Harapandaily
Seorang guru di Kelantan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap murid lelaki berusia 11 tahun dalam kereta di Jalan Hamzah pada Mac dan Mei tahun lalu.
Lapor BH, Syahril Faiza Zakaria, 51, didakwa di hadapan Hakim Zulkifli Abllah mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama dibaca bersama Seksyen 16.
Sekiranya sabit kesalahan, dia yang kini ditempatkan di pejabat pendidikan daerah itu, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, lelaki yang tidak berkahwin itu didakwa melakukan amang seksual terhadap murid lelaki berusia 11 tahun enam bulan.
Kejadian berlaku dalam sebuah kereta ketika dalam perjalanan menuju Pasaraya KB Mall, sekitar jam 2 petang pada Mac tahun lalu.
Dalam pertuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh didakwa mencabul mangsa yang sama di sebuah tandas pusat peranginan Pantai Cahaya Bulan (PCB) ketika waktu petang pada Mei tahun lalu.
Bagaimanapun, Syahril Faiza yang diwakili peguam, Mohd Saifullah Che Mat, mengaku tidak bersalah.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes adalah serius selain mangsa mempunyai hubungan amanah dengan tertuduh.
Mohd Saifullah memohon jaminan atas alasan anak guamnya yang sebelum ini bertugas sebagai guru di sekolah kini ditempatkan di pejabat pendidikan daerah, masih bujang serta tinggal bersama ibu bapa, di samping menghadapi masalah jantung yang memerlukan rawatan berterusan.
Hakim menetapkan ikat jamin berjumlah RM30,000 bagi semua pertuduhan, melarang tertuduh daripada mengganggu saksi, serta menetapkan tarikh 10 September untuk sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan