"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada penceroboh dapat kerakyatan Malaysia melalui Mykad biru

Saiful Bahri Kamaruddin
BANGI: Tentera dan polis perlu lebih berwaspada di perairan dan persisiran pantai negara berikutan pencerobohan pengikut-pengikut Sultan Sulu Jamalul Kiram III dan militan Barisan Pembebasan BangsaMoro (MNLF) memasuki Sabah.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Zaini Othman berkata insiden itu adalah suatu amaran bahawa bukan semua orang dari selatan Filipina yang memasuki timur Sabah berniat murni.

Ketika menyampaikan wacana bertajuk ‘Insiden Lahad Datu’ anjuran Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 4 Mac lalu, Zaini berkata walaupun Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan Sultan Sulu terhadap negeri Sabah, negara mesti bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau menganggap tuntutan ke atas Sabah sebagaimana dibuatnya kini amat lemah dilihat dari faktor sejarah dan undang-undang.

Tuntutan oleh Sultan Sulu itu adalah berdasarkan pemilikan tanah di Sabah bukannya mengenai kedaulatan negeri itu.

Kedaulatan, katanya, adalah kuasa yang kekal dan mutlak negeri - dan bukan individu - bagi ketaatan kepada pemerintah dalam wilayahnya. Kuasa ini dijadikan hakikat melalui perlembagaan dan undang-undang negeri. Apabila diperlukan polis negeri dan tentera boleh dipanggil untuk menyokong penguatkuasaan kedaulatan itu.

Beliau berkata hak pemilikan, terutamanya ke atas tanah dan sumber, dikawal dan diselia oleh kerajaan dan bukan oleh mana-mana individu atau tokoh. Maka jelas tuntutan sultan itu tertakluk kepada kuasa berdaulat Malaysia dan undang-undang negara. Penyusupan masuk pengikutnya ke Sabah baru-baru ini melanggar undang-undang imigresen Malaysia dan lain-lain peraturan. Dengan itu mereka harus di pertanggungjawab oleh pihak berkuasa Malaysia terhadap tindakan pencerobohan mereka.

Apatah lagi, kedudukan Sultan Jamalul Kiram III sendiri dipertikaikan di kalangan ahli keluarga besarnya, kerana terdapat sekurang-kurangnya lapan orang lagi saudaranya yang turut menuntut takhta Sulu di Filipina.

Zaini berkata terdapat fakta-fakta tertentu yang ramai rakyat Malaysia baru sedar apabila mendapat maklumat dari media asing ketika serangan bersenjata di Sabah baru-baru ini menarik perhatian antarabangsa.

Pertamanya, Malaysia membuat pembayaran kecil tahunan atau “pajak” kepada waris Sultan Sulu selaras dengan perjanjian yang ditandatangani oleh Syarikat British North Borneo, disamping menolak sebarang tuntutan Filipina terhadap wilayah di Sabah.

Malaysia menganggap bayaran itu adalah bagi kesultanan untuk menggugurkan tuntutan ke atas pemilikan wilayah itu. Pembayaran dibahagikan antara sembilan anggota keluarga yang menuntut kesultanan Sulu. Walaupun pembayaran pajak itu dianggap sebagai bukti pemilikan, kerana pajakan dibayar “selagi ada bulan dan bintang di langit”, pihak sultan, sebagai pemberi pajak, tidak boleh menggunakan alasan itu untuk menceroboh masuk secara keganasan.

Dalam pada itu adiknya yang juga pemimpin militan bersenjata di Lahad Datu itu, Agbimuddin Kiram adalah seorang pesara kakitangan kerajaan negeri Sabah yang pernah memegang jawatan Penolong Pegawai Daerah (ADO) Kudat. Agbimuddin hanya boleh menjadi kakitangan kerajaan jika beliau warganegara Malaysia.

Lebih mengejutkan lagi, ada di kalangan penceroboh bersenjata itu sudah pun mendapat kerakyatan Malaysia melalui MyKad biru atau status pemastautin tetap di Lahad Datu dan Semporna. Apabila mereka mendarat di daerah Tawau dan memasuki perkampungan di Lahad Datu, mereka sebenarnya bertemu sanak saudara atau pulang ke rumah masing-masing.

Beliau berkata pencerobohan itu menjadi satu pengajaran kepada negara. Yang paling utama ialah pertahanan pesisiran pantai perlu ditingkatkan dan risikan diperbaiki lagi supaya lebih mantab.

Yang menjadi tanda tanya sekarang ialah isu pendatang tanpa izin. Terdapat beribu-ribu orang dari selatan Filipina yang kini tinggal di Sabah.

Serangan oleh militan Filipina ke Sabah menunjukkan bahawa Malaysia perlu berhati-hati terhadap pendatang haram yang telah diberikan kewarganegaraan, walaupun ada Suruhanjaya Diraja menyiasat dakwaan yang mereka diberi MyKad supaya boleh mengundi.

Maka tidak hairan kenapa rakyat tulen Sabah marah terhadap pihak berkuasa kerana agenda tertentu yang menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan negeri sekarang.

Zaini Othman mendapat ijazah Sarjana muda Sains Politik di UKM pada tahun 1991 dan sarjana Sains Politik dari University of Manchester pada tahun 1995. Beliau berkhidmat di UMS sejak tahun 2004 dan pernah menyandang jawatan Ketua Program Hubungan Antarabangsa di Sekolah Sains Sosial. Beliau kini sedang menunggu mempertahankan tesis Doktor Falsafahnya.

Tiada ulasan: