Ahmad Lutfi Othman
Pagi 8 Mac 2008, saya dan keluarga baru tiba di Kampung Raja, Tunjang, dalam daerah Kubang Pasu, Kedah. Penat memandu dan keletihan menahan mengantuk, ditambah hujan sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke desa kelahiran, membuatkan saya tertidur hingga tengahari.
Biasa saja hari itu. Langit cerah. Jiran-jiran dan saudara-mara lebih awal turun membuang undi di Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, sekitar 2km dari rumah. Saya sendiri terasa malas untuk menunaikan tanggungjawab lima tahun sekali itu.
Dan, akhirnya, selepas makan tengahari dan solat Zuhur, tanpa dirancang, saya terdorong untuk mengoyak kertas undi, tanda protes terhadap kepincangan sistem dan proses pilihan raya di Malaysia.
Tiada apa yang pelik berlaku selepas itu sehinggalah menjelang maghrib. Sebenarnya, sepanjang hampir dua minggu berkempen -- tempoh yang agak panjang berbanding pilihan raya di zaman Dr Mahathir Mohamad -- saya tidak melihat pun petunjuk bahawa Malaysia rupa-rupanya berada di babak baru sejarah yang sedang dilakar.
Banyak panggilan telefon dan SMS dari rakan-rakan seluruh negara memaklumkan bukan saja satu demi satu kerusi, Dun dan Parlimen, kebanyakannya di kawasan yang tidak pernah diduga, telah dimenangi oleh PAS, DAP dan KeADILan, malah BN tumbang mengejut di beberapa negeri.
Apabila anak saya memberitahu kawannya di Ampang menghantar pesanan ringkas tentang kemenangan Khasim Abd Aziz di Lembah Jaya, Selangor, secara spontan dapat terkesan ia bukan keputusan yang terpencil.
Sebelum menzahirkan kegembiraan, saya minta anak lelaki itu mengesahkan dahulu. Kesyukuran berganda apabila dimaklumkan dua lagi kerusi, iaitu Dun Bukit Antarabangsa dan Parlimen Ampang, turut dimenangi KeADILan.
Saya menetap di Ampang sejak 1998 tetapi masih setia balik kampung setiap kali pilihan raya. Terlintas bahawa dua undi untuk PAS dari saya dan isteri hanya sia-sia saja di Selangor. Sekurang-kurangnya di Kedah, walaupun daerah Kubang Pasu dianggap kawasan kelabu buat pembangkang, saya masih dapat berangan-angan untuk melihat perubahan.
Begitulah politik. Ia bukan saja cukup dinamik tetapi sering mengejutkan. Mudah terdedah kepada perubahan luar jangka. Bukan saja Kedah menjadi milik PAS dan KeADILan, negeri termaju Selangor turut menyaksikan BN dan Dr Khir Toyo "menggigit jari".
Jika pada 1999, pengundi Cina dilihat menjadi penyelamat BN sehingga Dr Mahathir memperbanyakkan kerusi-kerusi Parlimen pengundi campuran dan tidak menambah kerusi di Kelantan, Kedah dan Terengganu, tetapi pada 2008, sebahagian besar masyarakat Tionghua dan India bertindak nekad menghukum BN.
Malam 8 Mac itu begitu hening dan syahdu. Menyelinap satu perasaan luar biasa aneh dan lazatnya. Ketika rakan saya, pemberita Harakah Perak, Johari Jaafar menelefon, jantung hampir berhenti berdegup.
Pertama, BN Perak kalah dan ia sudah cukup memeranjatkan. Kedua dan ini lebih tidak terduga, walaupun mempunyai wakil paling kecil bilangannya, kemungkinan besar calon PAS akan dilantik menteri besar. Satu lagi iktibar dapat dikutip.
Mulanya saya ketawa kecil, menganggap khabar itu tidak lebih spekulasi, tetapi selepas Johari atau lebih popular dipanggil JJ menjelaskan, saya terdiam mencari ruang untuk menarik nafas dalam-dalam. Subhanallah.
Saya pasti anda sendiri sukar mendefinisikan perasaan yang berbaur ketika menghadap televisyen ketika itu. (Apatah lagi jika bersama-sama berada di pusat penjumlahan undi). Tentu masih terbayang wajah pengacara dan pengulas TV yang kaget dan kehilangan bicara selepas mereka mendapat tahu BN tumbang satu demi satu negeri.
Bersama abang yang menetap lama di kampung, saya bergegas ke Kompleks PAS Kedah, di Kota Sarang Semut untuk merayakan kemenangan. Beberapa hari sebelum itu, di lokasi sama, saya bertemu Ustaz Azizan Abd Razak, Pesuruhjaya PAS Negeri untuk menyiapkan tugasan buat keluaran terakhir Harakah sebelum hari mengundi.
Sampai hari ini, sebaik selesai sidang akhbar Ustaz Azizan, saya tidak dapat melupakan perasaan sebak dan terharu amat sangat apabila melintasi kawasan berdekatan kediaman Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, bekas Presiden PAS yang cukup disayangi ahli-ahli parti.
Malam itu Alor Setar cukup damai, tenang dan indah. Kali kedua saya menitis air mata mengingati Ustaz Fadzil, ketika berada di tingkat atas Stadium Darulaman, malam 1 JUn 2012, menyaksikan puluhan ribu hadirin memeriahkan Himpunan Hijau ke Putrajaya.
Selepas genap lima tahun, nikmat perubahan itu wajar dikongsi oleh lebih ramai warga. Najib Razak masih belum menemui tarikh sesuai untuk cadangan pembubaran Parlimen. Jelas, dia diselaputi keluh-kesah menanti hukuman rakyat.
Ya, benar sekali, 308 (8 Mac) hanya satu permulaan.
Malaysia tidak akan berpatah surut ke belakang lagi. Acara sambutan tahun kelima kemenangan Pakatan Rakyat mungkin tidak begitu meriah. Rakyat lebih menantikan tarikh gemilang untuk menyambut pembebasan Putrajaya.
Sepatah rumusan Anwar Ibrahim: "Hari ini 8 Mac, genaplah tempoh maksima pemerintahan Datuk Najib Razak sebagai Perdana Menteri, walaupun beliau sendiri tidak pun mendapat mandat sebagai Perdana Menteri pada 2008 kerana ketika itu dipimpin oleh Tun Abdullah Badawi.
"Sekarang sudah sampai ketika di mana rakyat bangkit mempertahankan hak kuasa. Jangan dihina maruah mereka, hak mereka, harta mereka, khazanah negara jangan dirampas. Kebangkitan rakyat ini harus diteruskan dan saya yakin, InsyaAllah kita dapat merampas Putrajaya."
Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!
II. Nyanyian Anwar pun digeruni
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim terus dilanyak dan dilutu. Media di bawah kawalan dan pemilikan Umno-BN tidak pernah membiarkannya selesa. Segala yang dilihat membawa masalah besar kepada negara (sebenarnya bermasalah kepada elit penguasa) akan cuba dipamerkan sebagai berpunca daripada karenah Anwar.
Terbaru, kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Sabah yang mengakibatkan konflik bersenjata dan tragedi berdarah. Ketika rakyat dituntut bersatu menghadapi ancaman yang menggugat kedaulatan negara, sebaik berlaku pembunuhan anggota keselamatan, Anwar terus diangkat sebagai dalang atau pengkhianat.
Maka dicari dan dicipta daleh untuk mengukuhkan dakwaan. Pelik juga pendekataan yang diambil strategis kempen BN-Najib, dengan jumlah individu dan biayaan dana awam
yang besar itu.
Saya seakan-akan tidak percaya apabila media cetak dan siaran berita televisyen (apa lagi kalau bukan Utusan Malaysia dan TV3) seolah-olah mendapat peluru ajaib untuk mengaitkan Anwar, hanya melalui lagu yang sering dinyanyikan Ketua Umum KeADILan itu di pentas-pentas ceramah, di seluruh pelosok negara.
Selama ini saya jarang menonton YouTube tetapi publisiti percuma media talibarut Umno itu mendorong saya mengikuti klip video nyanyian spontan Anwar.
Boleh tahan juga mendengar lenggok suara Anwar, siap dengan lunak dan merdu secukup rasa.
Saya yakin anda akan tersenyum puas menikmatinya. Sekurang-kurangnya dapat juga melepaskan tension dan stress!
Melalui carian mudah di internet, baru saya perasan, ada beberapa lagu yang menjadi kegemaran Anwar, dan menjadi siulan penonton apabila dinyanyi rangkap tertentu yang telah diubah suai itu.
Malah, dalam banyak majlis ceramahnya, hadirin sendiri meminta Anwar nyanyikan lagu-lagu tersebut, misalnya "Tanya sama Najib" dan "Madu di tangan kananmu, Pakatan; Racun di tangan kirimu, BN!"
Menariknya, sebelum menyanyi, Anwar, bagai lagak seorang guru, seperti mengajar hadirin lirik lagu tersebut. Ya, santai dan menghiburkan.
Melalui lagi "Tanya sama Najib", Utusan dan TV3, melalui pencacai mereka -- bekas pemimpin KeADILan yang keluar parti -- cuba mengaitkan Anwar dengan pencerobohan di Kampung Tanduo. Lalu dihubungkan dengan laporan Reuters yang memetik dakwaan pegawai tinggi Filipina bahawa insiden itu berlaku atas jemputan pemimpin pembangkang Malaysia.
Waduh, mudah sekali (baca: bengong) sifirnya! Cuba teliti lirik yang dipinda Anwar itu:
Tanya sama Najib
Apa sebab goyang
Nanti jawab Najib
Sabah nak hilang!
Lirik asalnya ialah:
Tanya pada pokok
Aapa sebab goyang
Nanti jawab pokok
Angin yang goncang
Sebenarnya Anwar menyanyi lagu tersebut lama sebelum berlaku pertumpahan darah di Lahad Datu. Lagu itu hanya dinyanyikan selepas beliau menjelaskan senario terkini politik Sabah, menunjukkan negeri yang dianggap kubu kuat Umno itu mulai goncang.
Sambil berceramah, Anwar juga kerap menunjukkan foto sambutan hebat orang Sabah dalam setiap ceramahnya. Secara jelas Ketua Pembangkang itu merujuk gambar orang ramai yang bersesak di lokasi berbeda, di antaranya Papar, Tawau, Pensiangan dan Keningau.
Melalui YouTube, saya menonton satu program politiknya dan Anwar berkata: "Dan perkembangan mengejutkan di Lahad Datu, yakni kubu terkuat umno di Sabah, lihat sendiri bagaimana ramai orang hadir. Mana ada kubu Umno lagi sekarang ini?"
Pandir sekali untuk mengaitkan lagu "Tanya sama Najib" itu dengan pencerobohan di Lahad Datu. Lucu, pelik dan tak masuk akal.
Masakan jenaka melalui lagu pun sukar diterima Najib dan konco-konconya. Ataupun mereka tidak tahan mendengar bait yang akhir, yang dicipta Anwar sendiri:
Bila Sabah hilang
Umno melayang!
III. Sisipan "BANGKIT! Sekarang" dan poster Pakatan Rakyat
Sisipan khas menjelang PRU13, "BANGKIT! Sekarang" atau "Bangkit" telah menemui pembaca setia Harakah minggu lalu. Sudah dua keluaran diterbitkan. Selepas ini ia akan dikembarkan bersama setiap Harakah edisi Jumaat. Dan sebaik saja Parlimen dibubarkan, kekerapannya sama seperti Harakah, iaitu untuk edisi Jumaat dan juga Isnin.
Sebenarnya untuk tujuan kempen yang lebih menyeluruh, pihak yang berminat boleh membuat tempahan untuk mencetak "Bangkit" secara berasingan, dengan kos minimum. Untuk mendapat maklumat lanjut boleh hubungi saya atau pihak pencetak sendiri.
Saya menerima cadangan agar "Bangkit" diedarkan secara percuma, khususnya kepada audien yang belum mengenali Harakah. Bagi mereka, kandungannya cukup sesuai untuk menolak dakyah UMno-BN, selain mempromosikan produk Pakatan, terutama yang terkandung dalam Manifesto Rakyat.
Poster yang kami siarkan, dengan tema "Pakatan Harapan Rakyat" juga mendapat respons positif.
Sementara itu, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) juga membuat rayuan sumbangan orang ramai bagi membiayai proses penerbitan bahan-bahan bercetak khusus untuk PRU13. Sama-samalah kita memberi sokongan. Salurkan bantuan anda ke dalam akaun KAMI MEDIA Maybank 514075606399.
Bahan bercetak -- contohnya, sisipan "Bangkit" -- amat diperlukan dalam situasi kritikal menjelang PRU13. Ia diharapkan dapat sampai ke setiap rumah pengundi. Tajaan pihak yang berminat dan bermurah hati amat diperlukan, selain dapat membantu merancakkan lagi kempen melalui pelbagai bentuk bahan-bahan bercetak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan