"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ceramah Pakatan dipenuhi kemarahan lawatan ‘bodoh’ Najib ke AS

Sheridan Mahavera 
KETIKA rakyat Malaysia terbeban dengan harga bahan makanan yang semakin tinggi dan berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan, pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak memutuskan untuk memberikan wang kepada Amerika Syarikat (AS).

Ketika negara terpaksa membuat pinjaman dari China untuk membina landasan kereta api merentasi negara, perdana menteri pula mahu membantu meningkatkan infrastruktur di AS.

Ini antara sentimen yang diluahkan di himpunan Pakatan Harapan (PH) di Kuala Lumpur malam tadi apabila rakyat biasa dan ahli politik meluahkan kemarahan mereka terhadap lawatan kerja Najib ke White House, baru-baru ini.

“Agak tak masuk akal kalau kita terpaksa berhutang dengan China bagi membina ECRL, tapi perdana menteri pula pergi labur duit Malaysia di Amerika untuk infrastruktur AS,” kata Wahab Anwar, 39, seorang jurutera.

“Ia satu kenyataan yang tak masuk akal dan kita persoal apa niat dia berbuat demikian. Ada banyak lagi benda yang dia boleh buat untuk orang Malaysia dengan duit itu.”

Dalam lawatan tiga harinya itu, Najib memberitahu Presiden Donald Trump yang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad bercadang untuk meluaskan pelaburan di AS, dan Malaysia akan membeli lebih banyak pesawat Boeing bagi membantu mengukuhkan ekonomi.

KWSP dijangka membuat pelaburan antara RM12.6 bilion dan RM16.8 bilion di AS.

Sebahagian wang KWSP dijangka dilaburkan dalam infrastruktur AS.

Pengumuman itu dikritik teruk oleh pembangkang.

Ceramah malam tadi, yang pertama diadakan susulan lawatan Najib ke AS.

Suri rumah, Marsitah Salleh sangat kecewa apabila Malaysia, negara yang ekonominya jauh lebih kecil berbanding AS, tetapi menolong negara maju itu.

Lebih membuatkan wanita berusia 57 tahun itu marah ialah perdana menteri selamba saja melakukannya.

“Dia ingat kita ni semua bodoh, kita tak nampak keputusan dia itu tak masuk akal.”

Pandangan mereka senada dengan ahli politik pembangkang di ceramah itu seperti Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, setiausaha agungnya Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden Pemuda Amanah Faiz Fadzil.

“Orang Malaysia dibebani dengan harga barang naik kerana nilai mata wang yang lemah, subsidi ditarik untuk petrol dan minyak masak, dan cukai GST.

“Tapi apa Najib buat? Dia jumpa Trump dan bagi Trump timbunan duit. Kita ada kekurangan infrastruktur di Sabah dan Sarawak tapi dia, duit bagi Amerika,” kata Saifuddin.

Saifuddin berkata janji dibuat oleh Najib kepada Trump tidak rasional kerana idea itu sama seperti Malaysia boleh mengajar Jerman cara bermain bola sepak dengan lebih baik.

Faiz turut mempersoalkan mengapa keputusan Najib ketika lawatan itu tidak dikritik oleh “Pak Lebai” tertentu, merujuk kepada tokoh agama dalam parti Islam, PAS.

“Ada Pak Lebai kata siasatan terhadap 1MDB campur tangan asing di dalam Malaysia.

“Tetapi apabila Najib pergi AS dan bagi duit, Pak Lebai ni sunyi sepi. Sepatah pun tak keluar lagi,” katanya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini pernah berkata siasatan Jabatan Kehakiman (DoJ) AS terhadap dakwaan wang 1MDB dicuri, adalah campur tangan asing terhadap hal ehwal Malaysia. – 17 September, 2017.

Tiada ulasan: