Detikdaily
Dua ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang mengkritik lawatan “mewah” Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Dubai menyifatkan penjelasan Pejabat Timbalan Perdana Menteri berhubung perkara itu menimbulkan lebih banyak persoalan.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari membangkitkan kenapa pejabat Muhyiddin tidak menjelaskan keperluan membawa 17 pegawai bersama delegasi itu untuk lawatan lima hari minggu lalu. Senarai itu didakwa meliputi pegawai yang tidak penting.
Bukan sahaja keterlaluan menghantar 17 orang, lebih mengejutkan apabila mengetahui daripada 17 orang itu, tujuh daripadanya pegawai keselamatan, seorang pembantu peribadi dan seorang aide-de-camp.
Selainnya meliputi pembantu peribadi seperti empat pegawai khas, dua setiausaha politik, setiausaha akhbar dan setiausaha peribadi.
Soal ketiadaan pegawai Kementerian Pendidikan terlibat dalam lawatan itu, walaupun Putrajaya mendakwa lawatan itu melibatkan pameran industri pendidikan turut dibangkitkan.
Paling malang, dokumen bocor turut mendedahkan lawatan Muhyiddin diisi dengan pertemuan “peribadi”, jamuan makan malam “tidak formal” dan dua lawatan ke padang golf.
Salinan senarai 15 individu yang mengikuti Muhyiddin dan isterinya ke Muscat, Oman, Abu Dhabi dan Dubai, UAE turut didedahkan.
Tindakan Timbalan Perdana Menteri itu sangat bertentangan dengan pengumumam kerajaan yang sebelum ini telah mengumumkan 11 langkah penjimatan yang bakal dilakukan oleh kerajaan.
Muhyiddin didapati hanya mempunyai urusan rasmi selama 4 jam iaitu pada 9 April yang melibatkan Kementerian Pendidikan. Selebihnya hanya ditulis sebagai “private program” dan “free program” pada 10, 11 dan 12 April 2014.
Jadual yang dibocorkan itu akhirnya diakui sebagai draf awal dalam satu penjelasan oleh pihak menteri terbabit. Dalam penjelasan yang sama, pihak menteri bertanggungjawab tidak menyebut aktiviti pada tarikh 10 dan 11 April, hanya memaklumkan Muhyiddin menyertai satu acara golf rasmi yang dianjur oleh Tourism Malaysia pada 12 April 2014.
Lawatan kerja lima hari Muhyiddin ke Dubai lebih banyak dibazirkan dengan aktiviti golf berbanding urusan kerja, mengakibatkan pembaziran wang rakyat selaku pembayar cukai.
Jadual lawatan kerja Muhyiddin ke Dubai kononnya menghadiri pameran Pendidikan dan Latihan Teluk (Getex) 2014 diisi dengan program peribadi dan menghabiskan masa dengan acara golf.
Muhyiddin menghabiskan lima hari di Dubai untuk tiga jam program rasmi berkaitan pendidikan, 10 jam di padang golf dan dua hari untuk program peribadi.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan telah menerima peruntukan terbesar sebanyak RM54 bilion dan ini tidak bermakna ia boleh dibelanjakan secara tidak tentu hala.
Penyaluran peruntukan tersebut yang sepatutnya lebih kepada soal memajukan pendidikan negara dan bukannya untuk percutian mewah dengan pakej bermain golf.
Rakyat turut menuntut Kerajaan BN menjelaskan beberapa perkara berbangkit ekoran lawatan “wasatoyah songsang” Muhyiddin ini. Antaranya:
1. Nyatakan berapa jumlah delegasi termasuk staf kementerian, keluarga, setiausaha politik dan sebagainya.
2. Berapa jumlah perbelanjaan, penginapan, tiket-tiket penerbangan/ sewaan jet peribadi ke atas semua delegasi Muhyiddin dan keluarganya selama 6 hari dan 5 malam di Dubai?
3. Mengapa lawatan kerja rasmi ini mengambil masa terlalu lama untuk satu lokasi/negara? Rakyat sangat kecewa. Ketika negara diajak beramal dengan wasatiyah atau kesederhanaan, pemimpin utama negara masih leka dengan pemborosan dan keseronokan.
Inilah dinamakan “wasatiyah songsang.”
Ketika negara menghadapi jumlah hutang yang kritikal sehingga memaksa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenal, pembaziran umpama penganjuran satu percutian mewah tetap berlaku di kalangan menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan