"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 anggota polis ditahan, disyaki terbabit kes samun

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Semenyih: Tiga anggota polis ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kes samun di sebuah rumah di Jalan Sungai Pening, Kampung Pasir, di sini, semalam.

Difahamkan dalam kejadian itu, suspek yang melakukan samun berkenaan turut melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan sejumlah wang tunai serta barang kemas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 12.17 tengah malam.

"Bertindak atas maklumat diterima, kami menahan dua lelaki berusia 32 dan 35 tahun di Batalion 19, Pasukan Gerakan Am Cheras, Selangor jam 12.20 tengah malam tadi.

"Seorang lagi suspek berusia 24 tahun pula ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kira-kira jam 1 petang tadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hussein berkata, dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 7 Ogos nanti, manakala seorang lagi suspek akan dibuat permohonan reman, esok untuk siasatan lanjut.

"Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat) berhubung kes ini.

"Polis Kontinjen Selangor tidak akan melindungi mana-mana pegawai mahupun anggota polis yang didapati terbabit dengan kegiatan jenayah.

"Siasatan akan dijalankan sepenuhnya mengikut kesalahan jenayah dilakukan tanpa sebarang kompromi," katanya.

Tiada ulasan: