Utusan Borneo

Polis mengiringi tertuduh (tengah) keluar dari Kompleks Mahkamah Kuching selepas prosiding hari ini.
KUCHING: Seorang pemandu e-hailing dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah meminta seorang penumpang remaja perempuan menanggalkan tudungnya.
Majistret Ling Hui Chuan menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh yang berusia lingkungan 60-an dan merupakan pesara kerajaan selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tertuduh membayar denda tersebut di mahkamah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu dengan niat menghina kehormatan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun pada kira-kira jam 11 malam, 26 April 2025 di Jalan Camar, Kuching.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu e-hailing selepas bersara telah mengambil mangsa dari sebuah premis makan di Jalan Matang untuk dihantar pulang ke Kampung Rampangi.
Sepanjang perjalanan, tertuduh beberapa kali meminta mangsa menanggalkan tudung atas alasan ingin melihat wajahnya dan tidak mempercayai bahawa mangsa hanya berusia 16 tahun.
Mangsa enggan menurut arahan tersebut dan berasa terhina dengan tindakan tertuduh yang disifatkan tidak menghormati dirinya sebagai wanita Muslim.
Mangsa turut sempat merakam video semasa kejadian berlaku di dalam kereta.
Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat dan membawa kepada penahanan tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Adriana Maisarah Mohd Farid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan