NOOR HASLIZA NUSI
Anggota bomba ketika memadamkan kebakaran di sebuah rumah kedai di Jalan Utama, Kampung Paya Kongsi, Balik Pulau, pagi tadi.
GEORGE TOWN – Mayat tiga beranak yang maut dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Jalan Utama, Kampung Paya Kongsi di sini, pagi tadi ditemui dalam keadaan bertindan di tingkat bawah kediaman berkenaan.
Komander Operasi dari Balai Bomda dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, Mohd. Faris Mansor berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dijumpai secara berdekatan dipercayai ketika mahu menyelamatkan diri daripada kebakaran yang berlaku.
Menurutnya, hasil pemeriksaan pihaknya menemui mayat wanita yang juga ibu bersama anak lelakinya di aras bawah dan diikuti mayat anak perempuan sebaik api dipadamkan sepenunhnya.
“Pihak kami difahamkan yang pada mulanya tiga beranak terdiri ibu dan dua anak lelaki memasuki semula ke kediaman terbabit sebaik menyedari anak perempuannya berada di tingkat atas.
“Dalam keadaan api yang marak, salah seorang anak lelakinya itu keluar semula daripada kediaman disebabkan keadaan api yang terlalu marak dan terselamat dalam kebakaran.
“Ketiga mayat ditemui dalam keadaan bertindan, mungkin semasa turun daripada tangga untuk mencari jalan keluar. Keadaan ketiga-tiga mayat ditemui melecur pada badan dipercayai akibat terperangkap dalam kebakaran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, sebentar tadi.
Beritahu beliau lagi, mayat pertama iaitu anak lelaki dijumpai pada pukul 8 pagi, mayat si ibu pukul 9.04 pagi manakala mayat anak perempuan ditemui berada di bawah kedua-dua mangsa terbabit pada 10 pagi.
Operasi memadamkan kebakaran itu turut melibatkan bantuan dari BBP Balik Pulau dan api berjaya dikawal pada pukul 8.06 pagi tadi. -KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan