"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah catat 43 kes buli, 90 kes rogol babitkan pelajar sekolah

Noorazura Abdul Rahman

ALOR SETAR: Sebanyak 43 kes buli direkodkan di Kedah sepanjang 2025, meningkat mendadak berbanding hanya 10 kes pada 2024.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, peningkatan itu menunjukkan isu buli tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan tindakan bersepadu semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa serta masyarakat.

“Sepanjang tahun 2025, Polis Diraja Malaysia Kedah merekodkan 43 kes buli berbanding 10 kes pada 2024.

“Daripada jumlah itu, 32 kes berlaku di sekolah menengah, sembilan kes di sekolah rendah manakala dua kes lagi melibatkan sekolah persendirian.

“Daripada keseluruhan kes itu, seramai 31 pelaku ditangkap dan 11 sudah dituduh di mahkamah.

“Statistik ini membuktikan bahawa perbuatan buli bukan isu kecil dan akan berdepan tindakan undang-undang tanpa kompromi,” katanya ketika berucap pada lawatan bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat di Kolej Sultan Abdul Hamid, di sini, hari ini, sempena sesi persekolahan pertama 2026.

Selain isu buli, Adzli turut mendedahkan statistik membimbangkan berkaitan kes rogol membabitkan pelajar sekolah dengan sebanyak 90 kes direkodkan di Kedah sepanjang 2025.

Katanya, daripada jumlah itu, 78 kes melibatkan pelajar sekolah menengah manakala 12 kes lagi membabitkan murid sekolah rendah.

“Siasatan Unit D11 (Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah mendapati kebanyakan kes rogol membabitkan murid sekolah berkait rapat dengan masalah sosial dan keruntuhan moral.

“Ia termasuk disebabkan pergaulan bebas tanpa pengawasan serta kepercayaan yang disalahgunakan,” katanya.

Beliau berkata, kesedaran terhadap keselamatan diri serta pendidikan seksual dalam kalangan murid amat penting bagi mencegah jenayah daripada terus berlaku.

“Tiada sesiapa mempunyai hak untuk menyentuh, memaksa atau mengambil kesempatan ke atas diri seseorang sama ada secara fizikal, emosi atau melalui media sosial.

“Sekiranya berlaku sebarang gangguan atau perlakuan mencurigakan, laporkan segera kepada guru, ibu bapa atau pihak berkuasa,” katanya.

Adzli turut memberi peringatan tegas bahawa tiada perlindungan undang-undang diberikan terhadap sebarang perlakuan jenayah walaupun pelaku di bawah umur atau merupakan pelajar sekolah di mana undang-undang akan tetap dilaksanakan tanpa kompromi.

“Sebagai pengajaran, kita boleh merujuk kepada kes buli yang berlaku di Sungai Petani pada Julai 2025 di mana pelaku dua murid sekolah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, walaupun dua individu itu adalah pelajar perempuan tingkatan satu.

“Kes ini membuktikan bahawa satu tindakan salah boleh membawa implikasi besar terhadap masa depan seseorang.

“Oleh yang demikian, saya berharap agar tahun 2026 tidak lagi dicemari dengan kejadian buli di sekolah,” katanya.

SG4 ‘mungkin berkubur’ selepas PAS tak kuasai Perlis

Nora Mahpar

Penganalisis Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata SG4 sukar dilihat sebagai model pentadbiran stabil untuk dikembangkan ke peringkat nasional.
SG4 merujuk kepada kerjasama empat negeri yang sebelum hujung tahun lalu ditadbir PAS iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dengan Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai penasihat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Masa depan dan kelangsungan State-Government 4 (SG4) yang merujuk empat negeri ditadbir PAS kini menjadi persoalan susulan perubahan landskap politik di Perlis, kata penganalisis.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, SG4 sebelum ini digambarkan sebagai model pentadbiran yang ingin ditampilkan PAS bagi membuktikan keupayaan termasuk jika diberi mandat di peringkat persekutuan pada masa depan.

“Namun, realitinya kini berbeza. Dengan Bersatu menguasai Perlis, SG4 tidak lagi wujud dalam bentuk asalnya.

“Kini lebih tepat digelar ‘SG3+1’ memandangkan tiga negeri masih diterajui menteri besar PAS manakala satu negeri lagi tidak disertai secara langsung oleh PAS dalam pentadbiran,” katanya kepada FMT.

Beliau merujuk situasi di Perlis selepas PAS menolak menyertai pentadbiran negeri itu susulan krisis politik menyaksikannya kini diketuai Bersatu.

Ketua Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah, menggantikan Adun Sanglang, Shukri Ramli yang meletak jawatan kerana masalah kesihatan. Bagaimanapun, sebelum itu, lapan Adun Perikatan Nasional (PN) termasuk tiga daripada PAS mengemukakan akuan berkanun (SD) tidak menyokong Shukri.

Zaharuddin, perunding kanan Global Asia Consulting turut berkata tindakan PAS mungkin beri kesan kepada hala tuju dan kredibiliti SG4, terutama jika terus dipromosikan sebagai bukti keupayaan PAS mentadbir secara kolektif.

“Selagi isu kepimpinan dan kesepakatan tidak diselesaikan, SG4 sukar dilihat sebagai model pentadbiran stabil dan boleh dikembangkan ke peringkat nasional,” katanya.

SG4 merujuk kepada kerjasama empat negeri yang sebelum hujung tahun lalu ditadbir PAS iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad turut dilantik sebagai penasihat SG4, dengan peranan tidak rasmi termasuk membantu menghubungkan gabungan itu dengan pelabur luar negara, khususnya dari Jepun dan Korea Selatan.

Sebuah entiti korporat dikenali SG4 Group Sdn Bhd turut ditubuhkan bagi membolehkan negeri terlibat berkongsi hasil kekayaan dan keuntungan, dengan setiap daripadanya memegang pegangan saham sebanyak 25%.

Sementara itu, Tawfiq Yaakub dari Universiti Malaya turut senada yang ketiadaaan wakil PAS dalam kerajaan Perlis akan melemahkan SG4.

“Mungkin boleh berkubur dan insiatifnya hanya tinggal kenangan, malah sehingga kini SG4 belum tunjuk hasil, jauh beza dengan lima koridor pembangunan dibangunkan kerajaan persekutuan sebelum 2008.

“Negeri ditadbir pembangkang juga mendapat manfaat besar daripada perancangan wilayah yang tepat dan berstrategi,” katanya.

2 unit flat di Selayang terbakar

Noor Hidayah Tanzizi
SELAYANG: Penduduk flat Taman Wilayah Selayang panik apabila dua unit rumah di tingkat empat musnah dalam kebakaran.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.45 malam tadi.

Katanya, pasukan operasi membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang, dibantu BBP Gombak Selatan dan BBP Jalan Hang Tuah dengan kekuatan 25 orang anggota.

“Kebakaran membabitkan dua rumah di tingkat empat yang terbakar 100 peratus. Tindakan pemadaman menggunakan teknik ‘offensive’ dan ‘defensive’ untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran.

“Kebakaran itu dapat dikawal pada jam 9.20 malam dan berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 10.50 malam,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Tiada mangsa terbabit dalam kejadian dan punca kebakaran masih dalam siasatan lanjut.