"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amanah, parti kerdil dengan matlamat besar


Sheridan Mahavera
Amanah, parti serpihan PAS kini sedang berusaha memerangi pegangan ultra konservatif yang menyelusup masuk ke negara, peranan terbesar antara parti dalam Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2017.

AMANAH mungkin parti kerdil dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) tetapi kepentingannya menjangkaui keupayaannya meraih undi untuk pembangkang, kata Presiden Mohamad Sabu.

Berbanding rakan sekutunya yang lain, Amanah melihat dirinya sebagai perisai kepada kebangkitan ultra-konservatif Islam yang menyelusup masuk ke seluruh pelusuk Malaysia dan sedang berusaha melemahkan ikatan pelbagai kaum dan agama masyarakat negara ini.

Amanah, kata Mohamad, juga mahu menjadi perintis kepada ideologi Islam progresif yang menekankan kepada tadbir urus negara yang baik berbanding tadbir urus sedia ada yang menekankan kepatuhan berbanding nilai moral.

Disebabkan pendekatan ultra konservatif Islam inilah, ramai orang Melayu Islam takut untuk menukar pemimpin mereka biarpun pemimpin itu terbukti korup dan tidak cekap, katanya lagi.


"Masalah utama di dalam negara ini adalah orang agama. Bukan agama itu sendiri tetapi orang agama,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Bagi orang yang mengelar diri mereka Islamis, rasuah itu bukan isu besar di dalam negara yang majoritinya Muslim. Padahal dalam Islam itu sendiri, rasuah itu sesuatu yang jijik dan kotor, sehingga yang memberi dan menerimanya, tempat mereka dalam neraka. Ini yang Amanah mahu tukar.

"Sekarang mereka main isu Melayu-Islam... Iaitu kalau Melayu buat rasuah kita kena pertahankan kerana takut Cina memerintah."

Pemimpin Amanah seringkali menjadi kumpulan pertama yang mengecam kelompok ulama dan ilmuan agama yang totok termasuklah yang mempunyai kaitan dengan parti pemerintah Umno dan parti Islam, PAS.

Yang menjadikan Amanah sesuai untuk bercakap tentang Islam adalah kerana ramai pemimpinnya lulusan pengajian Islam atau mengenali konsep Islam memandangkan pengalaman mereka selaku bekas ahli PAS.

Pemimpin parti seperti Mujahid Yusof Rawa, Hanipa Maidin, Khalid Samad dan Mohamad Sabu sendiri sentiasa menjadi mereka yang pertama mengeluarkan pandangan dalam isu agama yang menjadi pertikaian.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata orang Islam tidak boleh terperangkap dalam budaya takfiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2017.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata orang Islam tidak boleh terperangkap dalam budaya takfiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2017.
Ini termasuklah isu undang-undang untuk menghentikan penukaran agama kanak-kanak bawah umur, usaha untuk mewujudkan Kod Keseksaan Islam (hudud dan qisas), tuduhan Kristianisasi dan murtad dituju kepada DAP.

Mereka juga bersedia menolak amalan takfiri yang berleluasa, apabila beberapa tokoh Islam seringkali mengkafirkan orang Islam yang lain.

Mohamad dan beberapa pemimpin Amanah turut menjadi mangsa amalan ini, menerusi dakwaan beberapa orang Islam menggunakan media sosial yang mendakwa beliau dan pemimpin Amanah yang lain boleh dibunuh.

"Budaya takfiri in telah menghancurkan Syria, Iraq, Somalia dan Afghanistan. Orang Muslim dikatakan boleh bom masjid, gereja, pasar awam. Ia satu ajaran yang akan menghancurkan dunia Islam, di mana orang Muslim diajar bunuh orang Muslim yang berlainan fahaman,” kata Mohamad.

"Saya tak mau gerakkan Islam berakhir dengan takfiri, sudah ada fatwa boleh bunuh orang, darah halal. Rakyat Syria dan Iraq dah terjerumus, kita sekarang (di Malaysia) pada peringkat permulaan.

"Sebab itu Amanah adalah parti yang dianggap akan mencegah budaya itu. Kalau tidak kita akan terperangkap dalam takfiri."

Amanah diasaskan oleh beberapa bekas pemimpin PAS seperti Mohamad yang meninggalkan parti Islam berusia 66 tahun itu pada 2015.

Tahun itu juga, beberapa tokoh utama PAS kehilangan jawatan parti mereka dalam pemilihan yang menyaksikan kumpulan ultra konservatif mengambil alih pentadbiran parti.

Amanah kini merupakan sebahagian daripada PH, bersama-sama dengan parti pelbagai kaum PKR dan DAP, serta parti Bumiputera, Bersatu.

Dibandingkan dengan rakannya yang lebih lama tertubuh dan mempunyai lebih ramai ahli, Amanah mempunyai hampir 100,000 ahli di seluruh negara.

Walaupun salah satu matlamatnya adalah untuk menyebarkan pendekatan “Islam itu rahmatulil alamin”, Amanah juga membuka pintu kepada orang bukan Islam menjadi ahli parti, mempunyai hak yang saksama dengan ahli beragama Islam. Ahli bukan Islam boleh mengundi dan memegang jawatan di peringkat tertinggi parti itu.

Dibandingkan dengan Umno yang hanya terbuka kepada orang Melayu Islam dan PAS yang hanya memerap ahli bukan Islam dalam salah satu sayapnya sahaja.

"Amanah mahu menukar akhlak orang Islam. Ia satu cita-cita yang panjang dan lebih besar dan saya mungkin tak akan nampak pada era saya. Tetapi ini yang Amanah nak buat kerana (good governance) adalah satu trend yang semakin menjadi di kalangan negara Muslim." – 21 September, 2017.

Tiada ulasan: