"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Teruskan boikot: ‘Banyak peluang kerja tersedia, perlu rajin mencari’ – Mufti

HarapanDaily.com

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata terdapat banyak peluang pekerjaan tersedia di negara ini tetapi hanya perlu rajin mencarinya.

Menurutnya, usaha memboikot produk berkait dengan Israel sekurang-kurangnya dapat memberi kesedaran kepada pemilik syarikat itu bahawa rakyat Malaysia adalah pencinta keamanan dan kedamaian.

“Rakyat negara ini juga membenci kekejaman, tidak kira pihak mana pun yang melakukannya.

“Semoga Allah SWT menambahkan rezeki-Nya kepada rakyat serta mengurniakan keselamatan dan keamanan berkekalan kepada negara,” dipetik BH.

Ribuan rakyat Palestin terbunuh, cedera dan hilang dalam runtuhan bangunan akibat keganasan Zionis Israel.

Wan Salim berkata demikian ketika mengulas mengenai kempen boikot produk dan syarikat yang berkaitan dengan Israel, sehingga memberi kesan kepada pendapatan pekerja tempatan.

Beliau menasihati masyarakat Islam supaya menunjukkan semangat setiakawan dan rasa simpati terhadap penderitaan saudara seagama di Palestin.

Semangat itu boleh ditunjukkan dengan melakukan boikot terhadap mana-mana syarikat dan produk yang membantu Israel.

Tegasnya, rakyat Palestin kini diserang secara membabi buta oleh regim Zionis yang mana masyarakat awam tidak bersenjata dijadikan sasaran.

“Ribuan rakyat Palestin terkorban dan menjadi mangsa kekejaman penjajah Israel.

“Apakah rakyat Malaysia tidak mahu menunjukkan sedikit rasa simpati terhadap penderitaan dialami mereka akibat kekejaman dan kezaliman musuh yang tidak berperi kemanusiaan ini dengan melakukan sedikit pengorbanan?

“Cuba bayangkan bagaimana perasaan kita jika terpaksa menghadapi ujian dan musibah seperti mana yang menimpa rakyat berkenaan?” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, orang Islam dibenar bekerja di syarikat terbabit mengikut hukum darurat jika tiada peluang pekerjaan lain dan hanya syarikat produk Israel sahaja menjadi sumber pendapatan yang ada.

Pengeboman tanpa henti pengganas Israel di Semenanjung Gaza menyaksikan hampir 10,000 rakyat Palestin terbunuh manakala sekurang-kurangnya 2,000 lagi masih belum dikesan dan dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan bangunan.

Dalam masa sama, lebih 24,000 cedera, dengan lebih 70 peratus daripada mereka terdiri kanak-kanak, wanita dan warga emas.

Jumlah tersebut dibimbangi terus bertambah selepas tentera Zionis Israel melancarkan lebih 100 serangan udara ke atas Bandar Gaza dalam tempoh kurang sejam semalam.

Serangan ganas itu yang menyasarkan pelbagai kawasan di barat laut, tengah dan barat daya Bandar Gaza itu tidak pernah berlaku sebelum ini sejak kekejaman terbaru tercetus.

Tiada ulasan: