"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah: Remaja maut dirempuh kereta dipandu anggota polis langgar lampu merah

Buletin TV3 
Kereta Perodua Axia dipandu anggota polis yang melanggar remaja lelaki 16 tahun di lampu isyarat Guar Chempedak, Isnin lalu. – Foto tular
ALOR SETAR: Pelajar bermotosikal yang cedera parah akibat dirempuh kereta dipandu anggota polis yang dikatakan melanggar isyarat lampu merah di Pekan Guar Chempedak pada Isnin lalu, meninggal dunia malam kelmarin selepas hampir tiga hari bertarung nyawa.

Pelajar Tingkatan Empat, Muhammad Nur Iman Danial Mohd Roshidi, 16, meninggal dunia malam kelmarin selepas hampir tiga hari di Unit Rawatan Tapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohd Hamizi Abdullah berkata, kemalangan jam 9.15 malam pada Isnin lalu membabitkan Perodua Axia dengan motosikal ditunggangi mangsa.

“Siasatan awal yang dilakukan berdasarkan rakaman kamera rakaman litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian mendapati sebuah kereta yang datang dari arah Bukit Jenun, Pendang didapati tidak berhenti di lampu isyarat merah.

“Berlaku perlanggaran dengan motosikal yang datang dari arah Alor Setar menghala ke Gurun yang ketika itu baru hendak memulakan perjalanannya sewaktu lampu isyarat bertukar hijau.

“Siasatan mendapati, pemandu kereta itu adalah anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Hamizi berkata, polis sudah mengambil tindakan tegas terhadap anggota itu dan tidak berkompromi di atas kecuaiannya ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan terbabit.

“Segala laporan polis yang dibuat mana-mana pihak termasuk anggota polis terbabit akan diteliti secara terperinci dan telus. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Remaja itu disahkan meninggal dunia pada jam 9 malam kelmarin sebelum jenazahnya dibawa ke Jabatan Forensik HSB untuk tindakan lanjut.

Jenazah mangsa disembahyangkan di Masjid Alwustha, Guar Chempedak selepas solat Jumaat sebelum dikebumikan.

Tiada ulasan: