FMT Reporters
PETALING JAYA: Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan kedudukan kubur suspek menyerang Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis perlu berjauhan dari kubur lain.
Keputusan itu dibuat mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa dipengerusikan Mufti Johor, Yahya Ahmad Jumaat lalu bagi membincangkan status kematian anggota polis dan cara pengebumian suspek ditembak mati dalam serangan itu.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dalam kenyataan dipetik Berita Harian berkata, tindakan menjarakkan kubur suspek dari kubur lain sebagai peringatan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau mengulangi tindakan suspek.
Jenazah suspek juga tidak dibenarkan dibawa ke mana-mana masjid atau surau untuk urusan pengebumian dan hendaklah dimandikan, dikafankan serta disolatkan di hospital atau rumah keluarga suspek saja.
“Fatwa ke atas jenazah suspek ini sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang dilakukan suspek, apatah lagi membunuh anggota menjaga keselamatan negara yang tidak melakukan salah dan silap terhadap suspek.
“Jawatankuasa Fatwa mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dan simpati terhadap suspek atas apa yang dilakukannya.”
Dalam serangan pada 2.54 pagi Jumaat lalu, dua anggota polis berpangkat konstabel, Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Muhamad Syafiq Ahmad Said terkorban.
Seorang lagi anggota polis cedera ditembak dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail, manakala suspek berusia 21 tahun ditembak mati di tempat kejadian.
Jenazah penyerang dilaporkan dikebumikan di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram di Batu 19, Kampung Sungai Tiram pada 12.30 tengah hari tadi, yang hanya dihadiri beberapa penduduk kampung, selain pegawai dan anggota polis mengawal ketat keadaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan