Elill Easwaran
PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim di bawah tekanan untuk menggugurkan ketua terkemuka di negeri tertentu susulan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin bahagian, menurut sumber.
Seorang pemimpin PKR enggan dinamakan berkata, Anwar menemui pemimpin bahagian setiap negeri baru-baru ini, dengan mereka dari sebuah negeri tertentu membangkitkan kebimbangan terhadap ketua mereka.
“Ada yang mungkin tidak lantang dengan kebimbangan mereka dalam pertemuan itu, tetapi kemudian menyuarakan rasa sangat tidak puas hati dalam kumpulan WhatsApp kepimpinan negeri.
“Presiden parti sudah beritahu beliau sedang meneliti penstrukturan semula kepimpinan beberapa negeri selepas mendapat maklum balas semua pemimpin bahagian,” katanya kepada FMT.
Sumber itu mendakwa tokoh terbabit yang juga kepimpinan tertinggi PKR, berulang kali campur tangan dalam pelaksanaan tugas pemimpin bahagian.
“Contohnya, pelantikan ahli majlis tempatan. Pemimpin bahagian sepatutnya mengemukakan calon pilihan mereka, tetapi pemimpin negeri tertentu campur tangan, termasuk ketua negeri itu.”
FMT sudah menghubungi beberapa pemimpin negeri PKR untuk mengulas.
PKR menerajui kerajaan Selangor dan Negeri Sembilan, selain menjadi sebahagian daripada pentadbiran Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Sabah.
Bulan lalu, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, parti itu akan merombak kepimpinan negerinya dan Anwar sudah selesai melakukan rombakan di Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan serta Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan