"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lagi kes remaja hilang: Di mana Nur Farah Diana?

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
NUR Farah Diana.
Seremban: Seorang wanita terkejut apabila mendapati anak perempuannya tiada di dalam bilik ketika mahu mengejutkan remaja itu di kediaman mereka dekat Taman College Heights, Sikamat, di sini, pagi semalam.

Pelajar tingkatan lima itu, Nur Farah Diana Mohd Erwadi, 17, dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di kediamannya tengah malam kelmarin sebelum ketiadaannya disedari ibunya kira-kira 7 pagi semalam.

Ibunya, Nor Akmar Hariri, 43, berkata, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Durah itu menghilangkan diri bersama telefon bimbit, beg sekolah dan bekas alat solek.

"Saya sedar dia hilang ketika mahu kejutnya pada waktu pagi untuk ke sekolah bersama barang peribadinya. Namun, isyarat lokasi terakhir telefon bimbitnya pula hanya menunjukkan di rumah.

"Kali terakhir saya nampak dia kira-kira 12 tengah malam hingga 1 pagi semalam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Susulan itu, Nor Akmar membuat laporan berhubung kehilangan anak kedua daripada tiga beradik itu di Balai Polis Sikamat, semalam.

Tambahnya, pihak keluarga merayu mana-mana pihak mempunyai maklumat berhubung keberadaan anaknya diminta menghubungi 012-2225787.

"Saya minta supaya Farah balik kerana kami risaukan keselamatannya. Hubungilah keluarga dan maklumkan lokasi supaya kami tidak risau lebih-lebih lagi dia seorang perempuan.

"Saya juga ada bertanya kepada rakan-rakan sekolah anak namun tiada siapa yang tahu. Saya mohon orang ramai bantu jika tahu atau melihat Farah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan remaja berkenaan dan membantu mengesannya.

Kehilangan remaja itu tular di media sosial, sejak semalam.

Tiada ulasan: