"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketua pembangkang Britain mahu iktiraf negara Palestin jika menang pilihan raya

BHarianonline
Pemimpin pembangkang Parti Buruh Britain, Keir Starmer bercakap semasa acara kempen pilihan raya umum Buruh di Stadium Priestfield, rumah kelab bola sepak Gillingham di Gillingham, tenggara Britain. - Foto REUTERS
Pemimpin pembangkang Parti Buruh Britain, Keir Starmer bercakap semasa acara kempen pilihan raya umum Buruh di Stadium Priestfield, rumah kelab bola sepak Gillingham di Gillingham, tenggara Britain. - Foto REUTERS
LONDON: Ketua pembangkang Britain, Keir Starmer, hari ini berkata, beliau mahu mengiktiraf negara Palestin jika mendapat kuasa pada pilihan raya umum akan datang, namun langkah sedemikian katanya, perlu dilakukan pada masa yang sesuai dalam proses damai.

Ireland, Sepanyol dan Norway minggu ini mengumumkan, mereka akan mengiktiraf negara Palestin pada 28 Mei ini, mencetuskan kemarahan Israel, yang mendakwa ia sebagai "ganjaran untuk keganasan" dan memanggil semula dutanya dari tiga ibu kota negara berkenaan.

Parti Buruh berdepan konflik dalaman berhubung dasarnya terhadap perang di Gaza sejak serangan 7 Oktober oleh Hamas, yang membawa kepada pencerobohan Israel.

Starmer berdepan kritikan daripada beberapa pengundi Parti Buruh tradisional hanya kerana secara beransur-ansur mengubah kedudukan parti ke arah menyokong gencatan senjata di Gaza.

Pendirian parti itu menyebabkan 10 Ahli Parlimen kanannya berhenti daripada peranan dasar mereka dan dipersalahkan atas beberapa keputusan yang mengecewakan dalam pilihan raya tempatan pada bulan ini di beberapa kawasan dengan populasi Islam yang ramai.

Ditanya sama ada Palestin harus menjadi sebuah negara, Starmer memberitahu BBC: "Ya dan saya fikir pengiktirafan terhadap Palestin adalah sangat penting.

"Kita memerlukan negara Palestin yang berdaya maju, selain Israel yang selamat dan terjamin, dan pengiktirafan harus menjadi sebahagian daripadanya," katanya.

Starmer berkata, pengiktirafan negara Palestin perlu datang pada masa yang tepat dalam proses damai, namun "saya benar-benar percaya padanya", dengan alasan penyelesaian dua negara adalah penting untuk keamanan berkekalan di rantau itu.

Penyelesaian dua negara sudah lama menjadi rangka kerja dasar luar Britain dan usaha antarabangsa untuk menyelesaikan konflik itu tetapi proses damai sudah hampir "mati" selama bertahun-tahun.

Kerajaan semasa pimpinan Konservatif dan negara Eropah besar lain, seperti Perancis dan Jerman juga menyuarakan sokongan pada dasarnya untuk negara Palestin, tetapi dengan masa pengiktirafan menjadi sebahagian daripada proses damai yang lebih luas.

Minggu ini, Buruh menyokong kebebasan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) selepas ia memohon waran tangkap untuk kedua-dua pemimpin Hamas dan Israel atas jenayah perang, membuka ruang perpecahan dengan Parti Konservatif yang memerintah.

Kerajaan Konservatif berkata, ICC tidak mempunyai bidang kuasa untuk meminta waran tangkap dan ia tidak akan membantu mengeluarkan tebusan Israel dari Gaza, mendapatkan bantuan kemanusiaan atau membawa kepada gencatan senjata yang mampan. - REUTERS

Tiada ulasan: