"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki ditahan lepas serang polis meninggal dunia akibat serangan jantung

Buletin TV3 

KEPALA BATAS: Lelaki warga Indonesia yang berkelakuan agresif dan menyerang seorang anggota polis di Taman Bukit Jambul petang kelmarin, meninggal dunia ketika dibawa dan ditahan di balai polis Sungai Nibong pada hari sama.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata suspek tiba-tiba pengsan ketika berada di balai polis malam kelmarin dan dikejarkan dengan ambulans ke hospital berdekatan, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba.

Beliau berkata, kematiannya disahkan akibat serangan jantung.

Katanya, lelaki itu ditahan selepas polis menerima panggilan daripada orang awam pada kira-kira jam 6.20 petang kelmarin memaklumkan suspek yang identiti dan kewarganegaraannya masih belum dikenal pasti ketika itu, berkelakuan agresif sambil memegang sebatang besi di kawasan perumahan.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota polis berdepan dengan suspek yang terus bertindak ganas.

“Dalam pergelutan yang berlaku, suspek didakwa menumbuk muka seorang daripada anggota polis yang bertindak balas terhadap insiden itu.

“Penduduk sekitar yang menyaksikan kejadian berkenaan tampil membantu pihak polis untuk menahan dan meleraikan suspek.

“Suspek kemudian dibawa ke balai polis Sungai Nibong untuk tindakan lanjut, namun ketika dalam tahanan, dia tiba-tiba pengsan lalu dikejarkan ke hospital berdekatan, tetapi disahkan meninggal dunia sebaik tiba,” katanya selepas majlis ringkas pelupusan rampasan dadah oleh kontinjen polis negeri dari 2010 hingga tahun lalu, dengan nilai anggaran RM2 juta, di sini, hari ini.

Alwi berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, dua laporan berasingan dibuat terhadap suspek terbabit iaitu berhubung insiden memecahkan cermin kereta milik seorang penduduk dan satu lagi berkaitan pencerobohan ke dalam unit flat seorang penduduk.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti identiti suspek, sama ada dia menetap di kawasan itu atau sebaliknya,” katanya.

Tiada ulasan: