"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami 'khayal' tembak isteri depan menantu

AFP

Bangkok: Seorang lelaki di Thailand, ditangkap polis baru-baru ini, kerana menembak mati isterinya di hadapan menantunya selepas wanita itu enggan memberi wang bernilai 10,000 baht (kira-kira RM1,300).

Memetik MS News, suspek, Tharadon, 51, dikatakan sudah lama bergelut dengan ketagihan dadah.

Menurut media tempatan, insiden itu berlaku kira-kira 6.30 petang pada 1 Disember lalu.

Difahamkan, Tharadon pergi ke rumah anak perempuan dan menantunya untuk meminta wang daripada isterinya, Sasithorn, 54.

Bagaimanapun, wanita itu enggan menunaikan permintaan itu.

Sasithorn juga mengelak bercakap dengan suspek dan bertindak bersembunyi di belakang menantunya.

Disebabkan kecewa, Tharadon mengambil senjata api, melepasi menantunya, lalu menembak isterinya dengan satu das tembakan.

Susulan kejadian itu, Tharadon kemudian melarikan diri ke rumah kakaknya sebelum ditangkap oleh pihak polis.

Dalam pada itu, Sasithorn dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan.

Sementara itu, semasa disoal siasat, Tharadon memberitahu polis bahawa dia bertindak demikian kerana dendam selepas isterinya enggan memberikan wang dan menyimpan kemarahan sejak 16 tahun lalu apabila ladang getahnya dijual pada 2009.

Anak perempuannya pula mendedahkan, bapanya sudah ketagih dadah bertahun lamanya, sering ditangkap atau dihantar untuk pemulihan dan baru sahaja keluar dari pusat pemulihan tiga hari sebelum kembali menggunakan methamphetamine atau syabu.

Kata anaknya, Tharadon kerap menuntut wang daripada ibunya dan mengugut untuk membunuhnya, menyebabkan Sasithorn mengelak tidur di rumah demi keselamatan.

Semasa penahanan, Tharadon didapati positif dadah dan mengaku mengambil dadah sebelum menembak isterinya.

Dia kini didakwa dan diserahkan kepada penyiasat untuk tindakan undang-undang lanjut.

41 pil kuda ditemui dalam Proton Wira rempuh trak askar di Bukit Belah

Hazira Ahmad Zaidi

MACHANG: Polis menemui 41 pil kemerahan disyaki pil kuda dalam Proton Wira yang merempuh trak tentera sehingga menyebabkan seorang anggota maut di Kilometer 37.8, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin, berkata ketika kejadian lelaki berkenaan memandu kereta Proton Wira dari arah Kota Bharu menghala Kuala Krai.

Sebelum kejadian, katanya ada saksi melihat kereta itu dipandu dalam keadaan terhuyung hayang di kanan kiri jalan.

Bagaimanapun, beliau berkata ujian saringan air kencing tidak dapat dilakukan setakat ini kerana lelaki berusia 34 tahun itu masih kritikal dan menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di Kubang Kerian.

“Lelaki berkenaan cedera parah di kepala dan badan serta patah kedua-dua belah kaki dan berada bawah pemantauan rapi pihak hospital.

“Oleh itu, sama ada suspek memandu di bawah pengaruh dadah atau dalam keadaan lalok masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, nahas mengorbankan seorang anggota tentera berpangkat Sarjan apabila trak tentera dinaiki bertembung proton Wira yang gagal memotong.

Ahmad Shafiki berkata, semakan polis mendapati lelaki berasal dari Gua Musang itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau membabitkan tujuh kes berkaitan narkotik dan dua kes jenayah termasuk liwat.

“Lelaki itu juga bekas banduan dan baru dibebaskan dari Penjara Machang 4 Disember lalu.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya, 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, 1987,” katanya.

2 pekerja maut, 3 cedera kren angkat arang batu runtuh

FMT Reporters

Dua warga tempatan maut dalam kejadian di loji janakuasa di Pontian.
Mangsa berjaya dikeluarkan dari bawah runtuhan kira-kira 3 petang dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Dua pekerja maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kren mengangkat arang batu runtuh di sebuah loji janakuasa dekat Kukup, Pontian hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru Mahadir Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari tadi, dua warga tempatan, Muhammad Alfarid Ahmad, 19, dan Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22, maut di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan dari bawah runtuhan kira-kira 3 petang dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Tiga lagi mangsa lelaki warga tempatan yang cedera dibawa ke Hospital Pontian untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Mahadir berkata, 15 anggota termasuk daripada BBP Pekan Nenas dikejarkan ke lokasi kejadian, iaitu di Loji Janakuasa Tanjung Bin, dan operasi turut dibantu Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) Malakoff.

Runtuhan tersebut turut menyebabkan kebakaran kecil, namun berjaya dikawal dan dipadamkan bersama pihak ERT Malakoff, tambahnya.

Polis siasat video tular treler bawa helikopter

Malaysiakini 

Polis sedang menjalankan siasatan berhubung sebuah video tular di media sosial yang memaparkan treler membawa muatan helikopter di jalan awam sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata pihaknya menerima laporan polis berhubung video itu pada 8.06 malam semalam.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 4 Dis pada 4.30 petang apabila sebuah treler membawa muatan helikopter tidak dapat melalui susur jalan dari Lebuhraya Shah Alam (Kesas) menghala ke Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya.

“Muatan yang terlalu panjang menyebabkan lori berkenaan tersangkut, sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata pergerakan sebuah ambulans turut dilihat terjejas akibat kesesakan berkenaan.

Beliau berkata setakat ini pihak polis masih belum mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan yang terbabit dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Kaedah 9(2) LN 166/59.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Subang Jaya, Insp Mohd Azizul Hakim Roslan di talian 011-289 14495.

Terdahulu, video memaparkan sebuah lori yang membawa muatan helikopter dipercayai tersangkut di susur lebuh raya sehingga menyebabkan kesesakan trafik tular di media sosial dan kejadian itu dirakam oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan.

- Bernama

'Saya tak pernah curi wang parti' - Muhyiddin nafi dakwaan Dr M

Malaysiakini 

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menafikan dakwaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa dia mencuri wang daripada parti itu seperti yang disebut dalam klip video yang tular.

Penjelasan itu dibuat Muhyiddin meskipun semalam seorang pemimpin Pemuda Bersatu Johor mendakwa rakaman video berkenaan telah disunting dan dimanipulasi pihak tertentu.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah video yang tular bahawa saya telah mencuri wang parti dan menyimpannya di rumah saya.

"Ini adalah tuduhan liar berbentuk sangkaan yang amat tidak berasas sama sekali.

"Saya tidak pernah mencuri wang parti. Semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke dalam akaun parti yang diurus secara telus oleh Bendahari Agung," kata Muhyiddin dalam kenyataan yang disiarkan di media sosial.

Muhyiddin berkata Mahathir yang juga pengasas dan bekas pengerusi Bersatu itu berkemungkinan mendapat maklumat yang tidak benar daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Sebagai seorang negarawan, beliau sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada saya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan terhadap saya.

"Dalam banyak pertemuan saya dengannya, beliau tidak pernah membangkitkan perkara ini di hadapan saya.

"Maka adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah ke atas diri saya.

Pada 12 Dis lalu, Pemuda Bersatu (Armada) Johor mendakwa klip video selama dua minit yang mengandungi tuduhan itu telah dimanipulasi oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab dan disebarkan melalui WhatsApp.

Ketua Armada Johor, Alias Rasman mendakwa Mahathir sebenarnya merujuk kepada orang lain dan bukan Muhyiddin, serta video itu telah “disunting” untuk kepentingan politik pihak tertentu.

Alias berkata dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang bertanggungjawab menyunting video berkenaan.

Dalam kenyataannya, Muhyiddin berkata walaupun berdepan tuduhan tersebut, dia masih menghormati Dr Mahathir sebagai orang yang lebih tua.

"Saya sendiri telah menyokong usaha-usaha beliau untuk mewujudkan perpaduan orang Melayu dan hubungan kami adalah akrab," katanya.

Klip video itu mula tular di WhatsApp semalam, disertakan kapsyen mendakwa Mahathir mendedahkan kononnya Muhyiddin mahu menjadi perdana menteri kerana takut dipenjarakan.

Dalam rakaman itu, Mahathir kedengaran berkata seseorang “ada masalah” dan “mahu jadi perdana menteri bukan untuk berkhidmat” tetapi kerana bimbang masuk penjara.

“Pasai (pasal) kalau dia tak jadi PM, ada kemungkinan dia masuk dalam (penjara) pasal dia pun curi duit. Saya tahu.

“Duit parti, duit bagi kepada parti dia tak bagi pada parti, dia simpan di rumah dia dan duit tu la dia belanja,” katanya tanpa menyebut sebarang nama.

Dalam bahagian lain, Mahathir turut mengkritik Muhyiddin kerana tidak mengendahkan nasihatnya supaya tidak bekerjasama dengan Najib Razak.

Hadi ‘penghalang’ bukan Islam hayati keindahan PAS

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Kenyataan Presiden PAS Hadi Awang berhubung ancaman kafir terhadap orang Islam dan mendakwa kaum itu sebagai sumber rasuah mungkin mengelakkan komuniti tersebut daripada menghayati keindahan parti terbabit, kata seorang saintis politik.

Wong Chin Huat berkata, keadaan itu mungkin ‘menghampakan’ Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Abduh Nik Aziz yang mendakwa partinya kembali dalam radar pilihan bukan Islam, bukan lagi DAP.

Menerusi hantaran di Facebook, bekas Ahli Parlimen Bachok mendakwa harapan orang bukan Islam terhadap DAP semakin retak, selepas kekalahan parti itu di semua lapan kerusi ditandingi pada PRN Sabah, bulan lalu.

Bercakap kepada FMT, Wong berkata kebarangkalian untuk PAS mendapat undi bukan Islam di luar kubu kuatnya Kelantan dan Terengganu adalah tinggi, begitu juga peluang memerintah Sabah.

Namun, beliau memberi amaran pendirian atau sikap ‘flip-flop’ Hadi mungkin menjejaskan peluang terbabit.

“Setiap Tahun Baharu Cina, TGHA (Hadi) akan memakai baju Cina dan menyiarayakan (menghebohkan) menantunya orang Cina. Kalau bukan musim CNY, beliau berbicara ancaman kafir kepada Muslim atau kafir sumber rasuah.

“Maka, malangnya bukan Islam biasa tidak dapat menghayati keindahan PAS ini dan akan menghampakan Nik Abduh,” kata penganalisis dari Universiti Sunway itu.

Hadi, Ahli Parlimen Marang sebelum ini sering mengeluarkan kenyataan ancaman kafir, yang paling diingati menerusi ‘Amanat Haji Hadi’ pada April 1981.

Tiga tahun lalu, Hadi mencetuskan kontroversi apabila menuding jari kepada bukan Muslim dan bukan Bumiputera sebagai ‘perosak politik dan ekonomi negara’, selain mengaitkannya sebagai punca rasuah.

Mengulas lanjut, Wong berkata satu daripada faktor kekalahan teruk DAP di Sabah kerana pengundi Cina negeri itu mempunyai Warisan sebagai alternatif kerana membawa sentimen tempatan.

“Undi Cina mungkin berhijrah tetapi tidak akan sampai tumbang semua, sebab itu pemimpin DAP sangat khuathir dan berjanji percepatkan reformasi dalam enam bulan,” katanya merujuk pendirian parti itu selepas PRN Sabah.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpendapat, sukar untuk melihat pergerakan undi daripada bukan Islam terutama Cina kepada PAS seperti dicanang Nik Abduh.

“Di Sabah mereka boleh ke Warisan tetapi di Semenanjung jika ‘putus asa’ dengan DAP, hendak sokong siapa?

“Kecuali ada gelombang dari MCA atau Gerakan, tetapi indikator sekarang tidak menunjukkan masyarakat Cina sudah boleh atau beralih kepada dua parti itu,” katanya.

Katanya, pengundi kelompok itu mungkin tidak mengundi pada PRU16 jika mahu memboikot DAP.

“Di Sabah ada pilihan iaitu Warisan, Semenanjung tiada…sebab itu pilihan yang ada pada pengundi Cina hari ini adalah untuk tidak keluar mengundi DAP,” katanya.

Kereta ‘baru keluar kedai’ terbakar sebelum tiba di rumah

KOSMO!
SEBUAH kenderaan terbakar di Jambatan Kanchanaphisek, Samut Prakan. - Foto Khaosod
BANGKOK – Sebuah kenderaan yang baru dibeli sepasang suami isteri di Thailand hangus terbakar sebelum mereka sempat tiba di rumah, lapor laman berita Thaiger hari ini.

Kejadian berlaku sekitar pukul 7.30 malam (waktu tempatan) semalam di Jambatan Kanchanaphisek, Samut Prakan.

Anggota-anggota bomba dan pasukan penyelamat lebuh raya berjaya memadamkan api dalam masa kira-kira 10 minit selepas menerima maklumat.

Pemilik kenderaan, Wicharn, dan isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Pasangan tersebut sebelum itu pergi ke Suphan Buri untuk membeli sebuah kenderaan terpakai dengan tujuh tempat duduk pada harga 75,000 baht (RM9,700). Mereka kemudian memandu pulang ke rumah di Phraek Sa, daerah Mueang.

Menurut Wicharn, ketika sedang memandu, asap mula keluar dari ruang enjin ketika mereka tiba di tengah Jambatan Kanchanaphisek sebelum api menyala. 

Dia segera memberhentikan kereta dan mereka berdua keluar dari kenderaan itu dengan selamat.

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan untuk menentukan punca sebenar kebakaran tersebut. – AGENSI

Hujan lebat, pusat beli-belah TRX bocor lagi

KOSMO!
KUALA LUMPUR – Pusat beli-belah The Exchange TRX sekali lagi mengalami insiden kebocoran air dipercayai susulan hujan lebat, di sini hari ini.

Menerusi perkongsian di laman sosial, kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar pukul 4.30 petang tadi.

Berdasarkan video tular, kelihatan sebahagian siling pusat beli belah itu bocor yang menyebabkan limpahan air terutama di tingkat dua berhampiran kedai buku MPH.

Sebelum ini, pihak pengurusan The Exchange TRX mengesahkan insiden kebocoran air yang tular di media sosial pada 28 November lalu berpunca daripada masalah paip.

The Exchange TRX dilaporkan berkata, kebocoran setempat itu berlaku kira-kira 6.30 petang berhampiran koridor Aras Concourse di pusat beli-belah berkenaan. – KOSMO! ONLINE

18 bayi terperangkap banjir kilat diselamat

FMT Reporters

Selain itu 10 kanak-kanak antara 34 mangsa dibawa keluar bomba selepas terperangkap susulan hujan lebat dalam kejadian di Tepian Tebrau, Johor Bahru.
Bomba membawa keluar lima guru, seorang tukang masak, 18 bayi, dan 10 kanak-kanak dari sebuah tadika. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Seramai 18 bayi dan 10 kanak-kanak antara 34 mangsa terperangkap diselamatkan bomba selepas sebuah tadika di Kampung Mohd Amin, dekat Tepian Tebrau, Johor Bahru, dilanda banjir kilat.

Banjir berpunca hujan lebat lebih sejam itu memaksa pasukan penyelamat dikejarkan ke lokasi untuk membantu mengeluarkan semua mangsa ke lokasi selamat.

Jurucakap Bomba Johor, berkata sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba Larkin dihantar ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan 4.26 petang tadi.

Katanya, operasi turut dibantu sukarelawan Ihsan Johor serta anggota dari IPD Johor Bahru Selatan.

“Anggota berjaya membawa keluar lima guru, seorang tukang masak, 18 bayi, dan 10 kanak-kanak tadika ke kawasan selamat.

“Operasi diteruskan dengan membuat rondaan dan penyelamatan di kawasan berhampiran,” katanya memetik Berita Harian.

Menurut laporan, sekurang-kurangnya 15 rumah terkesan membabitkan 60 mangsa, namun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka memandangkan banjir kilat sekitar 7 petang tadi.

Pencari petai ditembak

Bernama

KUALA PILAH: Seorang lelaki cedera dipercayai ditembak individu tidak dikenali semasa mencari petai di kawasan hutan Kampung Maasop, Senaling.

Ketua Polis Kuala Pilah Muhamad Mustafah Hussin, berkata semasa kejadian mangsa berusia 47 tahun berada di lokasi seorang diri.

“Mangsa dikatakan terkena tembakan peluru penabur di bahagian rusuk sebelah kanan dan belakang, sempat menghubungi ahli keluarga untuk meminta bantuan,” katanya dalam kenyataan.

Mustafah berkata, mangsa yang bekerja sendiri dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah dan dilaporkan stabil.

Beliau berkata, siasatan dijalankan termasuk bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971.

Orang ramai mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi IPD Kuala Pilah menerusi talian 06-4842999 atau pegawai penyiasat Muhammad Helmi Hussin 018-9851207 untuk membantu siasatan.

Tanya Mahathir, Tommy Thomas mengapa Rosmah boleh lepas - Anwar

Malaysiakini 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencadangkan agar bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas peguam negara Tommy Thomas dipertanggungjawabkan atas pembebasan Rosmah Mansor dalam kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai berjumlah RM7 juta.

Ini susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menarik balik rayuan terhadap pembebasan isteri bekas perdana menteri Najib Razak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menolak dakwaan wujud campur tangan politik, Anwar berkata Rosmah didakwa pada 2018 tetapi mahkamah kemudian membebaskannya kerana kes tersebut “lemah”.

“Saya nak jelaskan, kes mahkamah ini bukan kerana dia itu penyokong kita, seteru kita, tetapi ikut lunas jalur hukum. Bila didakwa, 2018. Apakah proses berjalan? Ya. Apa kata hakim? Lemah sangat kes itu.

“Tanya siapa peguam negara 2018? Siapa perdana menteri? Kes itu terlalu lemah dan predikatnya alasan itu sangat tidak berasas.

“Kalau hakim berkata begitu dan peguam negara teliti semula, jadi dia ambil keputusan tidak merayu,” katanya yang dipetik oleh Harian Metro selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur Al-Hidayah, Kampung Kelibang, di Langkawi.

Anwar menegaskan keputusan AG bagaimanapun tidak menjejaskan perjalanan kes lain membabitkan Rosmah dan ia masih berjalan.

“Kes lain berjalan seperti biasa. Tetapi saya ingin mengingatkan rakan-rakan, baik pembangkang atau kerajaan ataupun badan kerajaan atau badan guaman.

“Harus ingat bahawa prinsip keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang mesti dipelihara. Jangan kerana kita tidak senang dengan satu dua kelompok, maka kita mesti putuskan ikut selera politik masing-masing,” katanya.

Rosmah dan Najib didakwa ketika pentadbiran Pakatan Harapan selama 22 bulan antara 2018 hingga 2020. Isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail, merupakan timbalan perdana menteri ketika itu.

Ketika dihubungi, Thomas hanya menjawab: “Tiada komen.”

AGC dalam kenyataannya berkata mereka tidak akan meneruskan rayuan terhadap pembebasan Rosmah daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN kerana tiada prospek untuk mensabitkannya.

"Antara faktor yang telah diambil kira dalam mencapai keputusan tersebut ialah sekiranya rayuan diteruskan, pihak pendakwaan tidak akan dapat membuktikan kes melampaui keraguan munasabah sebagaimana diperlukan dalam pembuktian sesuatu perbicaraan jenayah.

“Ini memandangkan saksi-saksi penting yang diperlukan untuk membuktikan pertuduhan terhadap tertuduh telah meninggal dunia dan tidak lagi dapat dikesan," kata Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan.

Kedah: Dua remaja maut motosikal terbabas langgar sisi treler

Zuliaty Zulkiffli
BALING: Dua remaja lelaki maut selepas motosikal dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler ketika melalui selekoh di Jalan Parit Panjang-Kuala Ketil berhampiran Kampung Tembak, di sini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Anak Richard Joe berkata, kejadian berlaku ketika dua remaja berusia 17 dan 19 tahun dalam perjalanan pulang dari Kulim ke Kampung Batu Besar di Sik.

Berdasarkan maklumat, katanya motosikal ditunggang remaja berusia 17 tahun itu dikatakan terbabas ketika melalui selekoh sebelum melanggar sisi treler.

“Penunggang dan pembonceng dilapor cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Baling untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Bankrap idea: Retorik anti-DAP MCA tak bawa makna

Lynelle Tham

Asrul Hadi Abdullah Sani dari ADA Asia Tenggara berkata MCA berada dalam kedudukan yang terlalu lemah untuk menentukan syarat dengan pesaingnya bagi meraih undi Cina.
AGM MCA
MCA, kumpulan pengundi masyarakat Cina Barisan Nasional sejak sekian lama, telah menyaksikan pengaruhnya merosot dengan ketara sejak PRU 2013. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Keputusan MCA untuk tidak bekerjasama dengan DAP pada PRU akan datang bukanlah soal ideologi, sebaliknya kelemahan parti itu sendiri, kata seorang penganalisis, sambil berkata retorik tegas komponen Barisan Nasional (BN) itu akhirnya tidak membawa makna.

Asrul Hadi Abdullah Sani daripada ADA Southeast Asia berkata bahawa walaupun kenyataan Presiden MCA Wee Ka Siong kelihatan bersifat konfrontasi, parti itu tidak mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi untuk menyokong pendirian tersebut.

“MCA bergelut untuk membina semula jentera akar umbi yang meyakinkan sejak PRU14. Tanpa keupayaan mobilisasi, kenyataannya lebih bersifat retorik daripada usaha yang benar-benar boleh digerakkan,” katanya kepada FMT.

“Pada masa yang sama, DAP tidak menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan MCA. MCA juga tidak mempunyai insentif untuk memberi isyarat sebaliknya.”

Asrul turut berkata MCA mempunyai kuasa tawar-menawar yang lemah memandangkan ia hanya memenangi dua daripada 44 kerusi Parlimen yang ditandinginya pada PRU15.

“Dalam keadaan sekarang, MCA tidak mempunyai sebarang kelebihan bermakna untuk dibawa ke meja rundingan,” katanya.

Pada mesyuarat agung tahunannya hujung minggu lalu, MCA meluluskan usul menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP pada PRU16, yang Wee kaitkan dengan perbezaan ideologi.

Perwakilan turut memutuskan bahawa MCA harus menentukan haluannya sendiri jika mana-mana rakan BN memilih untuk bekerjasama dengan DAP — satu sindiran jelas kepada Umno.

Lau Zhe We dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata MCA boleh menguji kekuatannya menentang DAP pada PRN Melaka dan Johor yang dijangka berlangsung pada 2026 dan 2027. Namun katanya, parti komponen BN itu perlu banyak bergantung kepada undi Melayu daripada Umno untuk berjaya.

Beliau turut memberi amaran bahawa nasib MCA mungkin tidak bertambah baik walaupun ia bertanding secara langsung.

“MCA berada dalam kedudukan pasif. Tidak kira banyak mana yang dilakukan, pengundi mungkin tidak mahu kembali menyokong.”

Lau mengakui bahawa MCA aktif mendekati pengundi, tetapi berkata sokongan masyarakat Cina hanya akan kembali sekiranya DAP melakukan kesilapan besar yang menjadikannya sukar dipilih.

Pengawal keselamatan maut digilis dua kenderaan

Mohd Khidir Zakaria

PORT DICKSON: Seorang pengawal keselamatan maut digilis dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer 29 Lebuhraya Seremban-Port Dickson, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, mangsa berusia 67 tahun menunggang motosikal untuk pulang ke rumah dari tempat kerja sebelum terbabit dalam kejadian jam 6.15 pagi itu.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Seremban ke Port Dickson.

“Setibanya di tempat kejadian, sebuah Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 23 tahun dipercayai melanggar motosikal mangsa dari belakang.

“Mangsa yang terjatuh kemudian dilanggar dua kenderaan lain membabitkan Grand Livina dipandu wanita berusia 32 tahun dan Perodua Alza dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Maslan berkata, kejadian menyebabkan mangsa cedera parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Port Dickson manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wanita didakwa culik ahli perniagaan warga Bangladesh

Bernama

Seorang pembantu kedai wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menculik seorang ahli perniagaan warga Bangladesh di hadapan sebuah masjid di Selayang, Jun lepas.

Jun'haidati Tukiman, 47, bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa menculik lelaki berusia 47 itu untuk wang tebusan di hadapan Masjid An-Nur, Taman Sri Murni dekat Kuala Lumpur pada 11.30 malam 26 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 30 tahun maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Dr Azrol Abdullah menetapkan 13 Feb 2026 untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Vivien Yeap Jie Xi manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Zaidi Othman.

Pada 30 Julai lepas, tujuh lelaki warga asing didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur atas pertuduhan sama.

- Bernama

‘Video tular Mahathir tuduh Muhyiddin curi duit parti dimanipulasi’

Malaysiakini 

Pemuda Bersatu (Armada) Johor mendakwa pihak tertentu telah “memanipulasi” rakaman video pertemuan mereka dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya awal minggu ini.

Ini susulan tularnya satu klip berdurasi dua minit di WhatsApp, yang memaparkan Mahathir skononnya menuduh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mencuri wang parti.

Ketua Armada Johor Alias Rasman menafikan perkara itu dan mendakwa Mahathir sebenarnya merujuk kepada individu lain, bukan Muhyiddin.

Dakwanya, video tersebut telah “disunting” demi kepentingan politik pihak tertentu.

“Orang itu sunting-sunting, potong-potong. Jadi benda itu misleading (mengelirukan).

“Saya kenal siapa buat itu dan saya akan buat laporan polis,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Peguam itu juga berkata dia akan memfailkan tindakan undang-undang sivil terhadap individu yang terlibat menghasilkan klip tersebut.

Alias menjelaskan bahawa pertemuan itu adalah sebahagian daripada kunjungan hormat Armada Johor ke pejabat Mahathir, dan perkara tersebut diketahui oleh Muhyiddin serta Ketua Armada Hilman Idham.

Katanya lagi, Mahathir sebenarnya menyentuh “isu-isu lebih penting” dalam pertemuan itu, namun individu tertentu yang hadir telah memilih untuk “memanipulasi video” berkenaan.

Klip video yang mula tersebar pagi tadi disertakan kapsyen mendakwa Mahathir membongkar kononnya Muhyiddin mahu menjadi perdana menteri kerana takut dipenjarakan.

Dalam rakaman itu, Mahathir kedengaran berkata seseorang “ada masalah” dan “mahu jadi perdana menteri bukan untuk berkhidmat” tetapi kerana bimbang masuk penjara.

“Pasai (pasal) kalau dia tak jadi PM, ada kemungkinan dia masuk dalam (penjara) pasal dia pun curi duit. Saya tahu.

“Duit parti, duit bagi kepada parti dia tak bagi pada parti, dia simpan di rumah dia dan duit tu la dia belanja,” katanya — tanpa menyebut sebarang nama.

Dalam bahagian lain, Mahathir turut mengkritik Muhyiddin kerana tidak mengendahkan nasihatnya supaya tidak bekerjasama dengan Najib Razak.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Mahathir dan Muhyiddin untuk mendapatkan ulasan masing-masing.

Sindiket pekerja asing: Bangladesh dakwa 232 individu seleweng RM2.68 bilion

B Nantha Kumar

Agensi Anti-Rasuah Bangladesh (ACC) memulakan tindakan undang-undang terhadap 232 individu termasuk pemilik, pengerusi, pengarah urusan dan pengarah syarikat melibatkan 100 agensi pekerja asing, atas dakwaan penglibatan dalam sindiket rasuah dan pecah amanah lebih RM2.68 bilion membabitkan pengambilan pekerja ke Malaysia.

Dalam kenyataan semalam, ACC berkata, individu-individu berkenaan didakwa menerima bayaran beberapa kali ganda berbanding kadar RM2,670 (BDT 78,990) yang ditetapkan kerajaan Bangladesh untuk penghantaran pekerja ke Malaysia.

"Para tertuduh dipercayai telah melakukan pengubahan wang haram dengan menyamarkan, memindahkan dan menukar wang yang diperoleh secara haram melalui cara tidak sah.

"Kesalahan mereka termasuk pecah amanah jenayah, mengambil wang melebihi kos yang ditetapkan kerajaan dengan tujuan jahat, dan menyelewengkan wang pekerja yang dihantar ke Malaysia.

"Setiap pekerja yang dihantar terpaksa membayar yuran pasport, pemeriksaan kesihatan dan bayaran lain yang sepatutnya dikawal oleh kontrak, namun dimanipulasi oleh sindiket ini. Kes ini melibatkan jumlah wang yang besar, dianggarkan sebanyak RM2,685,893,197 (BDT7,984,15,07,500)," kata agensi tersebut.

Tambahnya, jumlah 232 individu dan 100 agensi ini termasuk 40 kes sebelumnya yang melibatkan 108 tertuduh dan wang diselewengkan sebanyak RM1,156,870,975 (BDT 3,438,94,25,000).

Ketika dihubungi, peguam kepada Altab Khan yang menjadi pengadu kes ini–Md Rafiqul Islam, mengesahkan keputusan ACC kepada Malaysiakini.

"Saya boleh sahkan ACC mengambil tindakan undang-undang ke atas semua 100 agensi yang dilaporkan oleh anak guam saya," katanya.

Altab membuat laporan polis pada 3 Sept tahun lalu di Balai Polis Paltan, Bangladesh mendakwa 100 agensi pekerja asing dan 103 individu menggelapkan RM8.36 bilion melalui sindiket terancang.

Antara nama besar yang disebut dalam laporan itu adalah bekas setiausaha kanan Ahmed Munirus Saleheen dan bekas ahli parlimen Nizam Uddin Hazari.

Mengulas lanjut, ACC berkata siasatan mendapati mereka yang dilantik sebagai ejen pengambilan buruh di bawah perjanjian antara kerajaan Bangladesh dan Malaysia mengabaikan syarat pemilihan dan kewangan yang telah ditetapkan.

"Tindakan itu adalah sebahagian daripada konspirasi jenayah untuk mengambil kesempatan daripada ketirisan dan korupsi dalam proses penghantaran tenaga kerja, dengan niat jahat mengeksploitasi pekerja yang dihantar ke luar negara.

"Sebagai sebahagian daripada konspirasi itu, para tertuduh dilaporkan menerima imbuhan haram selain daripada bayaran sah yang telah dipersetujui dalam kontrak

"Mereka juga dituduh menerima wang secara haram untuk mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab kontrak yang sah," kata agensi itu.

Malaysiakini turut melihat kertas siasatan mendapati bahawa mereka akan mendakwa individu-individu ini di bawah Seksyen 120(B), 161, 162, 163, 164, 165(A), 420, 409 dan 109 Kanun Keseksaan, Seksyen 4(2) & 4(3) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2012, serta Seksyen 5(2) Akta Pencegahan Rasuah 1947 negara Bangladesh.

ACC menegaskan bahawa sindiket ini bukan sahaja merugikan pekerja, tetapi juga menjejaskan reputasi negara dalam urusan penghantaran buruh antarabangsa.

"Kes ini akan menjadi antara siasatan terbesar membabitkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dalam sejarah Bangladesh," katanya.

Untuk rekod, penghantaran pekerja Bangladesh ke Malaysia disambung semula pada Ogos 2022 selepas hampir enam tahun tergendala.

Namun, pada Mei lalu – selepas lebih 476,000 pekerja dihantar – program itu dihentikan menyebabkan 17,000 lagi pekerja berlesen tidak dapat berlepas.

Putrajaya ketika itu hanya memberi kebenaran kepada 25 agensi Bangladesh untuk menghantar pekerja yang kemudian dikenali sebagai "sindiket" yang dikatakan mempunyai kaitan dengan empat bekas menteri dan ahli parlimen Bangladesh.

Walaupun kerajaan Bangladesh menetapkan kos rasmi pada sebanyaj 79,000 taka (kira-kira RM3,400) bagi setiap pekerja, pekerja pula mendakwa mereka dipaksa membayar sehingga 544,000 taka (kira-kira RM23,000) seorang.

Daripada jumlah itu, kira-kira 142,000 taka dikutip oleh ejen di Bangladesh dan 150,000 taka lagi oleh sindiket di Malaysia bagi setiap visa.

Budak 1 tahun meninggal dunia, pengasuh ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kanak-kanak perempuan berusia setahun meninggal dunia selepas dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri ke sebuah klinik swasta di Bandar Sendayan, Isnin lalu.

Ketua Polis Seremban Azahar Abdul Rahim, berkata mangsa dibawa ibunya ke klinik berkenaan pada 5.50 petang sebelum doktor bertugas melakukan bantuan pernafasan (CPR), namun mangsa disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa dijaga pengasuh berusia 32 tahun dikatakan berada dalam keadaan lemah.

“Mangsa dijaga oleh pengasuh itu lebih kurang lima bulan, mayat kanak-kanak itu telah dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat dan keputusan mendapati terdapat kecederaan pada bahagian abdomen. Pengasuh itu ditahan dan diberi jaminan,” katanya menurut Bernama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

PAS dah tak menghiraukan Muhyiddin Yassin

Aliakbar akan sokong Hajiji di DUN Sabah, kata PAS

Faiz Zainudin

Kenyataan PAS itu bercanggah dengan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, yang berkata Adun Karambunai akan berada dalam blok pembangkang.
 
tuan ibrahim tuan man n aliakbar gulasan
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Aliakbar Gulasan menyokong Hajiji Noor bagi mengukuhkan kepimpinan beliau sebagai ketua menteri dan demi kestabilan Sabah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Adun Karambunai Aliakbar Gulasan akan menyokong pentadbiran Hajiji Noor di Sabah, kata PAS.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata walaupun tidak berada dalam Kabinet negeri, Aliakbar bukanlah orang asing dalam pentadbiran Hajiji kerana sebelum ini beliau pernah berkhidmat sebagai Adun lantikan.

“Sekarang beliau dipilih oleh rakyat, maka keputusan ini akan membantu beliau melaksanakan tugas sebagai Adun Karambunai.

“Walaupun tidak berada dalam Kabinet kerajaan Sabah, namun beliau diberi mandat untuk menyokong mana-mana perkara baik yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya kepada FMT.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu bercanggah dengan pengumuman Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin semalam, yang berkata Aliakbar akan berada dalam blok pembangkang.

Tuan Ibrahim berkata langkah itu juga bagi mengukuhkan mengukuhkan kepimpinan dan kestabilan kepimpinan Hajiji sebagai ketua menteri.

Katanya, keputusan itu akan dimaklumkan kepada pucuk pimpinan PAS dan menerusi mesyuarat PN.

Aliakbar mencipta sejarah apabila menang kerusi sulung PAS di Sabah pada PRN 29 Nov lalu, apabila meraih 7,054 undi dalam saingan 11 penjuru, menewaskan calon Warisan (6,689 undi), Gabungan Rakyat Sabah (4,818 undi) dan Barisan Nasional (4,475 undi).

Gabungan Rakyat Sabah memenangi 29 kerusi. Gabungan itu kemudian bekerjasama dengan Pakatan Harapan, BN, Upko dan lima calon bebas untuk membentuk kerajaan negeri.

Warisan, yang memenangi jumlah kerusi kedua terbanyak (25), berada dalam blok pembangkang bersama Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, Jeffrey Kitingan, yang dipilih semula di Tambunan.

Kelantan: Anggota tentera maut, trak bertembung kereta

FMT Reporters

Kejadian itu turut menyebabkan tiga anggota tentera cedera dan seorang orang awam cedera parah.
Kemalangan di Kampung Bukit Belah di Machang, Kelantan petang tadi menyebabkan seorang anggota tentera maut dan empat lagi cedera termasuk seorang orang awam. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Seorang anggota tentera maut manakala tiga lagi cedera selepas trak dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Bukit Belah di Machang, Kelantan petang tadi.

Kejadian kira-kira 6.51 petang itu, turut menyebabkan seorang orang awam yang memandu kereta jenis Proton Wira cedera parah, lapor Sinar Harian.

Komander Operasi Balai Bomba Machang, Mohd Fadzil Musa berkata, pihaknya menerima panggilan daripada IPD Machang mengenai kemalangan itu sebelum bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera bersama enam anggota.

Katanya, setibanya di lokasi, pasukannya mendapati pemandu Proton Wira, tersepit dan cedera parah.

“Seorang anggota tentera maut di lokasi kejadian manakala tiga lagi turut mengalami kecederaan.

“Semua mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

‘Bapa tiri cemburu bila mama cakap dengan sesiapa’

NOOR HASLIZA NUSI
Suspek dalam keadaan tangan bergari dibawa ke rumahnya di flat Jalan Tuna, Seberang Jaya, petang tadi. Gambar DANIAL SAAD/KOSMO!
SEBERANG PERAI – “Yang kami tahu, bapa tiri tidak bekerja dan dia cemburu jika mama bercakap dengan sesiapa.”

Itu kata Ezlyn Ilyana Hardiha Shayrin Yezral, anak kepada Wan Khairul Safinah Ishak, 44, wanita yang dipercayai dibunuh suaminya di sebuah flat di Jalan Tuna, Seberang Jaya, di sini.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, suspek juga sebelum ini melarang ibu mereka bekerja.

“Tetapi pada awal November lalu, mama beritahu yang dia kembali bekerja di kios sebuah pasar raya sebelum minta kami belikan dia telefon bimbit.

“Mama sebelum ini kerja kilang dan mengenali lelaki itu di kilang sama, tetapi selepas berkahwin, bapa tiri melarang dia bekerja,” katanya di sini, hari ini.

Dia turut menyifatkan arwah ibunya seorang yang pendiam dan jarang berkongsi masalah yang dihadapi.

Mengulas mengenai kejadian berlaku, katanya, dia telah dihubungi adik keduanya berhubung kejadian menimpa ibu dan kemudiannya bergegas ke kediaman wanita tersebut.

“Kali terakhir jumpa mama pada dua minggu lalu ketika saya dan suami membawanya keluar makan dan main boling.

“Waktu itu, mama tidak menunjukkan sebarang perubahan. Malah, kami ada berhubung melalui WhatsApp pada Isnin lalu, dia ada minta tambah nilai telefon.

“Ketika ini, kami hanya tunggu proses bedah siasat yang akan dijalankan pagi esok dan jenazah mama dijangka dikebumikan di kampungnya di Alor Setar, Kedah esok,” katanya dalam nada sebak. -KOSMO! ONLINE

Jual mi babi tapi pakai tudung, kopiah

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan keadaan di gerai mi tersebut. - TikTok
JAKARTA – Sebuah gerai menjual mi babi di Bandung, wilayah Jawa Barat mengundang kecaman ramai kerana pekerjanya didakwa mengelirukan pembeli dengan memakai pakaian menyerupai orang Islam, lapor laman berita Detik semalam.

Gerai itu terletak di Jalan Cibadak dan sudah beroperasi selama 22 tahun.

Namun, video mengenainya tular baru-baru ini apabila pekerja dilihat memakai kain pelekat dan kopiah, selain pekerja wanita memakai tudung.

Keadaan itu mencetuskan kemarahan ramai pengguna beragama Islam yang menyifatkan kedai tersebut sengaja mengelirukan pembeli dengan berpakaian sedemikian.

Menurut orang ramai, tindakan itu menyebabkan pelanggan beragama Islam yang tidak tahu mengenai status halal gerai tersebut pergi membeli makanan di situ.

Dalam satu video tular di platform TikTok, gerai tersebut dilihat dikunjungi ramai pelanggan, manakala pekerjanya menyiapkan pesanan dengan pantas.

Video kemudian dihalakan ke arah pekerja yang memakai tudung dan kopiah, menyebabkan ramai menyelar tindakan tersebut kerana premis itu diketahui menjual mi babi.

Kritikan serupa juga disuarakan oleh pakar makanan halal, Dian Widayanti, yang menganggap penggunaan elemen Islam dalam konteks itu sebagai tidak sesuai.

“Sejujurnya, saya tidak faham penjual yang memakai pakaian seperti orang Islam. Mereka memakai kopiah dan tudung tetapi menjual daging babi,” kata Dian.

Dian menjelaskan bahawa terdapat banyak gerai makanan tidak halal di kawasan Cibadak. 

Justeru, beliau berharap agar penjual dapat memberikan maklumat langsung dan menyediakan papan tanda visual di lokasi untuk mengelakkan salah faham. – AGENSI

Wakil rakyat ‘tangkap’ isteri curang dengan sepupu sendiri

KOSMO
Kamrianto didakwa membakar kereta milik Iskandar bulan lalu. - Istimewa
JAKARTA – Seorang ahli Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Indonesia menjadi perhatian ramai apabila ‘menangkap’ isterinya curang dengan lelaki lain, sebulan selepas dia sendiri ditahan atas dakwaan membakar kereta milik seorang anggota parti lawan, lapor laman berita Tribunnews kelmarin.

Anggota DPRD Sinjai, Kamrianto, menangkap isterinya, DA, berdua-duaan di rumah mereka dengan sepupunya sendiri dikenali sebagai SH.

Dalam kejadian tersebut, Kamrianto yang mewakili Parti Amanat Nasional (PAN) pada awalnya melihat sebuah motosikal tidak dikenali diparkir di hadapan rumahnya.

Dia kemudian masuk perlahan-lahan ke dalam rumah sebelum ‘menangkap’ SH dan DA sedang berdua-duaan.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Sinjai, Inspektor Pertama Adi Asrul berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung perkara itu, manakala DA dan SH dinamakan sebagai suspek.

Pada bulan lalu,Kamrianto ditangkap bersama rakannya, SF kerana dipercayai terlibat dalam kes pembakaran sebuah kereta milik anggota daripada Parti Demokrat, Iskandar.

Kes itu sehingga kini masih disiasat. – AGENSI

Jasad bayi dijumpai dalam lori sampah di Bukit Jalil

MOHD. FAHMI ISMAIL
Jasad seorang bayi ditemui di dalam lori sampah di Bukit Jalil hari ini.
KUALA LUMPUR – Penemuan objek dipercayai bayi dalam lori sampah menggemparkan penduduk di Bukit Jalil, di sini hari ini.

Lebih memilukan, bayi yang dipercayai baru lahir itu ditemukan dalam keadaan menyerupai posisi fetus dan dipenuhi air buangan di bahagian belakang kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, seorang pekerja Syarikat Alam Flora menjumpai bayi itu ketika sedang memunggah sisa sampah.

“Kes masih dalam siasatan. Perkembangan akan dimaklumkan,” katanya hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Elfi di talian 011-1004 8773 atau Hotline Polis Daerah Cheras di 03-9284 5050, Hotline Polis Kontinjen Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, dua video masing-masing berdurasi lapan dan 14 saat tular di media sosial memaparkan objek menyerupai bayi ditemukan dalam timbunan sisa dalam sebuah lori sampah. – KOSMO! ONLINE

Tunjuk parang dalam panggilan video minta wang, pelajar tingkatan tiga ditahan

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Gombak: Pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di sini, ditahan selepas disyaki membuat ugutan bunuh ke atas rakannya baru-baru ini.

Menurut sumber, remaja lelaki itu didakwa membuat panggilan video kepada mangsa yang juga pelajar tingkatan tiga bagi meminta wang kira-kira 2.30 petang pada Isnin.

"Dalam panggilan video itu suspek menunjukkan tiga bilah parang, sambil meminta wang daripada mangsa.

"Suspek dikatakan menyuruh mangsa untuk memilih parang sekiranya enggan memberi wang, mangsa mendakwa diugut sejak tingkatan satu," katanya hari ini.

JPN siasat tindakan sekolah jemput pempengaruh Faiz Soul rasmi majlis anugerah akademik

Susulan itu, mangsa membuat laporan berhubung perkara itu semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan suspek seorang pelajar tingkatan tiga sudah ditahan baru-baru ini," katanya.

Lelaki mengaku tak salah liwat anak tiri Sindrom Down

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan meliwat anak tirinya yang juga kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) Sindrom Down berusia 11 tahun, minggu lalu.

Tertuduh yang juga seorang mekanik, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason, lapor Harian Metro.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii iaitu dengan memasukkan kemaluannya ke dalam dubur mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Bandar Universiti, Seri Iskandar, Perak Tengah kira-kira 7 malam, 2 Disember lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nor Arfahanim tidak menawarkan jaminan berikutan mangsa masih kanak-kanak.

Bagaimanapun katanya, jika mahkamah membenarkannya, pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin yang bukan dalam kalangan ahli keluarga.

Namun tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan memandangkan pendapatannya hanya RM1,800 sebulan manakala isterinya yang berniaga pakaian terpakai berpendapatan sekitar RM500 sebulan selain menyara dua anak termasuk mangsa.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dengan dua syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke balai polis pada setiap awal bulan serta tidak mengganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai dibicarakan.

Sebutan semula ditetapkan pada 29 Januari bagi serahan dokumen.

Dua wanita Filipina mengaku salah miliki kad pengenalan Malaysia palsu

Omar Ahmad
Janida (kiri) dan Noraini (kanan, baju kuning) mengaku salah memiliki kad pengenalan Malaysia palsu. Foto NSTP
Janida (kiri) dan Noraini (kanan, baju kuning) mengaku salah memiliki kad pengenalan Malaysia palsu. Foto NSTP
JOHOR BAHRU: Dua wanita warga Filipina mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki kad pengenalan Malaysia palsu, Isnin lalu.

Prosiding bersambung esok dengan pasukan pembelaan akan mengemukakan hujahan mereka.

Pengakuan berkenaan dibuat tertuduh, Nuraina Asmawil, 33, dan Janida Daimun, 53, sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.

Mengikut kertas pertuduhan, Nuraina yang bekerja sebagai penyelia syarikat pembersihan di sebuah pusat beli-belah dan sudah berada di negara ini sejak 5 tahun lalu, didakwa memiliki dua kad pengenalan palsu atas nama dua individu berbeza sebagai pengenalan diri tanpa kuasa sah.

Sementara itu, Janida yang menetap di negara ini sejak 2007 dan bekerja sebagai pekerja pembersihan, menghadapi pertuduhan memiliki dua kad pengenalan palsu atas nama seorang individu sebagai pengenalan diri tanpa kuasa sah.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor, kira-kira jam 7 malam pada 8 Disember lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, Akta Pendaftaran Negara 1959, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Noor Aliah Yaacob, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Norasyikin Md Jabarulla.

Norasyikin dalam hujahnya memohon denda dikurangkan terhadap kedua anak guamnya kerana mengaku bersalah di awal pertuduhan dan menjimatkan masa mahkamah.

“Saya memohon hukuman denda yang rendah kerana tertuduh (Nuraina) adalah ibu tunggal dan mempunyai tiga anak yang masih bersekolah, serta mempunyai pendapatan RM1,500 sebulan.

“Tertuduh (Janida) adalah seorang ibu tunggal mempunyai lapan anak, yang mana empat daripadanya masih bersekolah. Tertuduh juga berpendapatan RM50 sehari selain mengalami masalah kolestrol, darah tinggi dan jantung,” hujahnya.

Bagaimanapun, Noor Aliah memohon mahkamah memberikan hukuman yang berat kerana ia membabitkan kedaulatan negara dan turut membabitkan isu keselamatan.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan setiap tertuduh membayar denda RM5,000 dan sekiranya gagal, mereka akan dipenjara selama enam bulan.

Sultan Selangor tegur kelakuan tak beradab MP di Dewan Rakyat

Wong Chun Wai & Bernama

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur anggota Parlimen yang gagal menunjukkan contoh baik dan meminta mereka mewakili rakyat dengan penuh hormat, maruah dan integriti.

Baginda menzahirkan rasa kecewa terhadap segelintir wakil rakyat yang terjerumus dalam pertengkaran, jerit-menjerit serta tingkah laku tidak tertib di Dewan Rakyat.

“Keadaan ini memalukan. Walaupun pelbagai peringatan telah diberikan sebelum ini, masih ada yang terus berkelakuan biadab,” titah baginda dalam temu bual bersama Bernama.

Sultan Sharafuddin bertitah bahawa anggota Parlimen yang berperangai sedemikian sepatutnya menjadi teladan kepada generasi muda, namun sebaliknya “mereka berkelakuan seperti pembuli”.

Bulan lalu, dua anggota Parlimen telah diarahkan keluar dewan selepas berlaku pertengkaran mulut.

Sepanjang tahun ini, beberapa insiden kekecohan turut berlaku di Parlimen akibat kemarahan yang memuncak.

Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa Dewan Rakyat mesti menjadi contoh wacana demokrasi yang matang.

“Anggota Parlimen seharusnya berbahas dan berhujah secara berilmiah dan mengemukakan idea yang membina.

“Tidak perlu bersikap kasar atau menghamburkan kata-kata kesat antara satu sama lain.

“Kedangkalan sedemikian hanya akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi ini,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menyeru anggota Parlimen mengekalkan adab, berbahas dengan tertib dan memperlihatkan kematangan.

“Saya tidak berniat mencampuri urusan perjalanan Dewan Rakyat kerana itu adalah tanggungjawab Yang Dipertua Dewan, namun sesetengah perlakuan dalam Dewan Rakyat memberi gambaran buruk terhadap kepimpinan kita dan mungkin menjadi contoh tidak baik kepada generasi muda.

“Tetapi sebagai seorang Raja, beta perlu menyuarakan pandangan dan kebimbangan beta,” titah baginda sambil menegaskan bahawa perbezaan pendapat harus diselesaikan melalui kewarasan, hujah yang baik dan pendekatan yang berhemah.

-Bernama

Skandal bergayut di balkoni, lari daripada isteri teman lelaki

KOSMO
WANITA berkenaan berpaut pada balkoni apartmen. - Facebook
BEIJING – Sebuah video tular di media sosial memaparkan tindakan nekad seorang wanita di wilayah Guangdong, China bergayut pada balkoni sebuah unit apartmen kerana mahu melarikan diri daripada isteri teman lelakinya, lapor laman berita NDTV semalam.

Pasangan berkenaan dikatakan panik apabila isteri lelaki tersebut pulang ke rumah sekali gus memaksa teman wanitanya memanjat balkoni aras 10 apartmen.

Dalam video tersebut, wanita itu pada awalnya dilihat bercakap dengan seorang lelaki tidak berbaju di tepi balkoni.

Dia kemudian berpaut pada pagar balkoni secara berbahaya sebelum melangkah ke bahagian luar bangunan menggunakan paip dan gerigi tingkap.

Wanita tersebut seterusnya berpaut pada gerigi dengan sebelah tangan sambil badannya tergantung di udara ketika orang ramai memerhati dari jalan di bawah.

Sambil memegang telefon bimbit, dia berhati-hati memanjat turun ke tingkat bawah menggunakan paip luar bangunan dan birai tingkap. 

Selepas itu, wanita tersebut mengetuk tingkap jirannya untuk meminta bantuan sebelum dia ditarik masuk oleh penghuni berkenaan.

Video itu mengundang perhatian pengguna media sosial dengan ramai mengecam tindakan wanita berkenaan.

“Lelaki yang meletakkan nyawa anda dalam bahaya adalah tidak berguna,” kata seorang netizen.

“Lelaki itu tidak layak kerana meletakkan anda dalam situasi tersebut. Sila jaga maruah anda,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI