"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guan Eng: Siti Mastura timbulkan ketakutan terhadap DAP, orang Cina

HarapanDaily.com

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menegaskan bahawa Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad menimbulkan ketakutan terhadap DAP dan orang Cina apabila mengaitkan Ahli Parlimen Bagan itu mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemimpin komunis, Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura.

Guan Eng berkata, Mastura secara terang-terangan menggunakan hubungan kekeluargaan yang sebenarnya tidak wujud dan jelas bersifat perkauman dan ekstremis.

“Apa yang membuatkan kelakuan Siti Mastura yang tidak bertanggungjawab ini menjadi lebih teruk ialah tiada langsung sebarang rasa sesal daripada beliau bahawa ucapannya penuh dengan kebencian dengan pembohongan, bersifat perkauman dan ekstremis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, jelasnya, Datuk Sankara Narayanan Nair dilantik untuk memulakan prosiding terhadap Siti Mastura, yang didakwa mengeluarkan ucapan kebencian, pembohongan serta fitnah jahat terhadap beliau dalam satu program di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu.

Sebelum ini, Guan Eng memberi tempoh 48 jam kepada Siti Mastura untuk mengemukakan bukti terhadap dakwaan beliau.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, dakwaan Mastura itu antaranya mengaitkan beliau dan bapanya, Tan Sri Lim Kit Siang sebagai sepupu kepada Chin Peng dan Kuan Yew.

Selain itu, katanya, Mastura turut mendakwa beberapa pimpinan DAP lain iaitu, Anthony Loke, Nga Kor Ming, Datuk Ngeh Koo Ham serta Teresa Kok, mempunyai pertalian saudara denggannya.

“Beliau enggan menunjukkan bukti mengenai dakwaan hubungan kekeluargaan tersebut, malah tidak langsung menarik balik atau memohon maaf di atas pembohongan dan fitnah jahatnya,” tambah Guan Eng.

Dalam masa sama, Guan Eng menggesa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pendirian mereka secara terbuka terhadap kenyataan yang dibuat Siti Mastura.

Tiada ulasan: