"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saksi dakwa tak pernah goda atau ada hubungan dengan Ebit Lew

Bernama

TENOM, 24 Mei: Saksi kesembilan dalam kes gangguan seksual melibatkan Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret beliau tidak pernah menggoda mahupun mempunyai sebarang hubungan dengan pendakwah tersebut.

Wanita berusia 40-an itu berkata, beliau menghubungi Ebit Lew hanya untuk menyelesaikan masalah kekeluargaan dan tertuduh pada masa sama juga mengambil berat terhadap masalahnya.

Saksi itu berkata, tertuduh akan memberi pujian sebelum menghantar mesej-mesej berunsur lucah selain meminta gambar.

“Saya pun tidak pernah terfikir untuk jalinkan hubungan dengan Ebit (Lew) , apa lagi untuk tujuan seks,” kata saksi tersebut.

“Saya masih lagi layan mesej-mesejnya sehingga ada ketika saya ikut kehendak beliau yang meminta gambar saya.”

Wanita itu berkata demikian di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria pada perbicaraan hari ini.

Saksi berkata, beliau dikecam apabila membuat laporan polis terhadap Ebit Lew, malah ada pihak yang mendakwa beliau memfitnah tertuduh.

“Saya tidak ada keperluan (memfitnah tertuduh) dan saya tidak fitnah beliau,” katanya.

“Apa yang dia buat itu (gangguan seksual) memang betul dan dia (mempunyai) ramai mangsa pun betul, sebab dia mengaku kepada saya pada 29 Julai 2021.”

Wanita itu berkata, sepanjang Mac hingga Jun 2021, selain menerima mesej lucah, Ebit Lew juga membuat panggilan kepadanya melalui WhatsApp, serta panggilan video dan mesej di Instagram.

Ebit Lew, 38, berdepan 11 tuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah kepada mangsa menerusi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: