"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru rampas, musnahkan alat solek pelajar

KOSMO!
ALAT solek pelajar yang dirampas dimusnahkan oleh guru. - AGENSI
JAKARTA – Tindakan seorang guru  sekolah di wilayah Jawa Barat merampas dan melupuskan pelbagai produk alat solek milik pelajar mencetuskan perdebatan hangat di media sosial, lapor saluran berita Radar Kediri.

Kejadian  di Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 1 Pacet, Cianjur, baru-baru ini adalah sebahagian daripada langkah penguatkuasaan peraturan disiplin sekolah.

Menurut pihak pentadbiran sekolah, tindakan tegas melupuskan barangan hasil pemeriksaan mengejut itu dilakukan selepas berulang kali  amaran dan peringatan diberikan, namun tidak diendahkan oleh pelajar.

Pihak sekolah berkata, tindakan itu bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya sebagai pengajaran agar murid sentiasa mematuhi peraturan dan memikul tanggungjawab terhadap perbuatan mereka.

Penguatkuasaan peraturan ketat di sekolah sememangnya diharap dapat membina persekitaran pembelajaran yang selamat, teratur, dan kondusif, tambahnya.

Bagaimanapun, insiden itu mengundang pelbagai reaksi netizen  Indonesia, dengan sebahagian mempersoalkan kewajaran kaedah melupuskan barangan peribadi tersebut serta menuntut pendekatan mendisiplinkan pelajar yang lebih seimbang. – AGENSI

Lelaki parah dipercayai ditetak, video kejadian di premis perniagaan tular

Kumaran Rajamoney

IPOH: Satu rakaman video berdurasi pendek yang memaparkan seorang lelaki mengalami kecederaan parah dipercayai akibat ditetak dalam kejadian di sebuah premis perniagaan tular di media sosial sejak hari ini.

Berdasarkan rakaman video berkenaan, mangsa dilihat terbaring di lantai premis berkenaan yang dipercayai terletak di sebuah daerah di Perak, dengan kesan darah pada bahagian badan dan kaki.

Turut kelihatan seorang wanita berada di sisi mangsa sambil cuba memberikan bantuan awal ketika lelaki terbabit terbaring dalam keadaan tidak bergerak.

Keadaan di dalam premis perniagaan itu juga kelihatan berselerak, selain terdapat kesan darah di beberapa bahagian lantai.

Bagaimanapun, punca kejadian serta motif serangan berkenaan masih belum dapat dipastikan setakat ini.

Perdagang manusia: 36 pendatang haram dan termasuk transporter ditahan

Polis bongkar seludup migran, 36 ditahan
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
POLIS menahan migran yang diseludup masuk ke negara ini melalui laluan tidak diwartakan di Sabak Bernam. FOTO ihsan PDRM
POLIS menahan migran yang diseludup masuk ke negara ini melalui laluan tidak diwartakan di Sabak Bernam. FOTO ihsan PDRM
Sabak Bernama: Kegiatan penyeludupan migran menggunakan laluan tidak diwartakan terbongkar menerusi Ops Pintas Som, di sini, semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerusi Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) itu membawa kepada penahanan 36 individu.

Beliau berkata, jumlah itu termasuk 25 migran warga Indonesia, dua kanak-kanak serta beberapa individu yang dipercayai berperanan sebagai transporter.

"Siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai menjalankan kegiatan penyeludupan migran masuk dan keluar Malaysia melalui laluan tidak diwartakan.

"Mereka mengenakan bayaran tertentu bagi setiap migran, termasuk transporter untuk perjalanan ke lokasi di Lembah Klang, bergantung kepada jarak perjalanan.

"Dalam operasi itu, polis turut merampas 11 kenderaan, 13 telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM4,930 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, operasi selama dua hari bermula kelmarin itu turut membabitkan kerjasama Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Polis Marin serta anggota Cawangan D6.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26A dan Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket terbabit termasuk pihak yang berperanan sebagai pengendali dan penyelaras aktiviti penyeludupan migran," katanya.

Beliau berkata, polis akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan migran yang menggunakan laluan tidak diwartakan demi memastikan keselamatan serta kedaulatan sempadan negara terus terpelihara.

Helikopter bertembung di udara ragut satu nyawa

KOSMO!
TANGKAP layar daripada rakaman video menunjukkan dua helikopter bertembung di udara. - BBC
KATHMANDU – Seorang pelancong warga India maut manakala seorang warga New Zealand cedera apabila dua buah helikopter bertembung dan terhempas ketika cuba mendarat di wilayah Everest, Nepal hari ini.

Helikopter bersaiz kecil digunakan secara meluas di negara Himalaya itu untuk membawa pelancong, pendaki dan bekalan, selain digunakan bagi operasi pemindahan kecemasan.

Bentuk muka bumi negara itu yang mencabar serta keadaan cuaca yang pantas berubah menjadikan operasi penerbangan sangat berbahaya.

Helikopter-helikopter kecil yang dikendalikan oleh syarikat Fishtail Air dan Air Dynasty itu saling bertembung ketika kedua-duanya sedang mendarat di kawasan bersalji di daerah Solukhumbu.

Ketua Polis Daerah Solukhumbu, Nabin Raja Budhathoki berkata, pelancong warga India berusia 47 tahun itu maut di tempat kejadian.

“Warga New Zealand berusia 53 tahun yang cedera pula telah diterbangkan ke Kathmandu untuk rawatan lanjut,” katanya.

Kedua-dua juruterbang terselamat dalam kemalangan tersebut. – AFP

Lima terselamat selepas tiga bulan terapung dengan bot di Lautan Pasifik

ISZ YUSLIZA
LIMA orang terselamat selepas tiga bulan terapung dalam bot menuju ke Pulau Murilo. - Facebook
TARAWA: Seramai lima individu termasuk dua kanak-kanak berjaya diselamatkan selepas terumbang-ambing selama tiga bulan di Lautan Pasifik apabila bot kecil yang dinaiki mereka dihanyutkan ribut dari laluan asal.

Kumpulan mangsa yang terselamat itu merupakan sebahagian daripada sembilan penumpang yang berlepas dari Pulau Murilo di Micronesia pada lewat Julai lalu untuk perjalanan singkat yang sepatutnya mengambil masa selama sejam ke Pulau Ruo.

Bagaimanapun, bot mereka dilanda ribut kencang yang menyebabkannya tersasar sejauh 5,471 kilometer menuju ke Pulau Fanning di Kiribati sebelum ditemui oleh penduduk tempatan tiga bulan kemudian.

Kesemua lima mangsa ditemui selamat pada Ahad dan kini berada di bawah jagaan pihak pengurusan sebuah gereja tempatan bagi pemantauan awal.

Ahli Parlimen Kiribati, Kaotitaake Rakoroa mengesahkan bahawa kumpulan mangsa terbabit telah menerima rawatan awal daripada pegawai perubatan di pulau berkenaan.

Beliau turut menyarankan agar kesemua mangsa dipindahkan dengan kadar segera ke Pulau Kiritimati yang merupakan pusat bandar terdekat bagi mendapatkan rawatan perubatan susulan yang lebih sempurna.

Sebelum ini, Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG) di Micronesia telah melancarkan operasi pencarian merentasi kawasan seluas 46,300 kilometer sebelum menggantung operasi berkenaan secara rasmi pada 9 Ogos lalu.

Sementara itu, ahli politik Micronesia, Alexander Narruhn meluahkan rasa syukur atas keselamatan lima mangsa berkenaan sambil memohon orang ramai mendoakan nasib empat lagi rakan mereka yang masih belum ditemui.

“Lima daripada sembilan penumpang telah ditemukan selamat dan kami terus berdoa untuk empat lagi rakan mereka,” kata Narruhn dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa pihak kepimpinan telah meminta Presiden Micronesia memulakan perbincangan diplomatik bersama Kerajaan Kiribati bagi menguruskan proses membawa pulang kesemua mangsa ke tanah air.

Insiden bot hanyut akibat angin kencang kerap dilaporkan di rantau berkenaan sejak beberapa bulan kebelakangan ini. – AGENSI

Wanita ganggu pengunjung pusat beli-belah ditahan

Utusanonline
SEMALAM tular sebuah video menunjukkan seorang wanita dan lelaki di pusat beli-belah di ibu negara dilihat berselisih faham. - Sumber/Aplikasi Threads
PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita warga tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes mengganggu pengunjung dan pelanggan di sebuah pusat membeli-belah di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, kejadian itu dilaporkan pada 1 November lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Suspek telah ditahan hari ini kira-kira pukul 5.40 petang, di Bandar Sri Damansara di sini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 atau 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat.

Media semalam melaporkan polis menerima dua laporan berkaitan tiga kejadian membabitkan seorang wanita yang didakwa mengganggu pengunjung dan pelanggan di sebuah pusat membeli-belah di ibu negara, kelmarin

Ahmad Azwan dilaporkan berkata, laporan pertama diterima pada kira-kira pukul 7.59 malam tadi daripada pengurus bangunan pusat membeli-belah berkenaan.

Katanya, laporan itu berkaitan tiga kejadian melibatkan seorang wanita yang dipercayai mengganggu pengunjung dan pelanggan di premis berkenaan.

“Polis turut menerima satu laporan daripada seorang mangsa yang mendakwa wanita terbabit bertindak menolak dan memukul dua anaknya dalam kejadian pada hari yang sama.

“Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN

Harga emas terus merudum

KOSMO!
Trend harga emas Malaysia terus menurun, susut ketara sepanjang Oktober 2026.
PETALING JAYA – Harga emas terus mencatatkan penurunan apabila susut RM17.87 kepada RM507.27 segram hari ini berbanding RM525.14 semalam.

Penurunan itu turut menyaksikan indeks emas semasa merosot kepada RM19,174.76 satu tahil berbanding RM19,850.21 sebelumnya, iaitu susut sebanyak RM675.45.

Berdasarkan harga emas spot mengikut karat hari ini, emas 999 (24K) mencatatkan harga RM502.20 segram.

Emas 950 (23K) pula berharga RM481.91, diikuti emas 916 (22K) sebanyak RM464.66 dan emas 875 (21K) pada RM443.86.

Sementara itu, emas 835 (20K) direkodkan pada RM423.57 manakala emas 750 (18K) berharga RM380.45 segram. – KOSMO! ONLINE

Rogol anak saudara hingga hamil, pesalah remaja diperintah ke Sekolah Henry Gurney hingga usia 21 tahun

Suraya Roslan
suraya@mediaprima.com.my

Putrajaya: Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini memerintahkan pesalah remaja berusia 14 tahun ketika merogol anak saudaranya hingga mangsa melahirkan anak, ditempatkan di Sekolah Henry Gurney sehingga mencapai usia 21 tahun.

Perintah itu berkuat kuasa hari ini selepas panel tiga hakim membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kangar yang mengekalkan perintah khidmat masyarakat terhadap responden yang kini berusia 19 tahun.

Pada 21 Februari 2024, Mahkamah Majistret Kangar memerintahkan responden menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan, selain diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama dua tahun.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah bersidang bersama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K Muniandy, sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan dan menggantikan perintah itu dengan penempatan di Sekolah Henry Gurney.

Hayatul Akmal yang membacakan keputusan itu berkata, hukuman terdahulu tidak setimpal dengan keseriusan kesalahan dilakukan responden, malah Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila mengekalkan perintah berkenaan.

Beliau berkata, mangsa berusia 12 tahun ketika kejadian, manakala responden yang juga bapa saudaranya berusia 14 tahun.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur di rumah neneknya di Kuala Perlis antara 12.30 tengah malam hingga 5.30 pagi, 14 Oktober 2021.

"Mangsa tidak menyedari kejadian itu dan apabila terjaga mendapati terdapat kesan cecair berlendir pada bahagian kakinya.

"Ibu mangsa membawa mangsa ke poliklinik pada 12 Mei 2022 selepas mendapati perutnya kelihatan membesar.

"Pemeriksaan mengesahkan mangsa mengandung lapan bulan ketika itu.

"Mangsa sendiri tidak mengetahui dirinya dirogol, malah tidak menyedari dia sedang mengandung. Siasatan kemudiannya mengenal pasti responden sebagai pelaku, manakala laporan kimia mengesahkan responden adalah bapa kandung kepada bayi yang dilahirkan mangsa," katanya.

Beliau berkata, keseriusan kesalahan itu tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan usia responden sebagai pesalah kanak-kanak, sebaliknya perlu mengambil kira usia mangsa, hubungan kekeluargaan serta akibat langsung perbuatan berkenaan.

Katanya, pengakuan salah responden juga tidak boleh dijadikan faktor utama dalam menentukan perintah yang sesuai, sebaliknya fakta kes dan keseriusan kesalahan perlu turut dipertimbangkan.

"Laporan akhlak dikemukakan juga hanya satu daripada faktor yang boleh dipertimbangkan dalam menentukan bentuk perintah terhadap pesalah kanak-kanak.

"Perintah khidmat masyarakat selama 120 jam tidak menggambarkan dengan secukupnya keseriusan kesalahan yang dilakukan," katanya.

Hayatul Akmal berkata, dalam kes yang mempunyai faktor pemberat luar biasa, prinsip pencegahan dan kepentingan awam sewajarnya diberikan pertimbangan lebih tinggi berbanding penekanan terhadap pendidikan serta pemulihan responden semata-mata.

"Ini bukan kesalahan jenayah biasa dan hukuman berbentuk pencegahan perlu dikenakan bagi menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata, walaupun perintah khidmat masyarakat itu sudah selesai dijalani, Mahkamah Rayuan masih mempunyai bidang kuasa untuk mengubah perintah berkenaan dan menggantikannya dengan perintah yang lebih setimpal.

"Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan responden ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga mencapai usia 21 tahun mengikut Seksyen 91(1)(f) Akta Kanak-Kanak 2001, berkuat kuasa hari ini," katanya.

Pendakwaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kangar pada 13 Disember 2024 yang mengekalkan perintah Mahkamah Majistret Kangar pada 21 Februari 2024.

Mengikut pertuduhan, responden yang juga bapa saudara mangsa melakukan persetubuhan dengan anak saudaranya berusia 12 tahun ketika mangsa sedang tidur di rumah nenek mereka di Kuala Perlis, pada 14 Oktober 2021.

Responden mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

Kedah: Pekerja pembersihan maut digilis lori kutip sisa pukal

KOSMO!
MOHAMAD Zaidi maut digilis lori sisa pukal di Taman Kelisa Ria, Sungai Petani pagi tadi.
SUNGAI PETANI – Seorang pekerja sebuah syarikat pembersihan maut akibat digilis lori mengutip sisa pukal yang dipandu rakan sekerjanya di Taman Kelisa Ria, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 11.15 pagi itu, mangsa, Mohamad Zaidi Ibrahim, 40, dari Semeling, dekat sini meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu lori bersama mangsa dan seorang lagi pekerja sedang mengutip sisa pepejal di kawasan perumahan itu.

“Selepas mengutip sampah, mangsa berdiri di bahagian pemijak besi di sisi lori sebelah kiri sebelum dia tergelincir dan terjatuh. Rakan mangsa yang berdiri di sebelah kanan kemudiannya menjerit sebelum pemandu melakukan brek kecemasan, namun mangsa ketika itu telah digilis tayar sebelah kiri dan mengalami kecederaan parah serta tidak sedarkan diri,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saksi kejadian, Azizan Ishak, 65, yang tinggal kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian berkata, dia berada di luar rumah selepas pulang berjoging sebelum terdengar jeritan meminta tolong daripada pemandu lori.

“Saya terus berlari ke arah lori berkenaan dan sempat mengajar mangsa mengucap sebelum bertindak menghubungi talian kecemasan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Siapa Adun Pulau Pinang yang dituduh serang isteri?

Malaysiakini

Kalangan pemerhati politik dan media hangat memperkatakan tentang identiti seorang Adun Pulau Pinang yang sedang disiasat polis kerana didakwa menyerang isterinya, dengan spekulasi semakin memuncak mengenai siapa individu yang terlibat dalam kes terbaru ini.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, menggesa orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan terburu-buru sambil menyatakan bahawa perkara itu harus diserahkan kepada pihak polis.

Sementara itu, Fahmi Zainol daripada PKR - yang pernah terbabit dalam kes serupa tahun lalu - segera menjarakkan diri dengan menjelaskan kejadian berkenaan tidak ada kaitan dengan dirinya.

“Kes Adun Pulau Pinang terkini tu bukan saya,” katanya di media sosial.

Fahmi yang juga Adun Pantai Jerejak dan bekas exco itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada isterinya, Nur Hidayah Abd Jabar, 35, dalam kejadian didakwa berlaku pada 22 Feb lalu.

Insiden tersebut dilaporkan berlaku pada kira-kira jam 10 malam di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Fahmi kemudiannya digantung daripada jawatan parti sementara menunggu kes mahkamah selesai, dan digugurkan daripada jawatannya exco.

Malaysiakini difahamkan bahawa insiden terbaru itu juga melibatkan seorang Adun PKR, namun identitinya tidak didedahkan sementara menunggu maklum balas terhadap pertanyaan yang diajukan.

Malaysiakini juga sedang cuba mendapatkan kenyataan daripada Pengerusi PKR Pulau Pinang, Mohamad Abdul Hamid, yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri I.

Dalam pada itu, Chow enggan mendedahkan butiran lanjut apabila ditanya mengenai perkara tersebut, sambil menegaskan bahawa pihak polis harus dibenarkan menjalankan siasatan mereka.

"Ini adalah siasatan polis yang sedang berjalan, jadi sebaiknya serahkan sahaja kepada mereka. Biarkan mereka mengendalikan kes ini," katanya seperti dilaporkan.

Apabila ditanya kedudukan Adun terbabit sama ada akan terus menjalankan tugasnya atau tidak, Chow berkata dalam kes-kes lain sebelum ini, ahli politik yang menghadapi prosiding mahkamah tetap meneruskan khidmat mereka.

Semalam, polis Pulau Pinang mengesahkan menerima laporan daripada isteri seorang Adun yang mendakwa dirinya diserang oleh suaminya di kediaman mereka.

Ketua Polis Negeri, Dennis Lim Kwang Keng, berkata kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Polis telah merakam keterangan daripada empat individu, termasuk suami dan isteri tersebut, dan setakat ini tiada tangkapan dibuat berhubung kes ini,” katanya seperti dipetik.

Lim turut menafikan dakwaan isteri ahli politik itu bahawa polis gagal mengambil tindakan terhadap laporannya.

Dia menegaskan bahawa pihak polis mengambil tindakan sewajarnya sebaik menerima laporan tersebut, serta akan mendapatkan pengesahan perubatan berhubung kecederaan yang didakwa dialami oleh wanita berkenaan.

Sindiket PATI bersenjata api

NURAINA HANIS ABD. HALIM

PET Keadaan berkenaan menjadikan usaha membanteras kegiatan penyeludupan PATI oleh Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semakin mencabar, apabila sindiket dipercayai sanggup menggunakan kekerasan bagi memastikan laluan dan operasi penyeludupan mereka tidak diganggu pihak berkuasa. ALING JAYA: Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) didakwa menggunakan senjata api bagi melindungi kegiatan haram mereka, termasuk memiliki pistol dan senapang untuk berdepan sebarang tindakan penguat kuasa yang cuba menggagalkan operasi penyeludupan di perairan negara.

Keadaan berkenaan menjadikan usaha membanteras kegiatan penyeludupan PATI oleh Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semakin mencabar, apabila sindiket dipercayai sanggup menggunakan kekerasan bagi memastikan laluan dan operasi penyeludupan mereka tidak diganggu pihak berkuasa.

Malah, tindakan penyeludup semakin agresif sehingga mengorbankan nyawa seorang anggota APMM manakala tiga lagi cedera dalam pelanggaran ketika operasi khas menahan bot disyaki membawa PATI di perairan Kuala Sungai Padang, Perlis, minggu lalu

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, operasi membanteras kegiatan ini bukan sahaja berdepan cabaran daripada segi taktik penyeludup yang sentiasa berubah, malah terdapat kemungkinan mereka mempunyai senjata api bagi melindungi kegiatan serta melarikan diri sekiranya dihidu pihak berkuasa.

Katanya, sindiket penyeludupan PATI sanggup mengeluarkan modal besar termasuk membeli bot dilengkapi enjin berkuasa tinggi bagi memastikan perjalanan dapat dilakukan dengan lebih pantas dan memudahkan mereka meloloskan diri daripada dikesan pihak berkuasa.

Malah Mohd. Rosli berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk sekitar Sungai Kelantan terutama di kawasan Tumpat hingga Kuala Besar yang pernah diugut supaya tidak membocorkan maklumat berkaitan aktiviti dan lokasi pendaratan bot penyeludup.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, bayaran yang dikenakan boleh mencecah antara RM5,000 hingga RM25,000 seorang bagi setiap PATI yang dibawa masuk ke Malaysia, bergantung kepada laluan, destinasi dan perkhidmatan yang disediakan sindiket.

“Justeru, aspek keselamatan anggota sentiasa diberi keutamaan ketika melaksanakan operasi, terutama apabila berhadapan dengan suspek yang disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Minggu lalu, Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd. Roshaimi Mohd. Ridzuan, 41, yang bertugas di Unit Perisikan Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kedah/Perlis mening­gal dunia selepas bot dinaiki ketika mengejar suspek terlanggar bongkah konkrit di kawasan Sungai Padang, Perlis yang turut menyebabkan tiga anggota lain tercampak keluar.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, ketika kejadian, ang­gota terlibat mengesan bot enjin sangkut dinaiki PATI berkenaan sekitar pukul 11 malam di perairan sekitar Kuala Sanglang.

Katanya, anggota Maritim Malaysia tersebut mengejar bot PATI berkenaan dan dalam keadaan gelap itu turut berlaku himpit menghimpit antara dua bot berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd. Rosli berkata, sindiket penyeludupan migran sering mengeksploitasi kawasan pesisir pantai yang terpencil, pulau-pulau kecil, muara sungai dan kawasan bakau sebagai lokasi transit sementara sebelum PATI dibawa masuk ke daratan.

Katanya, lokasi terbabit sentiasa berubah mengikut modus operandi sindiket dan maklumat risikan semasa dan APMM tidak menumpukan kepada satu lokasi tertentu sahaja, sebaliknya mengamalkan konsep ‘intelligence-led enforcement’ melalui rondaan berasaskan analisis risiko dan maklumat risikan terkini.

“APMM tidak akan berkompromi dalam kawalan perairan Malaysia dan akan terus mempertingkatkan rondaan laut dan udara, operasi khas, pengumpulan risikan serta penggunaan sistem pengawasan maritim.

“Ini bagi memastikan sebarang cubaan kemasukan PATI dapat dikesan dan dibanteras dengan berkesan demi menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Rosli berkata, Perak, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah dikenal pasti antara lokasi tumpuan pendaratan PATI berdasarkan faktor geografi, kedudukan strategik serta penilaian risiko terhadap laluan penyeludupan maritim.

Katanya, kawasan berkenaan mempunyai ciri seperti pantai yang panjang, pulau-pulau kecil, muara sungai, kawasan bakau serta kedudukan berhampiran laluan maritim antarabangsa yang sering dieksploitasi sindiket penyeludupan.

“Di Sabah, ancaman pendaratan PATI adalah lebih ketara berikutan kedudukannya yang hampir dengan sempadan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Suami orang dicekup khalwat dengan rakan sekerja, akhirnya isteri terpaksa jamin

Harian Metro | 01/11/2026 

Mersing: Rahsia skandal rakan sekerja terbongkar selepas lelaki berstatus suami orang ditangkap khalwat dengan wanita bujang di sebuah pusat peranginan mewah di daerah ini, tengah malam tadi.

Pasangan yang bekerja di Johor Bahru dan berusia 20-an itu ditahan jam 12.20 tengah malam selepas gagal mengemukakan dokumen pernikahan sah ketika pemeriksaan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Dalam kenyataan, JAINJ berkata, sebaik tiba di bilik di pusat peranginan berkenaan, pihaknya menekan loceng bilik sebelum dibuka dua minit kemudian oleh seorang lelaki berseluar panjang dan berbaju T.

"Pemeriksaan di dalam bilik menemukan seorang wanita yang memakai pakaian lengkap sedang duduk di katil.

"Ketika soal siasat awal, lelaki terbabit mendakwa wanita berkenaan ialah isterinya tetapi tidak membawa surat nikah.

"Taktik itu terbongkar selepas penguat kuasa mengasingkan kedua-duanya. Lelaki berkenaan tetap mendakwa sudah bernikah, manakala wanita terbabit mengaku mereka belum bernikah," katanya.

Menurut JAINJ, siasatan mendapati lelaki itu menaiki kereta dari Johor Bahru ke Mersing bersama wanita berkenaan sebelum menyewa di pusat peranginan terbabit.

Ketika ditanya sama ada bercadang untuk bernikah, kedua-duanya hanya mendiamkan diri.

"Pasangan itu ditangkap mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.

"Wanita itu dijamin oleh ahli keluarganya sementara menunggu tarikh perbicaraan di Mahkamah Syariah, manakala lelaki dijamin oleh isterinya sendiri," katanya.

JAINJ menegaskan, pihaknya hanya menjalankan tugas menguatkuasakan undang-undang dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes khalwat boleh menghubungi talian 07-2076429 dan identiti pengadu akan dirahsiakan.

Cemburu dipercayai punca pergaduhan bersenjata di Pasir Gudang

Mary Victoria Dass
Tangkap layar rakaman kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki yang bersenjatakan parang di Taman Cendana, Pasir Gudang. – Foto Tular
PASIR GUDANG: Seorang lelaki parah dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki bersenjata di hadapan sebuah rumah pangsa di Taman Cendana di sini, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian pada jam 12.18 tengah malam semalam.

Beliau berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Pasir Gudang bagi mendapatkan rawatan lanjut dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Bertindak atas maklumat, pada jam 4.34 pagi semalam sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam menahan seorang suspek lelaki berusia dalam lingkungan 30-an.

“Polis juga merampas parang yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan berkenaan. Berdasarkan semakan, suspek terbabit didapati memiliki lapan rekod kesalahan lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

“Malah hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya menerusi siaran media, hari ini.

Beliau berkata, dua kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau benda berbahaya.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh 20 tahun dan denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit.

Katanya, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952 iaitu dengan sengaja memasukkan dadah berbahaya ke dalam diri sendiri dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM5,000 atau penjara tidak lebih dari 2 tahun dan perintah pengawasan selama dua hingga tiga tahun.

“Suspek dibenarkan untuk tahanan reman selama tempoh tujuh hari mulai 1 hingga 7 November.

“Berdasarkan siasatan, motif dan punca kejadian dipercayai akibat daripada perasaan cemburu dan pihak polis sedang giat mengesan individu lain terbabit dalam kejadian terbabit,” katanya.

Sebelum ini tular, video kejadian gaduh berlaku di hadapan sebuah rumah pangsa.

Rakaman berdurasi selama 18 saat yang dimuat naik menerusi Facebook memaparkan pergaduhan membabitkan lima individu menggunakan parang di hadapan sebuah kawasan rumah pangsapuri, Taman Cendana di sini.

Terengganu: Nenek dalam perjalanan ke masjid disamun, ditumbuk pipi

AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI

DUNGUN – Seorang wanita warga emas yang dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat subuh berjemaah bukan sahaja kehilangan barang kemas malah pipinya cedera ditumbuk seorang penyamun di Kampung Sura, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 5.53 pagi itu, mangsa yang berusia 62 tahun kerugian ribuan ringgit akibat gelang tangan emasnya dilarikan penjenayah terbabit.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, sewaktu kejadian, wanita tersebut yang sedang berjalan kaki ke masjid tiba-tiba dihampiri seorang lelaki tidak dikenali.

“Suspek tiba-tiba menumbuk pipi kiri mangsa dia kali sebelum meragut gelang emas yang dipakai pada tangan kanan. Lelaki itu kemudiannya melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal berwarna biru yang sebelum itu diletakkan di tepi jalan,” katanya di sini hari ini.

Nik Ab. Halim berkata, wanita warga emas kemudiannya membuat laporan berhubung kejadian samun tersebut di sebuah balai polis berhampiran pada pukul 6.43 pagi.

Beliau berkata, gerakan untuk mengesa suspek sedang giat dilakukan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Anggota polis ditahan kes rasuah babit pengedar dadah

NORLIDA AKMAR IDROS

ALOR SETAR – Seorang anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah kira-kira RM15,000 daripada seorang pengedar dadah, dua tahun lalu.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah kira-kira pukul 2 petang tadi.

Menurut sumber, suspek dipercayai menerima wang rasuah antara RM200 hingga RM2,500 setiap bulan melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya.

Perbuatan itu disyaki sebagai balasan melindungi aktiviti pengedaran dadah serta menghalang tindakan penguatkuasaan undang-undang di negeri ini.

Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sepanjang 2024.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

Sanggup gadai motosikal ibu demi tanggung kekasih ‘biawak hidup’

KOSMO!
SUSPEK seorang wanita telah diberkas oleh pihak polis. - AGENSI
JAKARTA – Gara-gara terdesak mahu membiayai teman lelaki, seorang wanita di Kabupaten Bone, Sulawesi Selatan, sanggup mencuri dan menggadaikan motosikal milik ibu kandungnya sendiri, lapor saluran berita Lambe Turah.

Wanita berusia 28 tahun dikenali sebagai YM ditahan pihak berkuasa  selepas disyaki melarikan kenderaan itu untuk menampung keperluan harian serta perbelanjaan kekasihnya.

Kejadian dilaporkan berlaku pada Jumaat lalu di Jalan Kolonel Pol Andi Dadi, Mukim Tanete Riattang. 

Mangsa menyedari motosikal jenis Honda Scoopy berwarna kuning miliknya yang diletakkan di halaman rumah tiba-tiba hilang sewaktu hendak keluar, sebelum bertindak membuat laporan di Balai Polis Tanete Riattang.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Tanete Riattang, AKP Henri Aswan mengesahkan bahawa siasatan awal mendapati pelakunya tidak lain adalah anak kandung mangsa sendiri, dan suspek turut mengakui perbuatannya ketika disoal siasat.

Menurut pihak polis, YM telah menggadaikan kenderaan tersebut kepada seorang lelaki tempatan yang dikenali sebagai MF sebelum menyerahkan wang yang diperoleh kepada teman lelakinya.

“Suspek mendakwa wang hasil gadaian berkenaan digunakan bagi menanggung keperluan teman lelakinya selain untuk menampung perbelanjaan hariannya sendiri,” jelas Henri.

Suspek akhirnya berjaya diberkas pihak polis pada malam Sabtu sekitar jam 9.35 malam (waktu tempatan) di sebuah bilik sewa milik rakannya di Kelurahan Bajoe.

Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sebuah motosikal, sebuah telefon bimbit serta sebuah beg berisi kelengkapan solek bagi membantu siasatan lanjut. – AFP

2 maut, 1 parah nahas MPV, bas persiaran di Lebuh Raya Timur-Barat

Bernama

Mangsa yang maut dikenalpasti sebagai pasangan suami isteri manakala anak mereka parah.
Keadaan kenderaan Perodua Alza dan bas persiaran yang terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Timur-Barat, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Banjaran Titiwangsa menghala ke Gerik. (Gambar JBPM)
IPOH: Dua maut manakala seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan MPV jenis Perodua Alza dan bas persiaran di Lebuhraya Timur-Barat, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Banjaran Titiwangsa menghala ke Gerik.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 1.40 tengah hari.

Beliau berkata Perodua Alza dinaiki tiga beranak, iaitu pemandu berusia 64 tahun, isterinya 58 tahun yang duduk di tempat penumpang hadapan dan anak lelaki 28 tahun di bahagian belakang.

“Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit.

“Pemandu dan penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Sabarodzi berkata pemandu dan dua pembantu serta 30 penumpang bas persiaran itu tidak cedera.

Beliau berkata mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan manakala mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Gerik.

Rafizi batal kempen di Melaka, dipanggil ke Bukit Aman beri keterangan

Malaysiakini

Pemimpin Bersama, Rafizi Ramli terpaksa membatalkan program kempen pilihan raya negeri (PRN) Melaka esok bagi memberi keterangan kepada polis berhubung dakwaannya mengenai mafia korporat dan Naib Presiden PKR R Ramanan.

Bekas menteri ekonomi itu berkata dia menerima notis untuk hadir ke Bukit Aman pada jam 10 pagi esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 500 dan 505 Kanun Keseksaan, masing-masing berkaitan fitnah jenayah dan kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman awam.

"Saya menghormati bahawa pegawai-pegawai yang menyiasat menjalankan tugas mereka seperti yang diarahkan.

"Oleh itu, saya akan kembali ke Kuala Lumpur dan membatalkan acara kempen saya di Melaka di siang hari Selasa untuk hadir memberi keterangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rafizi, siasatan itu dibuka susulan laporan polis bertarikh 22 Okt berhubung ceramahnya di Selayang dua hari sebelumnya.

Katanya, notis polis itu merujuk kepada dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada Ramanan serta isu berkaitan mafia korporat.

Rafizi sebelum ini mendakwa Ramanan menerima wang berkenaan sebagai rasuah untuk menyelesaikan kes yang dikaitkan dengan mafia korporat.

Dia berkata ceramah itu turut menyentuh dakwaan mengenai bekas Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Mohd Shuhaily Mohd Zain yang dihadapkan ke mahkamah.

‘Seksyen sama pernah digunakan terhadap saya'

Rafizi menyamakan siasatan terbaru itu dengan tindakan yang pernah dihadapinya ketika mendedahkan skandal 1MDB, Tabung Haji, Felda dan National Feedlot Corporation (NFC).

"Apa yang saya lalui sekarang ini tidak ubah seperti siasatan-siasatan dan dakwaan mahkamah terhadap saya semasa saya mendedahkan skandal 1MDB, Tabung Haji, Felda dan NFC dulu-dulu," katanya.

Dia berkata pernah disiasat mengikut Seksyen 500 dan 505 Kanun Keseksaan berhubung isu 1MDB dan Tabung Haji, selain Seksyen 504 kerana didakwa menghina Umno.

Rafizi mengingatkan bahawa dia dibebaskan oleh mahkamah dalam semua kes berkenaan, namun kini berdepan tindakan menggunakan peruntukan undang-undang yang sama di bawah kerajaan pimpinan PKR dan Pakatan Harapan.

"Kini, kerajaan yang diterajui PKR dan PH menggunakan seksyen yang sama di bawah Kanun Keseksaan untuk menakutkan saya setiap kali saya bersuara mengenai mafia korporat dan tuduhan terhadap R Ramanan," katanya.

Cabaran terhadap Ramanan

Dalam pada itu, Rafizi sekali lagi mencabar Ramanan, yang juga menteri sumber manusia, supaya mengambil tindakan undang-undang terhadapnya jika benar-benar mahu membersihkan nama daripada dakwaan menerima rasuah RM9.5 juta.

Sebaliknya, Rafizi berkata dia sendiri telah memulakan tindakan saman terhadap Ramanan berhubung pertikaian tersebut.

Kontroversi itu tercetus susulan dakwaan ahli perniagaan Victor Chin bahawa seorang ahli parlimen PKR menerima RM9.5 juta bagi membantu menyelesaikan masalah berkaitan mafia korporat.

Ramanan sebelum ini menafikan penglibatannya dan menegaskan dia tidak mengenali atau pernah bertemu Chin, selain mencabar Rafizi mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.

Rafizi bagaimanapun menegaskan Bersama akan terus membangkitkan isu mafia korporat meskipun berdepan tekanan undang-undang.

"Saya percaya masa akan menunjukkan bahawa kami dari Bersama telah melaksanakan tanggungjawab membantu masyarakat membanteras mafia korporat tatkala parti-parti lain membisu, walaupun terpaksa berdepan dengan tekanan undang-undang seperti ini," katanya.

Rogol budak, Mahkamah Rayuan tambah hukuman penjara jadi 15 tahun

Malaysiakini

Mahkamah Rayuan hari ini meningkatkan tempoh penjara bekas pekerja domestik kepada 15 tahun kerana merogol seorang kanak-kanak perempuan bawah umur, empat tahun lepas.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Azman Abdullah mengguna pakai Seksyen 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk meningkatkan hukuman terhadap warga Indonesia Zulpandy Rispen Effendi yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun.

Azman yang bersidang bersama-sama Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K Muniandy memerintahkan Zulpandy menjalani hukuman itu dari tarikh tangkap, iaitu 7 Julai 2022.

“Hukuman penjara 10 tahun (yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen) tidak memberikan mesej kepada orang ramai mengenai keseriusan kesalahan merogol kanak-kanak,” katanya.

Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman dua sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen.

Semasa menolak rayuan Zulpandy terhadap sabitan dan hukumannya, Azman berkata kedua-dua Mahkamah Sesyen serta Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam keputusan mereka.

Beliau berkata keterangan seorang penyambut tetamu hotel bahawa pendaftaran dibuat oleh perayu yang dilihat bersama-sama seorang budak perempuan adalah konsisten dengan keterangan mangsa yang menyatakan dia menunggu di luar hotel semasa perayu membuat pendaftaran.

Pada 22 April tahun lepas, Mahkamah Sesyen Ampang mendapati Zulpandy bersalah atas pertuduhan merogol kanak-kanak perempuan yang berusia 13 tahun empat bulan ketika itu di sebuah bilik hotel di Gombak, Selangor pada 5.34 petang 26 Jun 2022.

Berdasarkan fakta kes, mangsa mengenali Zulpandy dan berkomunikasi menerusi WhatsApp selama lapan hari sebelum kejadian itu berlaku.

Mahkamah Sesyen juga memerintahkan Zulpandy menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh tahanan diikuti pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai hukuman penjara.

Pada 27 Feb, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan serta hukuman itu.

Pada prosiding hari ini, peguam Marisha Dianah Md Darus dan Ahmad Hafiz A. Bakar mewakili Zulpandy manakala Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir mewakili pihak pendakwaan.

- Bernama

Rogol pelajar Tingkatan Dua, jurukimpal dipenjara enam tahun

Alias Abd Rani
Herwan dipenjara enam tahun, dua sebatan kerana merogol pelajar bawah umur. – Foto NSTP
MUAR: Seorang jurukimpal dipenjara enam tahun dan dikenakan dua sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang kenalannya yang masih bawah umur di kawasan hutan, bulan lalu.

Tertuduh, Herwan Abdul Rani, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama setahun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa, seorang pelajar Tingkatan Dua, di kawasan hutan berhampiran Taman Kesang Bayu, Tangkak, antara jam 12 tengah malam hingga 1.30 pagi, pada 23 Oktober lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnim Saleh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada seorang wanita yang juga ibu mangsa berhubung dakwaan anak perempuannya dirogol oleh lelaki yang dikenalinya.

Siasatan awal mendapati mangsa dan tertuduh saling mengenali sejak kira-kira sebulan lalu.

Polis siasat dakwaan ADUN Pulau Pinang pukul isteri

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Georgetown: Polis menerima laporan berhubung dakwaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), di sini, memukul isterinya baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, siasatan berhubung kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, polis memanggil empat individu yang juga ahli keluarga untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

"Kita sedang melengkapkan siasatan dan memanggil empat individu yang juga ahli keluarga bagi diambil keterangan.

"Kita dapatkan pengesahan daripada pakar perubatan. Mangsa perlu dilindungi dan akan siasat bagi keadilan semua mengikut undang-undang.

"Bagi kes ini ia adalah hal keluarga, jadi tidak perlu dihebohkan," katanya.

Dennis turut menafikan dakwaan bahawa polis tidak menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

Shuhaily kembali bertugas di AKPS, pengerusikan mesyuarat strategik

Malaysiakini

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Mohd Shuhaily Mohd Zain kembali bertugas hari ini selepas bercuti selama seminggu.

Menurut kenyataan AKPS, Shuhaily mempengerusikan mesyuarat Commander's Call agensi berkenaan yang ketiga bagi tahun 2026 di Putrajaya, yang menghimpunkan semua pegawai kanan dan komander yang bertugas di pintu masuk negara.

Mesyuarat ini memberi tumpuan kepada Gerak Atur 2027, khususnya dalam memperkukuh hala tuju strategik, kesiapsiagaan operasi serta keberkesanan kawalan dan perlindungan sempadan negara.

“Fokus jelas. Gerak kerja diperkemas. Misi diteruskan. AKPS terus komited memperkukuh kecekapan pengoperasian, integriti dan keselamatan pintu masuk negara,” kata agensi itu.
Pengumuman itu dibuat empat hari selepas Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementerian membuat keputusan untuk menamatkan penempatan Shuhaily di AKPS dan ajan mengembalikannya ke pasukan polis.

Saifuddin berkata kementerian membuat keputusan itu pada minggu sebelumnya dan polis akan menentukan penempatan Shuhaily yang seterusnya.

Walau bagaimanapun, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata pada 30 Okt bahawa penempatan baharu Shuhaily hanya boleh ditentukan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan pelantikannya lebih awal di AKPS.

Dia berkata polis sedang menunggu nasihat undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara sebelum memohon perkenan Seri Paduka Baginda.

Shuhaily dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS pada 1 Julai 2025 bagi tempoh dua tahun yang berakhir pada 30 Jun 2027.

Cadangan membawa dia semula ke pasukan polis menyusuli penampilannya di mahkamah pada 21 Okt, apabila dia mengaku tidak salah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 28 Sept.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

‘Dia pukul anak saya, sebelum itu dia pukul wanita lain’

DAYANG NUR SIPIKA ABANG BUSRAH
PETALING JAYA – Seorang bapa mendakwa dua anaknya turut menjadi mangsa tindakan seorang wanita tidak dikenali yang bertindak kasar terhadap kanak-kanak dan seorang wanita di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, semalam.
Lelaki dikenali sebagai Hafizuddin berkata, kejadian berlaku ketika dia membawa dua anaknya berusia tujuh dan dua tahun ke sebuah acara Pokemon di pusat membeli-belah berkenaan.

Menurutnya, anak lelakinya yang baru pulih daripada demam sebelum itu teruja untuk mengunjungi acara berkenaan bagi mengumpul cop Pokemon.

Bagaimanapun, keadaan bertukar kecoh apabila anak lelakinya dipercayai ditolak wanita terbabit sehingga terjatuh ketika mereka sedang berjalan di kawasan berkenaan.

Katanya, sebelum kejadian menimpa keluarganya, wanita sama dipercayai telah menampar seorang kanak-kanak daripada keluarga lain sebelum bertindak menampar seorang wanita Melayu bertudung.

“Dia jenis yang lempang, kemudian terus berjalan. Kejadian itu berlaku di belakang saya dan saya tidak menyedarinya.

“Selepas itu, saya berjalan bersama anak-anak. Anak lelaki ke kanan, manakala anak perempuan ke kiri.

“Saya terdengar bunyi seperti budak terjatuh, lalu menoleh ke arah anak lelaki. Dia sudah bangun dan memandang wanita itu dengan wajah kehairanan,” katanya ketika dihubungi sebuah stesen radio.

Hafizuddin berkata, dia kemudian cuba menegur wanita berkenaan, namun wanita itu tidak mengendahkannya sebelum bertindak memukul kepala anak perempuannya yang berusia dua tahun sehingga terjatuh.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan dia segera mendapatkan penjelasan daripada wanita terbabit sebelum insiden berkenaan bertukar menjadi pertengkaran.

“Dia terus menjerit meminta polis dan mendakwa saya orang gila apabila polis bantuan datang ke lokasi kejadian.

“Saya cuma seorang ayah yang mahu membela nasib anak-anak saya kerana perkara itu berlaku betul-betul di depan mata,” katanya.

Tambahnya, dia bersama dua lagi individu yang mendakwa menjadi mangsa wanita berkenaan kemudian dipanggil ke bilik pengurusan pusat membeli-belah itu untuk memberikan keterangan dan membuat laporan.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang wanita tidak dikenali menolak seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga terjatuh sebelum memukul kepala adiknya yang berusia dua tahun di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, semalam. – KOSMO! ONLINE

Penganiayaan ke atas pelanggan yang beragama Islam: Loya tekak tengok ‘bangkai’ ayam

ATIKAH MOHD DALI
Pendedahan terhadap proses penyembelihan ayam bukan perkara baharu sebaliknya telah lama didedahkan dan memerlukan penguatkuasaan tegas pihak berwajib.
JUMAAT lalu, kita dikejutkan dengan berita mengenai sebuah premis di Puchong, Selangor dijadikan lokasi penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar yang diserbu pihak berkuasa.

Serbuan menerusi Op Taring Chiller itu mendedahkan ayam-ayam hidup di premis tersebut dipercayai melalui kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik atau ‘water bath stunning’ sebelum proses penyembelihan dilakukan.

Pemeriksaan awal mendapati kadar voltan elektrik yang digunakan dipercayai terlalu tinggi menyebabkan unggas itu mati serta-merta sebelum disembelih.

Sudah tentu keadaan itu menimbulkan keraguan terhadap aspek pematuhan hukum syarak dan status halal ayam yang diproses di premis berkenaan. Ini kerana, ayam yang sudah mati sebelum disembelih tidak memenuhi syarat penyembelihan halal.

Lebih mengejutkan, ayam yang diproses di premis itu dibekalkan ke pasar raya, kedai runcit dan kedai makan di sekitar Lembah Klang yang turut dikunjungi oleh pelanggan beragama Islam.

Setakat ini, pihak berkuasa termasuk jabatan agama masih melakukan siasatan lanjut ke atas premis yang dimiliki lelaki tempatan berusia 34 tahun itu.

Majoriti rakyat negara ini mengambil ayam sebagai sumber protein. Ayam juga menjadi pilihan utama bagi golongan ibu bapa untuk diberikan kepada anak-anak.

Jarang kita melihat kanak-kanak mengambil ikan dan daging sebagai sumber protein. Jika tiada ayam, pilihan lain adalah telur ayam. Selain mudah didapati, hidangan ayam juga senang dimasak dan menjimatkan masa. Masyarakat kita juga jarang menolak untuk memakan ayam kecuali dalam keadaan tertentu seperti alahan.

Jadi apabila perkara itu didedahkan kepada umum, ramai yang marah dan kecewa dengan pihak yang bersikap sambil lewa dalam aspek penyembelihan ayam.

Bagaimana kita mahu husnuzon (bersangka baik), lebih-lebih lagi pekerjanya adalah warga asing. Keadaan premis juga tidak terurus dan kotor. Isu keraguan terhadap proses penyembelihan ayam bukan perkara baharu.

Sudah tiba masanya pihak berkaitan bertindak tegas terhadap pusat sembelihan yang melanggar peraturan selain melakukan beberapa penambahbaikan untuk kemaslahatan jangka masa panjang antaranya mewajibkan tukang sembelihan dalam kalangan orang tempatan dan beragama Islam.

Selain itu, premis juga mestilah dilengkapi televisyen litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan pihak berkaitan melakukan pemantauan. Sebagai pengguna, kita berhak mendapat jaminan produk yang dipasarkan halal itu telah melalui proses yang mematuhi kehendak syarak dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkaitan.

Membekalkan produk yang diragui proses pembuatan atau penyembelihannya merupakan satu penganiayaan ke atas pelanggan yang beragama Islam. Tiada kompromi bagi mereka yang didapati bersalah melanggar undang-undang dengan membiarkan pelanggan memakan ‘bangkai’.

Jangan kerana sikap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab, orang ramai ragu-ragu untuk membeli ayam. Melihat gambar sahaja sudah membuatkan kita kembang tekak. -KOSMO! ONLINE

Isu 2.6 juta pekerja asing rosakkan negara jika tidak ditangani segera

Malaysiakini

PARLIMEN l Kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memastikan pelaburan baharu dalam sektor pembuatan tidak bergantung pada pekerja asing atau buruh kasar selaras dengan usaha mentransformasikan industri ke arah aktiviti bernilai tambah tinggi, automasi dan pendigitalan.

Menterinya, Johari Abdul Ghani berkata pendekatan itu merupakan sebahagian daripada langkah untuk menangani kebergantungan berpanjangan industri terhadap pekerja asing, selain meningkatkan produktiviti dan menggalakkan penggunaan tenaga kerja tempatan.

Katanya kerajaan turut memastikan pekerja asing hanya digunakan untuk pekerjaan kategori 3D, iaitu berbahaya (dangerous), sukar (difficult) dan kotor (dirty).

“Mana-mana industri yang datang kepada MITI atau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), kita akan memberi penerangan bahawa jika syarikat mahu mengambil pekerja asing, tetapi dengan syarat, ia adalah hanya untuk pekerjaan kategori 3D,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai sama ada kerajaan bersedia untuk memberikan kelonggaran dasar kepada syarikat dalam mengambil buruh asing berdasarkan keperluan industri dan perusahaan yang berlainan.

Johari berkata Malaysia kini mempunyai kira-kira 2.6 juta pekerja asing dan kebergantungan industri terhadap tenaga kerja asing masih menjadi cabaran besar yang perlu ditangani secara berperingkat.

Di bawah visi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), katanya kuota guna tenaga sebanyak 80:20 merupakan dasar utama yang mengurangkan kebergantungan pada buruh asing tidak mahir serta mempercepat peralihan industri tempatan ke arah automasi.

“Sekarang ini terbalik, 80 peratus industri memerlukan pekerja asing dan 20 peratus sahaja pekerja tempatan.

“Kita berdepan dengan banyak masalah apabila syarikat yang telah beroperasi selama 10 dan 20 tahun di negara ini masih lagi mahu pekerja asing walaupun kita mempunyai 400,000 tenaga kerja daripada kalangan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Jika kita tidak menyelesaikan dasar ini termasuk isu 2.6 juta pekerja asing (tidak termasuk pekerja asing tanpa izin), ia akan merosakkan negara pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut memberi perhatian kepada isu gaji yang ditawarkan industri memandangkan sebahagian syarikat masih menawarkan upah rendah kepada pekerja tempatan termasuk graduan TVET.

Johari berkata gaji median sektor pembuatan pada masa ini ialah RM2,775 berbanding sasaran RM4,510 di bawah NIMP 2030.

“Jika pekerjaan ini tidak memberi nilai ekonomi kepada mereka, mereka tidak akan menerimanya,” katanya, sambil menegaskan pekerja tempatan perlu ditawarkan ganjaran yang setimpal dengan kemahiran dan nilai pekerjaan.

Dalam pada itu, katanya kerajaan tidak bercadang memindahkan industri pembuatan berteknologi rendah ke luar negara, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha mentransformasikan dan menaik taraf industri sedia ada secara progresif melalui penerapan teknologi automasi dan pendigitalan.

Katanya antara aktiviti pembuatan yang menjadi sasaran transformasi ialah syarikat yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap tenaga buruh kasar dan proses manual selain mencatatkan produktiviti dan nilai tambah rendah serta menggunakan model operasi berintensifkan buruh berkemahiran rendah.

Bagi menyokong usaha itu, katanya MITI akan menyediakan pelbagai bentuk sokongan termasuk geran, dana dan insentif cukai bagi menggalakkan penggunaan teknologi pintar serta automasi dalam proses pembuatan.

Beliau berkata kerajaan juga akan memastikan proses pemodenan industri tidak menjejaskan ekosistem sedia ada terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), melalui bantuan kewangan dan sokongan teknologi di bawah kerangka NIMP 2030.

Menjawab soalan tambahan Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai pencapaian terkini dasar NIMP 2030, katanya MITI bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia untuk memperincikan pengumpulan data sektor pembuatan supaya pencapaian transformasi industri dapat diukur dengan lebih tepat termasuk dalam sektor elektrik dan elektronik, kimia, bahan termaju, aeroangkasa dan penjagaan kesihatan.

Katanya kerjasama itu penting bagi memastikan data yang dikumpulkan mencerminkan perubahan struktur industri serta membantu kerajaan merangka strategi untuk memastikan pelaburan baharu melengkapi aktiviti ekonomi domestik.

- Bernama

Jet peribadi terhempas, 9 maut: 'Mayday, Mayday, kami akan terhempas ke tanah!' - Komunikasi terakhir dari kokpit

Reuters
Jalan raya ditutup selepas sebuah jet terhempas pada 1 November 2026 di Greenacres, Florida. Laporan awal menyatakan pesawat itu membawa sembilan individu sebelum terhempas dan terbakar berhampiran kawasan perumahan. Foto Saul MARTINEZ/GETTY IMAGES NORTH AMERICA/AFP
Jalan raya ditutup selepas sebuah jet terhempas pada 1 November 2026 di Greenacres, Florida. Laporan awal menyatakan pesawat itu membawa sembilan individu sebelum terhempas dan terbakar berhampiran kawasan perumahan. Foto Saul MARTINEZ/GETTY IMAGES NORTH AMERICA/AFP
Chicago: "Mayday, mayday, kami akan terhempas ke tanah," itu antara komunikasi cemas terakhir dari kokpit pesawat persendirian jenis Learjet sebelum terhempas di kawasan perumahan di Palm Beach County, Florida, Amerika Syarikat (AS), pada petang Ahad, semalam.

Rakaman komunikasi antara kokpit dan pengawal trafik udara mendedahkan detik cemas pesawat itu ketika mengalami masalah sebelum nahas yang mengorbankan kesemua sembilan individu di dalamnya.

Pada mulanya, kru kokpit memaklumkan kepada pengawal trafik udara bahawa mereka sedang berdepan masalah pembentukan ais, namun berdepan gegaran di udara (turbulens) sederhana dan mencari keadaan penerbangan lebih stabil.

Kurang seminit kemudian, individu itu membuat panggilan 'Mayday, mayday' sambil melaporkan pesawat berkenaan tiba-tiba menjunam pada kadar 10,000 kaki (3,048 meter) seminit.

Beberapa saat kemudian, individu itu mengisytiharkan kecemasan apabila kadar penurunan pesawat meningkat kepada 20,000 kaki (6,096 meter) seminit.

"Kami akan terhempas ke tanah," kata individu berkenaan sebelum memaklumkan, kurang 20 saat kemudian, bahawa kadar penurunan pesawat sudah mencecah 22,000 kaki (6,705.6 meter) seminit ketika mula membelok.

Kira-kira 35 saat selepas panggilan Mayday pertama, perkataan terakhir yang kedengaran dari kokpit adalah "Kami sudah kesuntukan masa," yang diucapkan dengan pantas.

Dalam masa sama, laman penjejakan penerbangan Flightradar24 berkata datanya menunjukkan kadar penurunan menegak pesawat itu pada satu ketika melebihi 32,000 kaki (9,753.6 meter) seminit.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Austin-Bergstrom di Texas dan menuju ke Lapangan Terbang North Eleuthera di Bahamas.

Video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan pesawat itu menjunam ke tanah berhampiran sebatang jalan sebelum meletup.

Sementara itu, Gabenor Florida Ron DeSantis menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi besar ketika berucap pada sidang media berhampiran lokasi nahas di Lake Worth Beach.

"Apabila melihat video itu, ia sesuatu yang menggemparkan. Pesawat itu seperti peluru berpandu yang menjunam ke bawah, diikuti letupan besar dengan serpihan berterbangan ke merata tempat," katanya.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) pula berkata pihaknya sudah melancarkan siasatan berhubung nahas itu yang disifatkan Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy, sebagai 'tragedi yang mengerikan'.

Kira-kira 600 penduduk di kawasan berkenaan turut dipindahkan dan ditempatkan semula di dua pusat perlindungan di daerah itu.

Menurut badan ramalan cuaca AccuWeather, hujan lebat dan ribut petir dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan ketika nahas itu.

Gaduh akibat berebut kawasan perniagaan, 9 individu ditahan polis

BERNAMA

Kuala Lumpur: Sembilan individu termasuk seorang wanita ditahan susulan kejadian merusuh dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan perniagaan di hadapan sebuah kafe di Desa Tun Razak, Sungai Besi, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua suspek berusia 16 hingga 44 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) Balai Polis Sungai Besi dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sekitar lokasi kejadian.

Beliau berkata, polis menerima maklumat berhubung pergaduhan membabitkan sekumpulan individu kira-kira jam 11 malam.

"Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham berhubung perebutan kawasan perniagaan di kawasan berkenaan.

"Tindakan pantas pihak polis berjaya menahan lapan lelaki dan seorang wanita di sekitar lokasi kejadian termasuk dua suspek utama bagi kes ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fadil berkata, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan kumpulan terbabit semasa pergaduhan itu.

"Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati sebahagian besar suspek mempunyai pelbagai rekod kes jenayah dan narkotik.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, IPD Cheras (03-92050445/465) atau balai polis berhampiran.

Kerjasama baharu PRN Melaka boleh cetus perbalahan dalaman, kata wartawan veteran

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang wartawan veteran memberi amaran kerjasama baharu antara parti politik menjelang PRN Melaka berisiko mencetuskan perbalahan dalaman, susulan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), serta persefahaman antara Pakatan Harapan (PH) dengan Bersatu.

Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin berkata, PAS yang menerajui PN bekerjasama dengan Umno dengan matlamat akhirnya untuk menjadi parti Melayu dominan.

Sebaliknya, beliau menyifatkan Umno sebagai parti yang ‘semakin berusia’ dan ‘mencari pasangan yang sudi bekerjasama’.

“PAS ibarat peminang berusia yang tidak kisah menari bersama pasangan yang juga berusia,” katanya dalam hantaran Facebook mengenai PRN Melaka.

Kadir berkata, PH dan Bersatu pula kembali bekerjasama meskipun Bersatu merupakan antara punca utama kejatuhan kerajaan persekutuan pimpinan PH pada 2020.

“Saya tertanya-tanya sama ada impian besar PAS dan Umno serta retorik lebih besar mereka mengenai ‘perpaduan Melayu’, dan slogan PH-Bersatu ‘Melaka Rumah Kita’, akan membina sebuah ‘Kota Melaka’ baharu atau runtuh seperti istana pasir di pantai Tanjung Bidara.

“Namun, tarian antara sekutu baharu ini boleh bertukar menjadi perbalahan sesama kumpulan serigala yang kelaparan dan terdesak,” katanya.

PH bertanding di 24 kerusi, manakala rakan kerjasamanya dalam pilihan raya, Bersatu, bertanding di tujuh kerusi. Kedua-duanya akan bertembung di tiga kerusi.

Sementara itu, BN meletakkan 23 calon, manakala PN akan bertanding di baki lima kerusi.

Di peringkat persekutuan, PH dan BN merupakan sekutu dalam kerajaan, manakala Bersatu kekal sebagai komponen PN, gabungan pembangkang.

Seramai 687,697 pengundi layak menunaikan tanggungjawab mengundi di Melaka. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 10 November.

Polis siasat kes wanita didakwa kasari 2 budak di pusat beli-belah

FMT Reporters

Ketua Polis Dang Wangi Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, polis terima laporan daripada bapa mangsa pada 7.39 malam.
gaduh tampar
Tangkap layar video tular di media sosial tunjuk 2 individu bertengkar di sebuah pusat beli-belah di KL, dipercayai susulan insiden 2 kanak-kanak dikasari.
PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat tindakan seorang wanita yang didakwa menolak seorang budak lelaki sehingga terjatuh, selain memukul kepala adik perempuannya di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Ketua Polis Dang Wangi Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, pihaknya mengesan rakaman video berdurasi 35 saat, yang tular di media sosial, memaparkan pertengkaran antara dua individu di premis berkenaan dipercayai susulan insiden itu.

Beliau berkata, polis menerima laporan daripada bapa kedua-dua kanak-kanak itu pada 7.39 malam.

Katanya, pengadu melaporkan kejadian berlaku kira-kira 3 petang ketika beliau sedang berjalan bersama dua anaknya yang berusia dua dan tujuh tahun.

Seorang wanita tidak dikenali kemudian secara tiba-tiba menolak anak lelakinya dari belakang sehingga terjatuh.

“Wanita itu turut didakwa memukul bahagian belakang kepala anak perempuan pengadu yang berusia dua tahun,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Ahmad Azwan berkata, polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi, menyebarkan tuduhan atau berkongsi maklumat yang belum disahkan kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.