N Faizal Ghazali
PAS Terengganu mendakwa Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said menjalankan kempen jahat dan jijik dengan memfitnah Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Timbalan Pesuruhjaya PAS II negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, Ahmad dalam satu kempen dalam PRK Kemaman memfitnah Abdul Hadi mandi berbogel dalam kolam di Masjid Rusila, Marang.
“Ini satu tuduhan melampau dan cara kempen yang kotor dan jijik yang tidak sewajarnya dilakukan oleh Ahmad Said yang juga pencadang atau penyokong kepada calon BN.
“Saya rasa ini satu kenyataan di luar kewarasan akal, saya harap mungkin pihak polis boleh uji air kencing dia kot,” katanya dalam sidang media di Kemaman, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, PAS akan membuat laporan polis berhubung perkara itu dan beberapa perkara lain berkait kesalahan dilakukan BN sepanjang kempen PRK berkenaan.
Dalam sebuah klip video yang beredar di media sosial, Ahmad Said berkongsi kejadian yang menurutnya berlaku tiga tahun lepas.
"Tiga tahun lepas, orang ke laut, balik naik bas hari Khamis jam 5, tidur (masjid) Haji Hadi nak dengar ceramah. Dan satu ketika orang jumpa Haji Hadi mandi telanjang dalam kolah,” katanya.
Tidak dapat dipastikan tarikh dan lokasi klip video itu dirakam.
Ahmad Said dalam video itu turut membangkitkan isu perpecahan di Terengganu satu ketika dulu yang berlaku susulan perselisihan antara orang Umno dan PAS.
Satiful berkata, kempen jijik seperti itu bukan sahaja provokatif dan membuatkan orang PAS benci, malah orang BN sendiri jadi tidak selesa dan orang atas pagar juga akan turut menjauhi.
“PAS Terengganu menyarankan Ahmad Said untuk hentikan kempen-kempen yang jijik dan jahat sedemikian rupa.
“Bawalah politik matang dan sejahtera, bukannya politik fitnah, politik tuduh dan politik rekaan cerita semata-mata,” katanya.
Sementara itu, tambah Satiful, pihaknya juga mendapati kempen BN dijalankan dengan menyalahi peraturan pilihan raya membabitkan penggunaan jentera dan agensi kerajaan.
Katanya, ia melibatkan program Pengerusi Felda Ahmad Shabery Cheek bersama warga Felda yang berlangsung dalam tempoh kempen.
“Selain itu juga, terdapat juga Jualan Rahmah di Kemaman bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam tempoh PRK Kemaman.
“Ini juga mengulangi Jualan Rahmah di DUN Pelangai yang berhadapan PRK pada bulan September lepas.
“Kali ini ia berlangsung di empat dewan undangan negeri (DUN) dalam Parlimen Kemaman,” jelasnya yang berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan sewajarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan