Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my
Klang: Mayat seorang wanita serta anak perempuannya yang berusia tiga tahun ditemukan terapung berhampiran Jeti Pulau Ketam di sini, pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun yang berada di jeti terlihat seorang kanak-kanak terapung di laut sebelum bertindak menyelamatkannya dengan bantuan beberapa orang awam.
"Bagaimanapun, sebaik dibawa naik ke jeti, kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia oleh petugas Klinik Kesihatan Pulau Ketam yang tiba di lokasi bersama anggota polis.
"Tidak lama selepas itu, mayat seorang wanita dewasa turut ditemukan terapung di kawasan berhampiran yang mana dia turut disahkan meninggal dunia sejurus dibawa naik ke jeti," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar menemukan sebuah beg mengandungi dokumen dipercayai milik kedua-dua mangsa.
Katanya, siasatan awal mengenal pasti mangsa adalah wanita tempatan berusia 41 tahun manakala anak perempuannya berusia tiga tahun.
"Pemeriksaan awal oleh Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuh kedua-dua mangsa.
"Kedua-dua mayat kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses bedah siasat," katanya.
Kamalariffin berkata, setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikenal pasti dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Beliau berkata, polis membuka satu kertas siasatan mati mengejut bagi menyiasat kejadian ini.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau hadir ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan