"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS mungkin hilang sokongan pengundi jika terus bersama Bersatu

Amirul Aiman

PETALING JAYA: Kerjasama berterusan PAS dengan Bersatu mungkin menyebabkan parti Islam itu hilang sokongan pengundi, kata dua penganalisis politik.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, masalah dalaman Bersatu akan memberi kesan negatif kepada PAS.

“Bersatu dilihat sangat lemah, bukan saja dalam kalangan pengundi bukan Melayu, tetapi juga pengundi Melayu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, enam Ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bukan disebabkan isu peruntukan atau Bersatu terus bersama PAS, tetapi kerana isu kepimpinan dalam parti.

Menurutnya, Bersatu bergantung kepada sokongan daripada PAS, bukan sebaliknya.

“Ya, PAS sangat retorik, tetapi dengan retorik mereka, mereka boleh dapat banyak sokongan orang Melayu. Mereka menguasai empat negeri sekarang, di mana orang Melayu membentuk majoriti.”

PAS kini menguasai Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Pada PRU15, PAS memenangi 43 kerusi Parlimen berbanding Bersatu dengan 31 kerusi.

Khamis lalu, Adun Bersatu, Abdul Rashid Asari dilaporkan berkata, sokongan kepada partinya akan terus berkurangan jika ia kekal sebagai sekutu PAS.

Awal Mac lalu, Adun Selat Klang itu mengisytiharkan sokongannya kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, selepas enam Ahli Parlimen Bersatu menyokong kepimpinan Anwar tanpa meninggalkan parti.

Enam Ahli Parlimen itu ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Sementara itu, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, Bersatu patut menyalahkan diri, bukannya PAS atas kemerosotan sokongannya.

“Jika Bersatu terus hilang sokongan, ia berpunca daripada kelemahan mereka sendiri yang menggugat kredibiliti mereka di mata orang Melayu.

“Mereka tidak patut menyalahkan PAS kerana parti itu sudah menyerahkan kepimpinan Perikatan Nasional kepada Bersatu, walaupun mempunyai lebih banyak kerusi Parlimen.”

Beliau berkata, Bersatu berada di bawah PAS dalam Perikatan Nasional disebabkan jumlah kerusi Parlimen dikuasainya.

“Ramai ahli politik Bersatu, walaupun bukan semua, masih membawa DNA Umno menyebabkan mereka sukar menerima jawatan bukan dominan dalam gabungan.”

Bersatu yang merupakan parti serpihan Umno ditubuhkan pada 2016 dengan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusinya. Hamzah Zainudin dan lima lagi bekas pemimpin Umno menyertai parti itu selepas PRU14 pada 2018.

Tiada ulasan: