Malaysiakini
Kenyataan ringkas dibuat seorang bekas anggota Jawatankuasa PAS Pusat mengenai parti itu menimbulkan tanda tanya mengenai apa yang sedang bergolak dalam kalangan pemimpinnya.
Ketika isu siapa yang akan dilantik mengepalai PN selaku pengerusi dan penerimaannya, serta kemelut terkait Perlis belum menunjukkan reda, Mohd Zuhdi Marsuki menegaskan bahawa hubungan di antara Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dengan mursyidul am, Hashim Jasin, adalah baik.
Dia berkata, tiada pertembungan berlaku membabitkan Abdul Hadi dengan Hashim.
Malah bekas rektor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad milik PAS itu menambah, kedua-dua pemimpin terbabit memang dihormati oleh semua pihak.
"Yang mahu bertembung dengan mursyidul am ialah sekumpulan (orang) yang menganggap PAS itu milik mereka," tulisnya di media sosial semalam.
Kenyataan itu hadir hanya beberapa hari sebelum PN bermesyuarat dan dijangka mengumumkan tokoh yang dirasakan paling sesuai mengisi jawatan pengerusi yang dikosongkan oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Kekosongan itu berlaku rentetan daripada insiden berundurnya anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Shukri Ramli, daripada jawatan Menteri Besar Perlis.
Tempat itu kemudian diisi oleh Adun Kuala Perlis merangkap pengerusi Bersatu negeri itu, Abu Bakar Hamzah.
Mursyidul am seorang ‘amir’
Peristiwa itu mengundang kemarahan PAS sehingga mewujudkan desakan terang-terangan agar Muhyiddin melepaskan jawatannya sebagai ketua PN. PAS juga secara terbuka menyatakan mereka bersedia mengepalai PN.
Bagaimanapun, isu itu membawa kepada krisis lain apabila sehingga kini belum ada sesiapa yang dinamakan secara rasmi menjadi pengerusi baru PN.
Pertembungan pandangan juga timbul apabila PAS Pusat menganggap pertukaran jawatan menteri besar di Perlis melibatkan perbuatan khianat, namun Hashim dan Dewan Ulama PAS Perlis menegaskan sebaliknya.
Dalam keadaan masih menjadi teka-teki, Mohd Zuhdi menekankan perlunya PN diketuai oleh Abdul Hadi atau sekurang-kurangnya timbalan presiden parti berkenaan, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Dia yang sebelum ini pernah menjadi Pengarah Pusat Penyelidikan PAS mengingatkan bahawa muktamar tahunan parti itu sentiasa menegaskan peri pentingnya kepimpinan ulama, justeru PN wajar diketuai oleh Abdul Hadi atau Tuan Ibrahim.
Seorang lagi tokoh berpengaruh dalam PAS, Zaharudin Muhammad, pula baru-baru ini membangkitkan isu kemunculan semula kumpulan tertentu - digelarnya sebagai Jebon - yang cuba mengubah pendekatan parti terbabit.
Yang Dipertua PAS Sungai Buloh dan mantan anggota Majlis Syura Ulama PAS Pusat itu juga memberi amaran, melantik Menteri Besar Terengganu yang juga Ahli Parlimen Kemaman dan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, boleh merugikan parti.
Kata Zaharudin, PAS berdepan risiko hilang hampir 40 kerusi parlimen dalam PRU akan datang.
Untuk rekod pada 24 Jan lalu Malaysiakini melaporkan, PAS mengangkat tiga nama sebagai calon pengganti Muhyiddin.
Mereka ialah Tuan Ibrahim, Ahmad Samsuri dan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Sementara itu semalam Mohd Zuhdi menyatakan jawatan mursyidul am dalam PAS berupa seorang "amir."
"Beliau (mursyidul am) ada kuasa mengeluarkan perintah dan arahan, serta mengawasi seluruh individu dan organisasi di bawah PAS," katanya.