Isu kenderaan baharu PM, polis buka kertas siasatan terhadap Chegubard
SITI NUR ZAWANI
Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen minggu lalu dengan menggunakan kenderaan baharu jenama Mercedes antara momen yang menarik perhatian media.
Kenderaan baharu jenis S- Class berwarna hitam dengan nombor pendaftaran VEV 1158 itu disedari digunakan Anwar semasa ke Parlimen pada Khamis.
Perkara itu bagaimanapun dijadikan modal oleh tentera siber pembangkang untuk menyerang Anwar.
Polis telah membuka kertas siasatan ke atas Chegu Bard atau Badrul Hisham Shaharin dan bekas Setiausaha Politik, Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhammad Zahid Md Arip berhubung kenyataan mereka berkaitan kenderaan mewah digunakan Anwar itu.
Kenderaan itu merupakan kurniaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kepada Perdana Menteri.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan dijalankan ke atas mereka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
“Ia susulan kenyataan dibuat mereka berkaitan kenderaan baharu digunakan Perdana Menteri yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Kita sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan memanggil mereka berdua bagi membantu siasatan,” katanya.
Sebelum ini sebuah portal menerusi laporannya memaklumkan, hasil semakan dan sumber telah mengesahkan kenderaan yang digunakan Perdana Menteri itu didaftarkan atas nama Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Malah nombor pendaftaran di kenderaan itu adalah sempena dengan bulan dan tahun keputeraan baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan