FMT Reporters
Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata sebuah 'rumah penampungan' di lokasi terpencil kawasan kampung dijadikan markas transit untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Sebelas warga Bangladesh yang ditahan dalam operasi khas semalam. (Gambar Facebook Jabatan Imigresen)
PETALING JAYA: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket Iqbal didalangi warga Bangladesh yang menyeludup migran dan dipercayai mengaut keuntungan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta dalam operasi khas semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata 11 lelaki dan seorang wanita dari Bangladesh berusia 18 hingga 54 tahun serta seorang lelaki etnik Rohingya berusia 27 tahun dipercayai penjaga rumah migran itu ditahan.
Katanya, sebuah “rumah penampungan” di lokasi terpencil kawasan kampung dijadikan markas transit bagi menempatkan migran dibawa masuk ke negara ini untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Menurutnya, semua migran itu memasuki negara ini melalui laluan darat tidak diwartakan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand.
“Mereka ditempatkan di premis tersebut sementara menunggu baki bayaran kemasukan dilunaskan sebelum dihantar ke lokasi destinasi seterusnya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sindiket itu bergiat aktif sejak awal 2024 dan mempunyai rangkaian ejen pengatur di negara asal dengan dalang utama ialah warga Bangladesh dipercayai beroperasi dari Thailand.
Jelasnya, sindiket itu mengenakan bayaran RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap individu dan mengaut keuntungan dianggarkan mencecah RM1.5 juta hasil aktiviti haram itu.
Zakaria berkata, pihaknya giat mengesan pemilik premis warga tempatan dipercayai bersekongkol dengan sindiket itu yang menyewa dan membenarkan hartanahnya digunakan sebagai pusat transit aktiviti penyeludupan migran.
Katanya, operasi itu turut menggunakan pendekatan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators 2.0.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi meneliti kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“Tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pemilik premis menggaji, melindungi atau bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin.”
Beliau meminta orang ramai melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan jenayah penyeludupan migran dan pemerdagangan orang melalui saluran aduan rasmi imigresen bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan negara sentiasa terpelihara.
