"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

CEO McDonald's salahkan boikot umat Islam

Jualan global merosot, CEO McDonald's salahkan boikot umat Islam
Malaysiakini 

Rangkaian restoran makanan segera McDonald's menyalahkan boikot di negara-negara yang ramai penduduk Islam susulan keganasan di Gaza, atas kemerosotan jualan globalnya buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun.

Menurut majalah perniagaan Fortune, McDonald's pada Isnin lalu melaporkan kemerosotan jualan sebanyak satu peratus bagi suku-ke-suku dan menyalahkan permintaan yang rendah, terutama di Perancis, Timur Tengah dan China.

Menerusi komunikasi dengan pelabur, CEO McDonald's Chris Kempczinski berkata kemerosotan jualan di China berpunca daripada sentimen pengguna secara keseluruhan, namun kemerosotan di Perancis disebabkan oleh "populasi Muslim yang lebih tinggi".

"Dan jadi jika anda ambil kira Timur Tengah, kita lihat impak yang lebih di Perancis berbanding di pasaran lain kerana populasi itu.

"Jadi banyak perkara yang sedang dilihat oleh pasukan kita, berkenaan 'bagaimana kita dapat pastikan yang kita sampaikan cerita kita dari sudut pandang pemasaran di peringkat tempatan?'" katanya seperti dipetik.

Turut merosot di Amerika Syarikat

Dia berkata McDonald's sedang cuba mendapatkan semula kedudukannya di pasaran dengan bersaing dengan para pesaing dari segi harga, antaranya dengan memperkenalkan Happy Meals berharga €4 (RM19.94) di Perancis, yang disasarkan kepada pelanggan berkeluarga dan bagi memperbaiki jenamanya.

Perancis adalah ekonomi ketiga terbesar di Eropah selepas Jerman dan United Kingdom, dan kira-kira 10 peratus penduduknya beragama Islam.

Selain kemerosotan jualan di peringkat global, syarikat itu turut mengalami kemerosotan hasil sebanyak 0.7 peratus dengan kenaikan harga tidak dapat mengatasi kesan penurunan pelanggan yang masuk ke restoran, menurut Fortune lagi.

"Syarikat sedang memantau situasi yang sentiasa berubah ini, dengan jangkaan ia akan terus memberi kesan negatif kepada jualan dan hasil selagi perang berterusan," kata syarikat itu dalam pemfailan kawal selia pada Isnin lalu.

Restoran itu menjadi sasaran boikot selepas pemilik francais di Perancis memberikan makanan percuma kepada askar Zionis beberapa hari selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu yang meragut sekurang-kurangnya 1,189 nyawa.

Serangan Israel kemudiannya telah membunuh kira-kira 39,000 orang Palestin, menurut pegawai kesihatan Palestin.

McDonald's di Malaysia turut menjadi sasaran boikot. Pemilik francais Gerbang Alaf Sdn Bhd - yang merupakan milik penuh orang Islam - menafikan sebarang perkaitan dengan Israel kemudian membuat sumbangan sebanyak RM1 juta untuk bantuan kemanusiaan di Palestin.

Ia juga memulakan tindakan mahkamah terhadap Boycott, Divestment and Sanctions (BDS Malaysia) namun menariknya balik pada April lalu.

BDS Malaysia pula berkata pihaknya akan terus mengkategorikan boikot McDonald's sebagai "boikot organik" oleh masyarakat, selagi rangkaian restoran makanan segera itu tidak "mengecam jenayah genosid Israel terhadap orang Palestin di Gaza".

Tiada ulasan: