"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anggota polis maut dirempuh penjenayah

Buletin TV3 
Keadaan lokasi pecah rumah yang dilakukan oleh empat penjenayah di Taman Golf yang menyebabkan seorang polis terkorban selepas dilanggar penjenayah. - Foto NSTP
Keadaan lokasi pecah rumah yang dilakukan oleh empat penjenayah di Taman Golf yang menyebabkan seorang polis terkorban selepas dilanggar penjenayah. - Foto NSTP
Keadaan lokasi pecah rumah yang dilakukan oleh empat penjenayah di Taman Golf yang menyebabkan seorang polis terkorban selepas dilanggar penjenayah. – Foto NSTP
ALOR SETAR: Seorang anggota polis maut dirempuh penjenayah ketika menjalankan tugas berhampiran Taman Golf di sini, petang tadi selepas cuba menghalang suspek kes pecah rumah melarikan diri.

Mangsa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar kenderaan dipandu suspek.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Datuk Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang selepas pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai aktiviti mencurigakan di rumah terbabit.
Ketua Polis Kedah, CP Adzli Abu Shah bercakap kepada pemberita selepas melakukan tinjauaan di lokasi kejadian pecah rumah di Taman Golf . - Foto NSTP
Ketua Polis Kedah, CP Adzli Abu Shah bercakap kepada pemberita selepas melakukan tinjauaan di lokasi kejadian pecah rumah di Taman Golf . – Foto NSTP
"Lima anggota dari JSJ Kedah digerakkan ke lokasi dengan dua kenderaan dan sebaik tiba di situ, mereka mendapati suspek sedang cuba mencuri peti besi dari rumah berkenaan.

"Salah seorang suspek yang memandu Lexus bertindak melanggar mangsa yang baru keluar dari kenderaan.

"Mangsa dirempuh dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya pada sidang media di lokasi hari ini.

Adzli berkata, seorang daripada suspek berjaya ditahan di tempat kejadian manakala tiga lagi melarikan diri menggunakan kenderaan sama, yang mengalami kerosakan akibat pelanggaran itu.

Katanya, ketiga-tiga mereka berjaya diberkas kurang sejam kemudian di kawasan Kepala Batas, Jitra.

"Dalam cubaan melarikan diri itu, kumpulan terbabit turut mencuri sebuah lagi kenderaan orang awam.

"Kesemua suspek, berusia antara 24 hingga 26 tahun, dipercayai berasal dari Johor.

"Semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai 77 rekod lampau, kebanyakannya membabitkan kes pecah rumah dan curi kenderaan," katanya.

Menurutnya lagi, dua lagi masing-masing mempunyai 30 serta enam rekod lampau, manakala seorang lagi mempunyai dua rekod.

Katanya, modus operandi mereka menunjukkan ia kumpulan pecah rumah bergerak antara negeri.
Kenderaan suspek yang di tinggalkan selepas melakukan pecah rumah dan melanggar anggota polis hingga maut di Hotel Raia . - Foto NSTP
Kenderaan suspek yang di tinggalkan selepas melakukan pecah rumah dan melanggar anggota polis hingga maut di Hotel Raia . – Foto NSTP
"Kami sedang menyiasat sama ada serbuan ini dilakukan secara rambang atau berdasarkan maklumat dalaman.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan umpil dan kerosakan pada pintu rumah terbabit, namun tiada penghuni berada di rumah semasa kejadian.

"Kedua-dua kenderaan termasuk yang digunakan untuk merempuh anggota dan satu lagi yang dicuri berjaya ditemui semula," katanya.

Mohd Hafizul yang berasal dari Setiu, Terengganu, meninggalkan seorang isteri dan empat anak berusia antara empat hingga 11 tahun.

"Beliau gugur ketika bertugas. Kehilangannya amat dirasai oleh seluruh pasukan. Kita akan pastikan keadilan ditegakkan," katanya.

Adzli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 457 kerana menceroboh dan pecah rumah.

Tiada ulasan: