"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wakil rakyat tunggal Gerakan dicabar tarik balik sokongan pada Sanusi

Malaysiakini 

Seorang wakil rakyat DAP mencabar Gerakan untuk menarik balik sokongan wakil rakyat tunggal parti itu terhadap menteri besar negeri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Darul Aman Teh Swee Leong berkata Gerakan harus mengambil pendirian berikutan kenyataan Sanusi yang mempersilakan parti itu meninggalkan Perikatan Nasional (PN).

"Jangan hanya bertengkar dan memenuhi ruang media sosial tetapi masih duduk semeja dalam kerajaan negeri Kedah yang dipimpin oleh Sanusi sekarang.

"Parti Gerakan hendaklah menunjukkan keberanian dan tidak perlu membuang masa serta sumber untuk mengekalkan satu-satunya kerusi exconya dalam kerajaan negeri Kedah jika merasakan bahawa prinsip dan nilai yang diperjuangkan tidak lagi selaras dengan dasar PAS atau gabungan PN.

"Jika rakan komponen dalam PN sudah memanggil untuk keluar, mengapa harus terus berada dalam keadaan tidak selesa?” kata Teh dalam satu kenyataan semalam.

Adun Kulim Wong Chia Zhen, wakil rakyat tunggal Gerakan di peringkat parlimen dan negeri, dan dilantik sebagai exco Kedah.

Wong memenangi kerusi itu menentang Teh Lean Ong dari Pakatan Harapan pada pilihan raya negeri Kedah tahun lepas, yang turut menyaksikan kerusi pembangkang negeri dikurangkan kepada hanya tiga wakil daripada DAP.

Sebagai sebahagian daripada PN bersama PAS dan Bersatu, Gerakan kehilangan kesemua 23 kerusi parlimen yang diperuntukkan untuk bertanding pada PRU15, serta 35 kerusi lain pada pilihan raya negeri Ogos lalu.

Pada 29 Julai, Sanusi, yang juga ketua pengarah pilihan raya PN, menyuarakan pandangan Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah bahawa Gerakan bebas untuk keluar jika parti itu tidak lagi selesa menjadi sebahagian daripada gabungan itu.

Kedua-dua pemimpin itu menjawab kenyataan awal Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong bahawa parti itu tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan PN jika ia bermaksud mempertahankan sistem pendidikan Cina.

Tiada ulasan: