'Doakan ayah'.. Anak Shamsul Ghau Ghau sahkan bapa dikejarkan ke hospital akibat strok
Faida Rahim
KUALA LUMPUR: Anak kepada pelakon dan pelawak terkenal Shamsul Ghau Ghau, Megat Ummar Azhar mengesahkan bapanya kini sedang dirawat di wad kecemasan Hospital Sultan Abdulaziz Shah, Serdang selepas mengalami masalah darah beku.
Menurut Megat Ummar, bapanya itu disahkan mengalami strok dan menunjukkan tanda‑tanda gangguan ingatan sejak beberapa hari lalu.
“Setakat yang saya tahu, ayah dalam keadaan stabil. Cuma seperti pesakit strok lain, ada kala ingatannya terganggu.
"Contohnya, apabila ditanya sesuatu, dia perlu mengulang untuk memahami atau menjawab. Saya perasan keadaannya agak berbeza sejak kebelakangan ini, mak di dalam wad kecemasan untuk pemantauan,” katanya.
Megat Ummar turut memaklumkan bahawa pihak keluarga kini berdepan keperluan menyediakan deposit pembedahan sebanyak RM25,000 bagi prosedur yang diperlukan.
Sementara itu, Megat Ummar turut menjelaskan bahawa Shamsul memerlukan bantuan kewangan untuk menampung kos pembedahan dan rawatan susulan.
Pemilik nama sebenar Shamsul Azahar Aliddin itu, yang pernah menjadi antara pelawak popular era 1990‑an, kini berada di bawah pemantauan rapi pihak hospital.
Dalam pada itu, Megat Ummar memohon orang ramai agar mendoakan agar bapanya kembali pulih seperti sedia kala.