"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mayat juara Olimpik bersemadi di atas gunung

Agensi
LAURA menang dua emas dan satu gangsa di Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di PyeongChang. FOTO Reuters
LAURA menang dua emas dan satu gangsa di Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di PyeongChang. FOTO Reuters
London: Mayat juara Olimpik berganda, Laura Dahlmeier mungkin bersemadi di atas gunung di Pakistan tempat dia meninggal dunia dalam satu tragedi.

Laura, 31 tahun, ditimpa runtuhan batu secara tiba-tiba pada ketinggian kira-kira 5,700 meter di Laila Peak dalam pergunungan Karakoram pada Isnin lalu.

Rakan pendakiannya segera menghubungi pasukan penyelamat dan satu pasukan antarabangsa dihantar ke kawasan tersebut. Namun, sebuah helikopter hanya berjaya sampai ke lokasi terpencil itu pada pagi Selasa dan pasukan penyelamat tidak dapat mengakses lokasi mayat atlet dari Jerman itu.

Usaha mencari diteruskan pada Rabu, di mana dia akhirnya ditemui telah meninggal dunia.

Pihak berkuasa tempatan sejak itu mengesahkan mereka berkemungkinan akan menghormati 'wasiat bertulis' Laura dan membiarkan mayatnya kekal di gunung tersebut.

"Menerusi wasiat bertulis, Laura menyatakan dengan jelas bahawa sekiranya sesuatu seperti itu berlaku, tiada siapa perlu mempertaruhkan nyawa mereka untuk menyelamatkannya," menurut satu kenyataan di akaun Instagramnya.

"Hasratnya ialah sekiranya perkara ini berlaku, mayatnya harus dibiarkan di gunung."

"Ini juga sejajar dengan permintaan ahli keluarganya yang mahu agar wasiat terakhir Laura dihormati."

Pihak berkuasa masih belum mengesahkan secara rasmi sama ada mayat beliau akan kekal di gunung itu.

Menurut laporan akhbar Bild, jurucakap kerajaan tempatan, Faizullah Faraq dipetik berkata: "Kami dimaklumkan hasrat Laura Dahlmeier ialah untuk mayatnya ditinggalkan di gunung selepas kematiannya. 'Saya mahu dikebumikan di gunung, itu impian saya.'"

"Itulah impiannya. Kini hasratnya telah ditunaikan, jadi kami sedang mempertimbangkan sama ada boleh membiarkan mayatnya di sana."

Laura ketika itu sedang mendaki di Lembah Hushe bersama rakan pendakinya, Marina Eva Krauss, apabila beliau ditimpa batu yang jatuh. Wakilnya menyatakan beliau berkemungkinan besar meninggal dunia serta-merta, manakala Marina tidak mengalami sebarang kecederaan.

Laura memenangi dua pingat emas dan satu gangsa dalam acara biathlon di Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di PyeongChang, selain merupakan juara dunia sebanyak tujuh kali. Dia bersara pada 2019.
-hmetro 

Tiada ulasan: