SITI NUR ZAWANI
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok terkejut apabila mendakwa beliau menerima sepucuk surat ugutan mati yang dihantar bersama dua butir peluru.
Menerusi hantaran di Facebook, Teresa berkata dia menyedari surat berkenaan ketika ingin mengambil surat di dalam peti surat sejurus pulang ke kediamannya malam tadi.
Beliau kemudian menyedari satu sampul yang mengandungi benda yang agak keras sebelum mendapati ia adalah peluru.
“Semalam bila saya pulang ke kediaman rumah saya dan mengambil surat di peti surat, saya dapati ada satu sampul surat yang mengandungi benda yang agak keras di dalamnya.
“Bila saya buka sampul surat dan keluarkan kandungannya, saya mendapati dua butir peluru dan satu kertas putih saiz A4 bertulis; C*ba*lu Cina?!!! Lu Akan Mati !!! TUNGGU!!!,” dedahnya.
Susulan itu beliau membuat laporan polis di Balai Polis Petaling berserta bukti surat ancaman yang diterimanya.
Pihak polis juga sudah pun membuat pemeriksaan di bahagian peti surat kondominium miliknya untuk menjalankan siasatan.
“Saya memang hairan dan tidak mengerti kenapakah saya terima peluru dan surat yang penuh ugutan seperti ini.
“Saya berterima kasih kepada pihak polis atas tindakan pantas selepas saya buat laporan. Saya yakin pihak polis dapat membantu saya dalam kes ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan