Noor Soraya Mohammad Jamal
Penyasaran subsidi diesel bukanlah bertujuan untuk menyusahkan rakyat sebaliknya ditujukan kepada golongan kaya dan warga asing yang telah lama menikmati subsidi daripada bahan bakar berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mengapa dia (Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin) sibuk menentang penyasaran (subsidi). Dia nak pertahankan siapa? Kita tekankan penyasaran subsidi ini untuk menarik subsidi dari golongan kaya dan warga asing.
“Diesel tidak digunakan majoriti rakyat dan bagi golongan terkait seperti pemandu teksi, peniaga kecil, nelayan, semua diberi pengecualian dan bantuan untuk menampung kenaikan kos itu,” katanya membidas kenyataan Hamzah yang mengkritik penyasaran subsidi itu.
Beliau berkata syarikat-syarikat besar pula dipantau bagi membendung kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
“Adakah Perikatan Nasional (PN) akan terus memberi subsidi kepada orang kaya dan warga asing (jika mereka berkuasa)? Jawab itu dulu.
"Itulah yang akan menggusarkan rakyat," katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang media bagi mengakhiri siri lawatan ke Jepun, hari ini.
Media baru-baru ini melaporkan Hamzah mendakwa pengumuman Anwar menimbulkan rasa kurang senang orang ramai serta gagal menyatakan secara tepat bila subsidi akan dihapuskan.
Anwar berkata secara prosedur, lazimnya perdana menteri akan mengumumkan dasar dan menteri berkaitan akan memberikan butiran dan tindakan susulan.
“Dia pernah jadi menteri, kenapa dia tanya soalan seperti itu? Benda ini dilakukan sejak sebelum merdeka,” kata Perdana Menteri.
Selasa lepas Anwar mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel yang melibatkan pengguna di Semenanjung dan subsidi itu melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi.
Penyasaran bersubsidi diesel itu bagaimanapun tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan