"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ritz-Carlton dan Marriott jadi sasaran serangan


GAMBAR FAIL... Pemandangan hotel JW Marriott yang dibuka pada September 2003. _ AP

JAKARTA: Menteri Penyelaras Keselamatan Indonesia, Widodo AS berkata, sebanyak sembilan orang mati dalam kejadian letupan di Hotel JW Marriott dan Hotel Ritz Carlton yang terletak bersebelahan kawasan Mega Kuningan di sini pagi ini.

Katanya, kejadian berlaku akibat letupan bom yang kuat yang berlaku sebanyak dua kali, berselang dua minit antara satu sama lain pada 7.45 pagi dan 7.47 pagi waktu Indonesia Barat.

"Ini jenis mempunyai ledakan tinggi," katanya kepada pemberita di depan Hotel JW Marriott tersebut, yang turut diiringi Ketua Polis Indonesia, Bambang Hendarso Danuri, Ketua Badan Inteligen Nasional, Syamsir Siregar dan Gabenor Fauzi Bowo.

Widodo yang dipetik media masaa tempatan berkata, letupan pertama terjadi di lobi Hotel Marriott dan disusuli letupan kedua di restoran di Ritz Carlton.

Menurutnya, enam orang mati di tempat kejadian di JW Marriott, dua orang di Ritz Carlton dan seorang di Hospital Medistra.

Beliau bagaimanapun belum mahu mengaitkan kejadian dengan sebarang aktiviti pengganas dan sebaliknya mahu ia disiasat dengan terperinci terlebih dahulu. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

JAKARTA: Angka kematian kejadian letupan bom dalam jarak beberapa minit di dua hotel di sini pagi ini - Ritz-Carlton dan Marriott - meningkat kepada sembilan orang, kebanyakannya dipercayai rakyat asing.

Bilangan mereka yang cedera pula cecah 50 orang, demikian kata Menteri Keselamatan Indonesia.

BERITA TERDAHULU

6 maut, 18 cedera bom letup di 2 hotel di Jakarta

JAKARTA: Angka kematian kejadian letupan bom dalam jarak beberapa minit di dua hotel di sini pagi ini - Ritz-Carlton dan Marriott meningkat kepada enam, kebanyakannya dipercayai rakyat asing.

Kira-kira 36 orang dilaporkan cedera dalam kejadian itu yang berlaku pukul 7.55 pagi Jumaat waktu tempatan.

Lobi hotel JW Marriot, yang terletak kira-kira 50 meter dari Ritz-Carlton, turut hancur dan darah banyak kelihatan di kawasan itu.

Pegawai polis dan hospital berkata, enam orang terbunuh.

Dr. Cahyonod dari Hospital Jakarta berkata, enam orang terbunuh dalam letupan di Hotel Ritz-Carlton dan Marriott pagi ini. Agensi

BERITA TERDAHULU

4 maut, bom letup di 2 hotel di Jakarta

JAKARTA: Bom meletup di dua buah hotel di sini hari ini - Ritz-Carlton dan Marriott menyebabkan sekurang-kurangnya empat rakyat asing terbunuh.

Ketua pusat krisis Kementerian Kesihatan, Rustam Pakaya berkata, dua yang lain cedera parah termasuk seorang warga New Zealand.

Unit kecemasan sebuah hospital pula berkata, pihaknya sedang merawat 15 orang.

Kolonel polis Jakarta Selatan, Firman Bundi mengesahkan empat warga asing terbunuh dalam kejadian hari ini.

Seorang saksi, Alex Asmasubrata yang sedang joging di kawasan hotel berkenaan berkata, dia mendengar bunyi letupan dari arah Hotel Marriott.

Lima minit kemudian letupan kedengaran dari kawasan Hotel Ritz.

Katanya, dia juga nampak empat mayat di kawasan Hotel Marriott.

Hotel Marriott pernah diserang pada 2003 mengakibatkan 12 orang terbunuh. Pertubuhan Jemaah Islamiyah dipersalahkan atas kejadian itu. _ AP

-mstar.com.my-

Tiada ulasan: