Agensi

POLIS menguruskan mayat Yati yang dibunuh anaknya di Kelurahan Panorama, Kota Bengkulu. FOTO Agensi
Jakarta: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun tergamak membunuh ibu kandungnya ketika mangsa menunaikan solat Zuhur di rumah mereka di Jalan Manggis 1, Kelurahan Panorama, Kecamatan Singaran Pati, Kota Bengkulu di sini, semalam.
Memetik laporan Tangsel Xpress, dalam kejadian kira-kira jam 1 petang (WIB) itu, mangsa, Yati, 49, diserang anak perempuannya dikenali sebagai NR menggunakan lesung batu dan pisau.
Difahamkan, mangsa tidak sempat menyelamatkan diri dan maut di lokasi akibat parah di kepala dan badan.
Menurut laporan Beritasatu.com, selepas kejadian, suspek berlari ke rumah jiran dan memberitahu bahawa dia baru sahaja membunuh ibunya.
"Dia datang dan memberitahu dia sudah bunuh ibunya. Kami semua terkejut dan terus ke rumah mangsa," kata Ice, jiran mangsa.
Jiran yang panik segera ke rumah terbabit dan mendapati Yati sudah tidak bernyawa dalam keadaan menyayat hati sebelum melaporkan kepada pihak polis.
Polis Sektor (Polsek) Gading Cempaka bergegas ke lokasi kejadian bersama pasukan Resmob Macan Gading Polresta Bengkulu dan menahan remaja terbabit untuk siasatan lanjut.
Suspek dibawa ke Polisi Resor Kota (Polresta) Bengkulu untuk proses soal siasat manakala dua adiknya yang masih kecil dijaga jirannya buat sementara waktu.
Mayat Yati pula dihantar ke Hospital Bhayangkara Kota Bengkulu untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.
Sementara itu, Detik melaporkan, remaja perempuan terbabit disahkan menghidap masalah gangguan jiwa.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Gading Cempaka, Inspektor Satu Putra Agung berkata, berdasarkan keterangan penduduk setempat, suspek pernah menerima rawatan di hospital sakit jiwa.
"Daripada keterangan jiran, suspek pernah dirawat di hospital sakit jiwa. Ketika ini, suspek sudah kami tahan," katanya hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan