mungkin selepas solat maghrib. Mulanya timbul hasrat untuk mencuba, tetapi akhirnya dibatalkan sahaja.

Keadaan begitu sesak dan mencabar di depan Hajar Aswad. Abu Dubeis melihat polis beruniform bekerja keras mengawal suasana dan kekadang menegur dan menjerit. Ada kala memukul jemaah dengan belantannya.

Ketika itu ada seorang polis di bahagian bawah di sekitar depan pintu Kaabah. Tidak tahulah sama ada dia baru sampai untuk bertukar ‘shift’ atau untuk membantu mengawal keadaan. Mereka kelihatan bercakap… antara yang di atas dan di bawah. Sambil tangan polis yang di atas menunjuk-nunjuk kepada seorang jemaah sama ada India, Pakistan atau Bangladesh. Polis yang di bawah kemudian bergerak kearah lelaki itu yang sedang mengadap ke arah pintu kaabah. Polis itu kini berada betul-betul dibelakang lelaki itu dan menunjukkan isyarat kepada polis (yang bergayut menjaga Hajar Aswad) itu sambil meminta pengesahan. Polis di atas kelihatan mengesahkan.

Tup! Satu tendangan berlutut dilakukan kepada jemaah itu dari belakang. Tup! tup! tup! Entahlah berapa kali. Sudah tak dapat diingati. Jemaah itu berpaling dan kelihatan kesakitan. Polis itu berbuat selamba. Jemaah itu kebingungan, ketakutan dan lalu cepat-cepat berlalu pergi. Kasihannya. Abu Dubeis mengagak, jemaah itu pasti dari kawasan Hajar Aswad dan mungkin telah menyebabkan kemarahan polis keselamatan.

Sukar untuk tidak mengatakan bahawa polis-polis itu telah berlaku jahat dan zalim. Polis lain tidak berpuashati, polis lain tolong belasahkan. Inilah semangat setiakawan dalam kejahilan. Tidakkah kerjasama perkara maksiat dan dosa, jawabnya, tentulah berdosa juga.

Sungguh berani mereka melakukan kezaliman dihadapan kaabah dan multazam. Ketika manusia sedang asyik bertawaf. Berakal sempunakah mereka? Itulah yang kita takuti. Nasihatkan orang-orang yang disayangi, dalam memilih kerja, perlu berhati-hati. Jangan kerja itu merubah kita dari mulia kepada durjana.

Kalau kerja kita sudah bergelumang dengan aktiviti kekasaran, mula-mula pukul kerana keterpaksaan. Sekali-sekala kerana hilang kesabaran, tidak terkawal kemarahan. Kemudian jadi kebiasaan. Lama-lama, takut-takut jadi kesukaan. Kalau dah hari-hari. Setiap hari begini, kita takut ia menjadi sebati. Lalu akhirnya, alah tegal bisa, biasa. [1]

Teringatkan jemaah lelaki tadi. Entah dapat atau tidak, mengucup Hajar Aswad. Pasti dia telah berjuang hebat untuk mencuba.

Kerana cinta, dia dibelasah. Kerana cinta dia disakiti. Pasti dia pulang dengan kenangan pahit yang takkan dilupai.

Ini adalah sebahagian kisah dpd isikandung buku Haji 2013 bertajuk Baitullah Aku Datang, (Terbiran Karangkraf- Karya Bestari boleh didapati di Pesta Buku Antarabangsa 2014 (bermula 24 April).

hisham-ahmad.blogspot.com
-----------------------------------------------
[1] Begitulah juga ujian seumpama. Bidang perbankan Riba dan urusan kewangan Riba. Mula-mula rasa bersalah tetapi terlibat beralasankan darurat. Lama-kelamaan, bila duit asyik ‘masyuk’, hati makin syok.

Tiada ulasan: