"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sultan Perak tegur pemimpin suka mencela, menghina walaupun di tempat ibadah

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap segelintir pemimpin yang berperangai suka mencela dan menghina yang disuarakan tanpa segan silu termasuk di tempat ibadah.

Baginda bertitah, apa yang lebih mendukacitakan, ada pemimpin yang merasa megah dan berbangga dengan perbuatan sedemikian.

“Ia berlaku bukannya di tepi-tepi jalan atau di pasar, tetapi berlaku di pentas, tempat dan dewan yang memiliki status kemuliaan, malah ada kalanya berlaku di tempat-tempat ibadah.

“Bahasa kesat, lucah, fitnah, cerca, caci, memaki hamun dan menghina, semakin kedengaran, disuarakan tanpa segan silu, malah dilakukan oleh pihak tertentu dengan kemegahan dan kebanggaan,” titah baginda ketika Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Ke-63 di Universiti Malaya hari ini.

Baginda bertitah, ada kumpulan berpelajaran tinggi, berjawatan dan bergelaran telah mengetepikan aspek budi bahasa dan sopan santun.

Menurut baginda, rakyat dan negara tidak boleh dibiarkan menjadi mangsa kepada tindak tanduk dan perbuatan tidak bertanggungjawab sedemikian termasuk oleh pemimpin samaran yang terbentuk dalam acuan ‘guru sihir’ yang pintar.

Sultan Nazrin bertitah amatlah berbahaya kepada negara untuk membiarkan sesiapa sahaja apatah lagi dalam kalangan yang diangkat sebagai pemimpin, berperangai saling mencela dan menghina kerana ia berpotensi mencetuskan kebencian dan bakal menyalakan api permusuhan.

“Jadikan pengajaran daripada peristiwa pahit pada tahun 1969 untuk segera dilakukan langkah-langkah preventif, menghentikan suara-suara provokatif yang memilih meniupkan bara pertelingkahan berasaskan kaum dan agama,” titah Baginda

Tiada ulasan: