"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis parah dirempuh 'mat rempit' lawan arus

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
POLIS trafik Seremban dan remaja parah apabila kedua-dua motosikal  bertembung di KM36 (S) Lekas. FOTO ihsan polis.
POLIS trafik Seremban dan remaja parah apabila kedua-dua motosikal bertembung di KM36 (S) Lekas. FOTO ihsan polis.
Seremban: Anggota polis trafik dan remaja parah apabila kedua-dua motosikal dikatakan bertembung di Kilometer (KM) 36 (S), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) itu sedang bertugas dalam Ops Samseng Jalanan apabila dikatakan dirempuh remaja berkenaan yang melawan arus.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kedua-dua mangsa cedera di kepala dan kaki.

"Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan anggota polis lelaki berumur 36 tahun dan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun.

"Kemalangan berlaku ketika anggota terbabit yang bertugas di BSPTD Seremban sedang melakukan tugas Ops Samseng Jalanan bersama beberapa anggota lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian, remaja itu menunggang motosikal secara lawan arus sebelum didakwa merempuh anggota yang juga sedang menunggang motosikal.

"Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk menerima rawatan," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Fadzilah di talian 016-2895801 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 307 Akta Kanak-Kanak 2001 disebabkan penunggang di bawah umur 18 tahun.

"Ibu bapa dinasihatkan supaya lebih prihatin berkaitan aktiviti anak mereka terutama pada lewat malam yang berkemungkinan terpengaruh dengan gejala tidak sihat seperti lumba haram," katanya.

Tiada ulasan: