Zolkharnain Abidin Al-AbyadhiSeptember 21, 2017 10:45 pm
Mereka mengaku pejuang Islam. Kemudian mereka gambarkan perjuangan mereka begitu sukar, susah, penuh onak duri, nyawa terancam, kehidupan terhimpit.
Lalu mereka bacakan ayat al-Quran, hadis dan sirah Nabi tentang sulitnya berjuang Islam. Mereka termasuk kelompok orang yang dimaksudkan oleh ayat dan hadis itu. Pentaksub mereka pun angguk setuju dengan tafsiran itu.
Jika ditinjau, apa yang mereka namakan perjuangan Islam itu adalah perjuangan Islam dalam versi yang mereka cipta sendiri. Bahkan jika diteliti dengan jujur, perjuangan itu tidak menepati perjuangan Islam yang diwariskan oleh Nabi.
Perjuangan Islam Nabi penuh dengan kasih-sayang, menghormati manusia, mengelak perseteruan, membina hubungan baik dengan semua orang dan tidak memandang orang lain yang berbeza sebagai musuh agama.
Sementara perjuangan Islam yang mereka bawa tidak seperti perjuangan yang dibawa oleh Nabi. Dengan rasa suci diri, mereka bermusuh dengan semua orang yang berbeza, mempamerkan Islam dalam wajah tanpa toleransi dan suka melabel orang lain musuh Islam.
Ayat yang suka mereka baca adalah ayat perang, padahal ayat perang sesuai diimplementasi hukumnya dalam suasana perang, bukan suasana aman. Malaysia kini bukan dalam kancah perang seperti latarbelakang ayat yang dibaca itu.
Sambil mereka mengaku berjuang Islam dalam versi yang mereka cipta itu, mereka pun beritahu orang bahawa perjuangan Islam sukar dan payah. Seolah-olah mereka sudah mewarisi perjuangan Nabi yang sukar itu, dan merekalah pejuang Islam tulen.
Namun di sela-sela kesipongangan itu, hakikatnya mereka tidak susah pun. Mereka ada gaji dan elaun bulanan puluhan ribu sebagai MP, pakai kereta sedap, ke sana-sini naik ‘belon’ (kapalterbang), pangkal nama ada datuk, hadiah kereta mewah kepada isteri, ada yang ada isteri lebih daripada satu dan banyak lagi.
Mereka “berjuang Islam” dalam keadaan sebegitu mereka kata susah? Sukar? Payah? Nak bandingkan perjuangan mereka dengan perjuangan Nabi? Nak letakkan maksud ayat al-Quran tentang susah perjuangan untuk diri mereka?
Inilah yang boleh dinamakan candu agama, yakni menamakan sesuatu atas nama agama untuk menarik sokongan umum dengan labanya pulang kepada diri sendiri.
Namun pentaksub mereka tetap bertakbir, mereka tetap rasa diri mereka suci, dan hujan yang turun tanpa henti adalah simbol kemenangan mereka. Khurafat apakah yang sedang mereka promosikan?
____________________________
Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi ialah Pengarah Syariah AMANAH Nasional
Tiada ulasan:
Catat Ulasan