Bahang pertarungan dan pergelutan di medan Manik Urai telah pun reda dan selesai. Syabas diucapkan kepada Sdr. Mohd Fauzi Abdullah , laksanakanlah amanah yang diberi oleh rakyat itu sebaik mungkin sebagai wakil yang mewakili parti yang memperjuangkan Islam. Seluruh negara berbangga dengan pencapaian PAS itu walaupun dengan majoriti yang amat tipis kerana PAS lah satu-satunya wadah harapan yang kekal dengan prinsip dan dasar perjuangannya.
Tidak keterlaluan dikatakan PAS menang bukan lebih kerana calonnya, jenteranya atau mana-mana pemimpinnya, tetapi PAS menang lebih kerana Islam, bukan hanya di Manek Urai malah seluruh negara dari Perlis hingga ke Johor, bukan hanya PRU ke 12 malah sejak Merdeka warna Islam yang ia kibarkan itulah yang membawa barakah dan menyejukkan hati rakyat untuk mengundinya.
Kemenangan di Manek Urai ini merupakan “hatrick” ataupun kemenangan tiga kali berturut-turut buat PAS dari Kuala terengganu ke Bukit Gantang dan kini Manek Urai, suatu pencapaian luar biasa dan perkembangan baru buat parti dan gerakan Islam ini. Namun yang ketara cumalah kalau kemenangan yang sebelumnya iaitu di Kuala Terengganu dan Bukit Gantang, besar dan membanggakan (walaupun kita tidak memerintah Terengganu dan baru sahaja terlepas kuasa di Perak), walaupun bertembung dengan jentera BN yang bagaikan gergasi berkaurng emas, di Manek Urai undi kita merosot, majority kita susut dab BN berjaya menambahkan bilangan undi mereka.
Kita menang dengan majoriti 65 undi berbanding 1352 undi majoriti yang kita perolehi pada PRU ke 12 lalu. Benar “a win is a win” walau dengan 1 undi, namun sebagai sebuah gerakan Islam, parti yang bertunjangkan adab dan prinsip Islam, kita perlu bermuhasabah menyaring dan merenung dimana kekurangan dan kesilapan kita kalau mahu dibandingkan dengan di Kuala Terengganu dan di Bukit Gantang. Biar kita berterus-terang, jujur demi kelangsungan perjuangan yang maha suci ini.
Kita perlu akui suasana di Manek Urai berbeza dengan suasana mana-mana pilihanraya kecil yang melibatkan PAS sejak tahun 50-60an lagi. Suasana agak kelam, ikatan ukhuwah dan mahabbah berjemaah bagaikan diuji di sana. Kalau sebelum ini jika pun ada perbezaan pandangan sesama kita, tetapi apabila terjun ke medan perang segala-galanya diketepikan. Keutamaan adalah mempamirkan satu saf ketumbukan yang padu dan kemas bagi menggerun dan menghadapi musuh. Di Manek Urai kali ini secara jujur saya nyatakan ia tiada malah sebaliknya strategi dan pendekatan asing dibuat sehingga saf tampak tidak kemas, longgar dan renggang.
Ada yang boleh turun, ada yang dilarang. Ada poster yang boleh naik ada yang tidak. Ada yang disusun dan dibenarkan ceramah ada yang tidak. Malah ada pula yang menggunakan gelanggang untuk menyindir dan merendah-rendahkan sesama jemaah. Maaf ini tidak pernah berlaku sebelum ini.
Ahli-ahli secara matang melayan karenah ini walaupun hati luka dan gelisah. Kita tidak mahu menzahirkan kelemahan kita walaupun ada yang ghairah begitu. Tetapi kita tidak berdaya menahan persepsi mereka yang di luar saf. PAS dilihat berbeza di Manek Urai, bukan PAS yang biasa-biasa. Kerana itu samada kita sedari ataupun tidak mereka yang di luar saf yang sebelum ini pernah memenangkan kita, kini rimas dan tidak selesa dengan gelagat kita. Mereka percaya dan kasih pada PAS tetapi PAS kali ini tidak tampak bagaikan yang selalu-selalu.
Biarlah kita berlapang dada dan menyelami kekurangan ini dengan penuh adab dan disiplin Islam. Pasti ada hikmah disebaliknya.
Apa pun kepada yang ikhlas yang telah bertungkus-lumus kerana percaya pada PAS dan prinsip perjuangannya, syabas saya ucapkan. Doakanlah PAS kekal sebagaimana asalnya. Buangkan yang keruh ambil yang jernih.
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Manek Urai:Iktibar disebalik Manek Urai
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan