"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelar mati pekerja asing, lelaki tempatan dihukum gantung

fmt reporters

PETALING JAYA: Lelaki dikenakan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas didapati bersalah membunuh seorang pekerja warga Bangladesh, pada 2018.

Hakim Su Tiang Joo menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Amier Amzar Mohamad Aspar, 28, dengan hakim menyifatkan perbuatan dilakukan terhadap mangsa, Md Ovaidul, 32, amat kejam.

Dalam penghakimannya, Su berkata, kematian mangsa bukanlah secara tiba-tiba, sebaliknya dirancang terlebih dahulu.

“Mangsa diperlakukan dengan cara yang amat kejam yang kemungkinan besar menyebabkan mangsa menanggung kesakitan dan penderitaan dalam tempoh yang panjang.

“Ia bermula dengan dipukul di rumahnya, kemudian dibawa ke tebing sungai sebelum dikelar lehernya, dan mayatnya dibuang ke dalam sungai bagi menghapuskan bukti,” katanya menurut Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh mangsa di Sungai Kinta, kawasan Sungai Galah, Kampung Gajah, antara 8.20 malam hingga 10.25 malam, pada 15 Dis 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan.

Pada prosiding itu, abang mangsa, Md Hossain Khan, 37, tampil memberikan penyataan impak dibacakan jurubahasa di hadapan hakim.

Katanya, meskipun jenazah adiknya telah dihantar pulang ke Bangladesh, ia bukanlah penawar kesedihan dan kehilangan yang ditanggung.

“Sebelum kejadian, adik saya memberitahu bahawa dia bercadang untuk pulang ke Bangladesh dalam masa sebulan bagi melangsungkan perkahwinannya.

“Keluarga kami telah mula membuat persiapan di kampung. Namun, impian tersebut musnah apabila dia telah dibunuh secara kejam, dan lebih menyedihkan, dibunuh oleh anak kepada majikannya sendiri,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Geetha Jora Singh, manakala tertuduh diwakili peguam V Santhiran.

Tiada ulasan: