"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hanya memiliki lesen motosikal untuk memandu bas persiaran dengan 40 penumpang

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

KAJANG: Seorang lelaki memberi alasan menggantikan tugas abangnya untuk memandu bas walaupun hanya mempunyai lesen motosikal.

Lelaki berusia 22 tahun berkenaan didapati memandu bas persiaran dengan kira-kira 40 penumpang termasuk warga asing yang bekerja sebagai kontraktor.

Katanya, dia dalam perjalanan membawa penumpang berkenaan dari tempat kerja di Serdang menuju asrama mereka di Kajang sebelum ditahan pihak berkuasa untuk pemeriksaan dalam Op Patuh Bersepadu di Plaza Tol Sungai Ramal, malam tadi.

"Selalunya abang saya yang bawa bas, saya hanya ganti sahaja sebab dia ada kenduri malam ini. Abang bagi upah RM30 untuk bawa bas ini kali ini (satu trip).

"Saya tahu bawa bas walaupun tiada lesen sebab selalu ikut abang bawa bas. Selalunya bas yang dibawa adalah bas kilang, namun hari ini kebetulan bas itu rosak dan bas persiaran ini disewa.

"Sebelum ini, saya pernah bawa bas beberapa kali dan ini kali pertama saya 'kantoi' bawa bas walaupun ada lesen motosikal sahaja," katanya yang bekerja sebagai penunggang e-hailing.

Tindakan lelaki berkenaan memandu bas tanpa lesen menyebabkan bas persiaran terbabit disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, sebanyak 5,223 kenderaan diperiksa di dalam operasi itu yang bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam tadi.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 281 kenderaan diambil tindakan dengan 531 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan serta empat kenderaan disita termasuk sebuah bas yang dipandu tanpa lesen.

"Kesalahan paling banyak dikesan dilakukan adalah kesalahan teknikal iaitu ubah suai seperti tayar motosikal serta nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Op Patuh Bersepadu di Plaza Tol Sungai Ramal, di sini, malam tadi, yang turut disertai agensi penguatkuasa yang lain.

Seramai 106 pegawai dan anggota penguatkuasa terdiri daripada JPJ, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) terbabit dalam operasi itu.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 55 saman polis dikeluarkan oleh pihak JSPT dalam operasi berkenaan.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, pihak JIM menahan 42 warga asing yang didapati melakukan kesalahan-kesalahan Imigresen.

"Pihak AADK pula menahan lima individu dengan empat daripadanya positif dadah jenis methaphetamin, manakala seorang lagi positif dadah jenis ganja," katanya.

Tiada ulasan: