"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Soalan maut Rafizi buat pegawai khas Rosmah

Sejak bila pegawai kanan kerajaan campuri urusan politik, tanya Rafizi pada pegawai khas Rosmah

HUSEIN MAHAT

Menjawab lima soalan pegawai khas isteri perdana menteri berhubung Invoke dengan mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan, ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli mengemukakan pertanyaan balas kepada Datuk Seri Rizal Mansor; “Sejak bila pegawai kerajaan dibenarkan mencampuri urusan politik kepartian?”

Menurut Rafizi, semakan dengan Jabatan Perdana Menteri menunjukkan Rizal berpangkat Ketua Penolong Pengarah (KPP), Bahagian Khas, Pejabat Perdana Menteri dan gred perjawatan beliau boleh disahkan dari senarai rasmi perjawatan kerajaan bagi Bahagian Khas, Pejabat Perdana Menteri.

“Sebagai pegawai kanan kerajaan bergred M48 iaitu di dalam kumpulan pengurusan, Datuk Seri Rizal Mansor adalah tertakluk kepada Peraturan 21 (I), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, yang menetapkan bahawa pegawai awam dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional adalah dilarang daripada mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik,” ujarnya.

Rafizi merujuk pekeliling yang dikeluarkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam bertarikh 6 April 2009 berhubung perkara tersebut.

Sehubungan itu beliau hairan mengapa Rizal secara terbuka telah berkempen dan menyertai kegiatan-kegiatan politik yang antaranya berkempen secara rasmi bagi pihak BNdalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar tahun lalu; merasmikan mesyuarat agung tahunan Pemuda Umno Kelana Jaya; dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan politik dari semasa ke semasa termasuklah kenyataan terbaru berhubung Invoke.

“Oleh yang demikian, saya akan berbincang dengan rakan-rakan peguam untuk mengambil langkah membuat aduan rasmi kepada Jabatan Perkhidmatan Awam atas pelanggaran terang-terangan kepada satu peraturan utama penjawat awam yang sering digunakan untuk menghukum penjawat awam yang simpati kepada pembangkang selama ini,” tegas Rafizi yang juga naib presiden PKR.

Beliau juga akan membuat pelbagai tindakan susulan termasuk melalui parlimen untuk memastikan tindakan tatatertib diambil ke atas Rizal yang memperlekehkan peraturan membabitkan penjawat awam.

“Jika beliau dibiarkan berkelakuan begini, ia menimbulkan keadaan tidak adil jika ada penjawat awam yang lain juga bergiat aktif di dalam politik tetapi diambil tindakan,” katanya.

Menurut Rafizi, walaupun lima soalan yang ditanya Rizal adalah satu ‘serangan politik’ bertujuan menunjukkan beliau ‘mencuri wang’ melalui satu pertubuhan sukarelawan pilihan raya iaitu Invoke, beliau tetap menghormati hak setiap rakyat untuk mendapatkan maklumat mengenai tatakelola kewangan Invoke.

Dalam kenyataan medianya itu, Rafizi turut menjawab soalan Rizal berhubung sumber kewangan Invoke, isu sukarelawan, pelaburan wang ASB dan Tabung Haji miliknya ke dalam Invoke, sewa pejabat Invoke di seluruh negara, serta gaji, caruman Perkeso dan KWSP kakitangan Invoke.

Kesemua jawapan Rafizi berhubung isu-isu dibangkitkan pembantu khas isteri perdana menteri itu disertakan dengan dokumen berkaitan dan boleh dicapai di internet.

“Saya telah menjawab secara terperinci setiap soalan yang ditanyakan. Saya lakukan ini dengan hati yang terbuka kerana saya yakin jika kita tidak menyeleweng, jika kita tidak pecah amanah, kita tidak perlu takut kepada sesiapa untuk berlaku telus.

“Oleh kerana saya telah berlaku setelus-telusnya dengan setiap perkara yang dibangkitkan, maka wajarlah Datuk Seri Rizal menasihati Datin Seri Rosmah dan Datuk Seri Najib untuk turut berlaku telus seperti saya dalam urusan kewangan dan kerja-kerja politik saya,” tegas beliau.

Sehubungan itu, Rafizi berjanji akan mengusulkan soalan-soalan balas kepadaNajib dan Rosmah dalam masa terdekat sebagai membalas inisiatif Rizal yang menuntut ketelusan beliau dalam hal ehwal kewangan Invoke.

Tiada ulasan: