HishamAhmad
Tanpa Wardina menimbulkan isu ini, saya mungkin tidak sedar kewujudan telaga B dan kisah pelik berkaitan telaga B itu. Tanpa mengetahui sumber kisah itu datang dari Dr Zulkifli, tentulah sukar untuk saya percaya kisah yang dicerita oleh Ustaz Don tentang telaga B itu.
Namun apabila membaca baca sumber yang didedahkan oleh Dr Zulkifli, saya masih ‘risau’ dalam diam, bukan kepada kewujudan telaga B itu, tetapi kerana kisah yang diceritakan itu kerana ia masih sukar untuk diterima oleh akal fikiran saya. Walaupun begitu, saya menghargai pengemukaan dalil dan keterangan itu.
Ringkasan hasil penjelasan Dr Zulkifli:-
1. setelah dikemukakan hadith, athar dan pandangan ulama, sebagai tarjih, maka Dr Zulkilfi lebih cenderung kepada pendapat yang menyatakan ruh orang yang beriman di Jabiyah dan orang kafir di Barahut. (Dikuatkan oleh pendapat Ibn Qayyim dan pendapat Ibn Mandah).
2. Manakala kisah-cerita yang diambil oleh Ustaz Don daripada Dr Zulkifli ialah diambil daripada kitab al-Kabai'r oleh Imam al-Zahabi yang diyakini oleh beliau. (Kehebatan Imam al-Zahabi diketahui).Kisah hampir sama diceritakan oleh Umar bin Sulaiman, disebut dalam buku Bi’ru Barahut Rehlah Istiksyafiyah, Geografiyah al-Sunnah al-Nabawiyyah karya Dr. Anmar bin Yahya al-Jufri. Imam Ibn Hajar al-Haitami juga menyebut cerita yang sama seperti ini dalam kitabnya yang masyhur al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair.
3. Secara adil, Dr Zulkifli menyatakan mungkin ada sebahagian ilmuan yang tidak menerima kisah ini dengan merujuk pengtahqiq kitab al-Kabair iaitu Sayyid Ibrahim dan Sayyid al-Arabi, yang mengatakan riwayat kisah itu batil yang tidak wajib disebutnya sekalipun dalam bab Mau’izah (nasihat) kerana ia menafikan aqidah sahih dan akal yang sejahtera.
4. Walaupun ada yang tidak setuju, dengan nukilan membenarkan kisah itu oleh ramai ulama. Dr. Zulkifli berpendapat; tidak ada masalah untuk mengambil kisah ini sebagai peringatan dengan syarat tidak menjadikannya sebagai dalil.
Lalu sedikit analisa saya.
Kesimpulannya, pada saya, kewujudan telaga B ini adalah benar dan dipercayai. Namun kisah yang diceritakan mengenai ‘dialog dengan roh orang mati’ adalah isu yang lain. Berdasarkan ia bukan bersumber hadith atau hadith sahih, tetapi dibenarkan oleh beberapa ulama yang terbilang, maka tentulah sesiapa boleh memilih untuk percaya atau tidak percaya.
Namun setelah merujuk kepada beberapa sumber hujah yang lain, saya memilih untuk tidak mempercayai kisah ‘dialog dengan roh orang mati’ itu dan mempercayai kisah itu sebagai tidak berlaku kerana dan atas alasan:-
(1) menerima pandangan pentahqiq (Sayyid Ibrahim dan Sayyid al-Arabi) di atas yang dimaklumkan sendiri oleh Dr Zulkifli,
(2) sekalipun jika benarlah dikatakan Imam Zahabi ada merekodkan kisah ini dalam kitabnya, tanpa bukti dalil hadith yang sahih, saya tidak dapat bersetuju dan memilih mengikut akal fikiran munasabah saya bahawa kisah ini lebih wajar untuk tidak dipercayai berlaku.
(3) Tetapi saya memilih untuk percaya bahawa Imam Zahabi sebenarnya telah tidak merekodkan kisah itu dalam kitabnya, berdasarkan pandangan bahawa kitab al-Kabair yang banyak dicetak dan dijual dipasaran hari ini adalah kebanyakan versi palsu yang dinisbahkan kepada al-Zahabi. Kitab al-Kabair yang asli adalah amat ringkas dan ia tidak mengandungi kisah-kisah dan hikayat-hikayat, dan dalamnya tidak wujud kisah telaga Barahut. Kitab asli ini telah ditahqiq oleh Syaikh Muhyiddin Mistu dan dicetak oleh Maktabah Dar al-Turath, Madinah. Bahkan, Dr Abdul Basit yang mempunyai salinan kitab Muhyiddin Mistu itu telah memberi penjelasan bagaimana penulis ini menjumpai manuskrip asal kita Kabair yg ditulis oleh Imam Zahabi. Adalah tidak munasabah juga bagi keperibadian Imam Zahabi, seorang yang begitu terkenal dengan sifat ketelitian dalam memastikan kesahihan periwayatan dalam kitab-kitabnya, tiba-tiba ada satu kitabnya yang longgar dan memuatkan kisah2 yang tidak sahih.
Akhir kata, dalam keadaan terdapat 2 kemungkinan mengenai kisah ‘dialog dengan ruh’ di Telaga B itu, saya berpandangan bahawa, tidak menceritakan kisah ini kepada orang awam adalah lebih baik daripada menceritakannya kepada orang awam, khususnya di zaman sekarang ini.
Apakah pengajaran atau mesej yang cuba disampaikan dari kisah itu? Apa kebaikan penceritaan kisah ini contoh, jika di buat di dalam satu dewan di hadapan generasi muda? Kalau sekadar mesejnya untuk menakutkan manusia agar jangan aniaya orang, jangan pecah amanah, maka ianya boleh disampaikan melalui pelbagai kisah sahih yang lain.
Kisah dialog dengan ruh atau ada yang menyebut kisah ‘menyeru ruh’ dari telaga itu mempunyai mesej keburukan halus kerana boleh disalahguna dan diselewengkan bagi tujuan sesat dan khurafat.
Bayangkan bagaimana kalau ada orang atau kumpulan tertentu, selepas mendengar cerita pelik itu, mengatakan bahawa setelah mereka selalu melakukan kenduri tahlil, maka mengapa tidak pergi mencari telaga itu untuk menyeru roh-roh nenek moyang mereka. Jika tiada jawapan di situ, adakah maknanya roh-roh nenek moyang berada dalam keadaan baik. (Jangan ada nanti pakej pelancungan yang ambil kesempatan, sudahlah.)
Bagaimana kalau tiba-tiba bomoh yang cuba mengesan MH370 menggunakan alat-alat pelik dan dihukum sesat mendapat idea tentang kisah di telaga ini? atau menggunakan hujah kisah di telaga itu?
Kisah itu juga mempunyai unsur materialistik, masih tetap berkait dengan wang.
Maafkan saya, saya masih tidak dapat melihat kebijaksanaan penceritaan itu kepada masyarakat.
Bagaimana kalau agaknya, telaga zam-zam tidak ditutup dan masih terbuka kepada orang ramai yang pergi haji, setelah kisah ini diketahui umum?
Wallahu taala alam.
hisham ahmad.blogspot.com
2 ulasan:
Dicadangkan admin tonton http://www.youtube.com/watch?v=I5433g8OWaY terlebih dahulu. Sekiranya hendak membetulkan keadaan atau ingin bertanya, ada ruangnya tetapi bukan dlm media blogger spt ini.
Trima kasih sekali lagi wardina, gue terhutang budi sama lu, terjahan lu mengundang kecaman bbagai pihak Dan kebranian lu dihargai.
Catat Ulasan