"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adun Bersatu perbaharui ikrar, baiah depan Muhyiddin

Malaysakini

Bersatu hari ini mengakui langkah mereka mengambil alih kerajaan pusat terganggu ekoran langkah empat ahli parlimen mereka memberikan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, berkata perkembangan itu juga menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli parti terbabit khususnya di peringkat akar umbi.

"Trend ‘menyokong kerajaan tapi setia pada parti Bersatu' ini dilihat akan melemahkan usaha Bersatu dan mengugat peluang PN mengambil alih kepimpinan kerajaan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Razali yang juga exco Terengganu turut mengecam empat ahli parlimen Bersatu yang dianggapnya lemah dalam prinsip perjuangan dan mempertahankan keputusan parti untuk menjadi pembangkang.

Justeru kata Razali, hari ini semua ahli dewan undangan negeri (Adun) Bersatu dikumpulkan untuk bertemu dan melafazkan ikrar taat setia di depan presiden mereka, Muhyiddin Yassin.

"Saya telah mengatur satu perjumpaan khas semua Adun Bersatu dari seluruh Negara untuk bertemu YB Tan Sri Presiden Parti bagi menyatakan kesetiaan kepada parti melalui ikrar yang diperbaharui.

"Alhamdulillah keputusan sebulat suara bersetuju," katanya.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada Adun Nenggiri di Kelantan yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, turut hadir.

Mohd Azizi adalah ahli parlimen Bersatu yang ketiga menyatakan sokongan kepada Anwar. Dia berbuat demikian pada 7 Nov.

Langkah memberikan sokongan kepada perdana menteri itu didahului Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzukarnain Abdul Khalid pada 11 Okt lalu; diikuti Suhaili Abdul Rahman (Labuan) pada 30 Okt.

Selepas Mohd Azizi kurang dari 24 jam kemudian seorang lagi ahli parlimen Bersatu, Zahari Kechik (Jeli) turut mengambil langkah sama.

Desak ambil tindakan tegas

Dengan sokongan empat ahli parlimen itu Anwar dan kerajaan kini mendapat majoriti mutlak (lebih dua per tiga) dalam Dewan Rakyat.

Razali berkata Bersatu berharap dengan langkah melafazkan ikrar dan baiah kepada Muhyiddin itu keyakinan ahli parti kepada komitmen wakil rakyat mereka akan dapat dipulihkan.

Dalam perkembangan sama Razali juga mendakwa usaha mempengaruhi wakil rakyat Bersatu - sama ada ahli parlimen atau Adun - akan tetap berjalan.

Katanya banyak desakan agar parti mengambil tindakan tegas ke atas ahli parlimen terbabit kerana 'membelot' termasuk mahu mereka dipecat.

"Bagaimanapun apa-apa tindakan yang akan diambil perlulah mengikut peraturan dan perlembagaan parti melalui jawatankuasa disiplin.

"Tindakan disiplin kepada mana-mana ahli parti perlu mengikut merit kes kerana terdapatnya unsur-unsur tekanan, ugutan, pendakwaan dan pelbagai usaha dari pihak kerajaan serta ejen mereka bagi mempengaruhi ahli-ahli Bersatu mengubah sokongan," katanya.

Tiada ulasan: