"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pasangan kekasih ditahan kes bayi ditemui di kedai ayam

Rosli Ilham
bhnews@bh.com.my
Polis menahan sepasang kekasih dipercayai terbabit dalam kes penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di sebuah kedai menjual ayam di Jalan Jabur Kubur, Chukai, kelmarin. - Foto NSTP/Rosli Ilham
Polis menahan sepasang kekasih dipercayai terbabit dalam kes penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di sebuah kedai menjual ayam di Jalan Jabur Kubur, Chukai, kelmarin. - Foto NSTP/Rosli Ilham
CHUKAI: Polis menahan sepasang kekasih dipercayai terbabit dalam kes penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di sebuah kedai menjual ayam di Jalan Jabur Kubur, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, tangkapan pertama dilakukan terhadap seorang wanita berusia 21 tahun di sebuah rumah kira-kira jam 11 pagi hari ini.

Menurutnya, tangkapan itu dibuat hasil pemeriksaan dari rumah ke rumah yang dilakukan polis dalam jarak satu kilometer daripada lokasi penemuan bayi terbabit.

"Ketika melakukan pemeriksaan salah sebuah rumah di situ, anggota kami menemui seorang wanita dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan pada telefon bimbit wanita itu, pihak kami menemui gambar seorang bayi yang dipercayai sama dengan bayi yang dijumpai itu.

"Suspek kemudiannya dibawa balik ke balai dan suspek mengaku melakukan perbuatan itu," katanya.

Katanya, hasil siasatan lanjut, suspek dipercayai melahirkan bayi itu pada 12 Mei lalu di rumah kekasihnya sebelum bayinya itu ditemui, pagi kelmarin.

Hanyan berkata, berikutan itu, polis kemudiannya menahan suspek lelaki berusia 24 tahun yang di Bandar Chukai, kira-kira jam 3 petang.

"Suspek lelaki yang ditahan itu bekerja sebagai pembantu kedai dan kita akan siasat sama ada dia terlibat dalam kes itu atau sebaliknya," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapat perintah tahanan reman dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

"Kita akan menjalankan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) ke atas suspek bagi mengenalpasti adakah suspek terbabit dengan kes penemuan bayi di lokasi yang sama pada tahun lalu," katanya.

Media semalam melaporkan seorang pemandu lori menemui seorang bayi lelaki di kedai ayam berkenaan jam 7.30 pagi.

Bayi lelaki tanpa pakaian dan menggigil kesejukan hanya beralas pakaian bayi.

Tiada ulasan: