DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Wanita Thailand cuba melarikan diri selepas terjun dari tingkat tiga sebuah hotel bajet di Melaka, semalam.
MELAKA – Seorang wanita warga Thailand nekad terjun dari tingkap tingkat tiga sebuah hotel bajet di sini bagi mengelak dicekup penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka dalam serbuan di sekitar Taman Melaka Raya, petang semalam.
Dalam operasi pada pukul 6 petang itu, wanita berusia 27 tahun terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya dicekup pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka, Anirwan Fauzee Mohd. Aini berkata, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung aktiviti seks yang ditawarkan oleh warga asing di kawasan berkenaan.
Katanya, dalam Op Gegar tersebut, seramai 17 individu berusia antara 25 sehingga 35 tahun diperiksa termasuk dua lelaki tempatan yang menjadi pelanggan.
“Hasil risikan selama dua minggu, kita berjaya menyerbu dan memeriksa 15 wanita warga asing yang dipercayai menawarkan perkhidmatan seks melalui WeChat dengan bayaran RM250 sehingga RM350 mengikut pakej disediakan.
“Bagaimanapun hanya lapan wanita warga Thailand, dua dari Indonesia dan masing-masing satu Vietnam serta Laos telah ditahan kerana disyaki telah melanggar syarat pas, selain tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, turut dirampas dalam serbuan itu adalah beberapa buku rekod pelanggan, kondom, pil pencegah hamil dan peralatan lain yang digunakan bagi tujuan seks.
Mengulas lanjut Anirwan berkata, semasa serbuan itu dilakukan seorang wanita Thailand bagaimanapun bertindak terjun dari tingkap tingkat tiga hotel tersebut sebelum dapat berpaut pada besi penghadang penyaman udara.
“Dia kemudian berjaya turun ke bawah tanpa mengalami sebarang kecederaan dan cuba melarikan diri dalam keadaan berkaki ayam.
“Beberapa wanita lain pula mengurungkan diri dan enggan membuka pintu apabila diketuk penguat kuasa,” ujarnya.
Katanya, sebanyak lima saman telah dikeluarkan ke atas pengurus hotel serta pelanggan untuk hadir ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Imigresen Melaka bagi membantu siasatan lanjut.
Jelasnya, kesemua wanita yang ditahan di bawa ke lokap Pejabat Bahagian Penguat Kuasa JIM di Ayer Keroh bagi tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan