"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

TMJ: Anwar perlu lebih tegas, tak boleh jaga hati semua

Chia Wan Rou

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim perlu lebih tegas dalam membuat keputusan membabitkan kepentingan negara.

“Memang niat nak buat sesuatu itu ada, tapi dia perlu ‘laksana lebih banyak’ atau berani dalam membuat sebarang keputusan, tak boleh jaga hati setiap orang. Buat apa saja keputusan demi kebaikan negara, sungguhpun kadangkala perlu jadi pembenci.

“Mungkin (dia) ambil jalan terlalu selamat,” katanya dalam podcast “Keluar Sekejap” kendalian bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin dan bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Baginda berkata, selain usia, kelayakan juga ukuran penting dalam menentukan kesesuaian seseorang menjadi ahli politik.

“Kalau anda muda, tetapi lebih kepada populis dengan hanya bercakap berdasarkan teori tanpa praktik, anda tak patut berada dalam bidang politik.

“Bukan nak kata usia, tetapi pandangan yang tidak begitu relevan dengan senario semasa negara. Tentu kita perlu orang muda dalam kerajaan atau politik, tapi bukan hanya berdasarkan usia, tetapi juga kelayakan.”

Tunku Ismail berpendapat, Umno mempunyai asas sebagai parti Melayu yang kuat, tetapi ia memerlukan individu berkualiti memimpinnya.

“Perlu ada seseorang yang mampu membawa dinamik berbeza, yang boleh kaitkan dengan senario negara kini mahupun masa depan.

“Kalau masih dengan sistem begitu lama macam sekarang, saya tak lihat Umno akan ada masa depan dalam negara, melainkan mereka berubah.”

Baginda juga berharap Khairy dan Shahril kembali ke pangkuan Umno bagi memajukan negara.

“Saya nak tengok orang-orang lebih layak berkhidmat dalam kerajaan, bukan berdasarkan senioriti, tetapi kelayakan. Itu sebab saya nak anda berdua kembali ke Umno.”

Baginda berkata demikian ketika ditanya rancangannya selepas menjadi Pemangku Raja Johor memandangkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan dilantik Yang di-Pertuan Agong ke-17 berkuat kuasa 31 Jan depan.

“Agenda pertama saya adalah meminta sedikit kelonggaran dan sokongan daripada kerajaan persekutuan supaya kami boleh menaikkan lagi mutu pendidikan di Johor.”

Mengulas pelantikan Khairy sebagai penasihat belia Johor dan ahli lembaga pengarah kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) biarpun dipecat Umno, Tunku Ismail berkata, usaha itu bagi memastikan kerelevanan dan penglibatan Khairy bersama rakyat.

“Itu cara saya untuk tunjuk kepada kepimpinan parti tersebut yang saya tidak setuju dengan keputusan beliau. Juga cara saya tunjuk sokongan, walaupun saya bukan dalam bidang politik. Kita memerlukan orang baik untuk mentadbir negara.”

Tiada ulasan: