Hishamuddin Aun
Bukan main tajam sindiran Annuar Musa terhadap Barisan Nasional (BN) yang didakwanya ketandusan calon untuk ditampilkan pada PRK Kemaman 2 Disember ini. Timbalan pengarah pilihan raya PAS itu selaku orang nombor dua kepada Sanusi Nor menyindir Umno – parti yang memecatnya Disember tahun lalu kerana melanggar perlembagaan parti berkaitan tataetika ahli – seolah-olah mempersenda pengundi apabila tidak mencalonkan pemimpin akar umbi.
Mengambil kira ucapannya itu di satu majlis ceramah perdana pengisytiharan calon PAS Khamis lalu, iaitu sebelum pengumuman rasmi calon-calon dibuat, bolehlah difahami sindirannya itu bermaksud bekas menteri besar Ahmad Said dan bekas Ahli Parlimen Kemaman Shabery Cheek, dua nama yang sebelumnya disebut-sebut mungkin dicalonkan semula oleh BN.
Pada PRU15, Ahmad yang meraih 38,535 undi tewas dalam pertandingan empat penjuru kepada calon PN Che Alias Hamid (65,714 undi) dengan majoriti 27,179 undi sambil calon PH Hasuni Sudin dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani masing-masing mendapat 8,340 dan 506 undi. Sebelum itu, pada PRU14, Shabery (37,715) yang ketika itu menteri pertanian dan industri asas tani, tewas kepada Che Alias (39,878) dengan majoriti 2,163 undi.
Diuar-uarkan juga Ahmad dan Shabery, dua tokoh yang cukup sinonim dengan Parlimen Kemaman – Ahmad juga mantan Adun Kijal selama beberapa penggal – turut dipertimbangkan sebagai calon pada PRK 2 Disember ini, kedua-duanya bagaimanapun tidak tersenarai sama ada atas keputusan BN Pusat atau kerana menolak pencalonan lantaran mereka memiliki stigma calon pernah kalah.
“Saya bersimpati dengan BN Kemaman, seramai-ramai pemimpin akar umbi Kemaman, rupanya tak ada seorang pun yang layak walaupun ada yang berpengalaman jadi menteri besar, ada yang pengalaman jadi menteri tapi tak berani nak tampil menjadi calon sehingga akhirnya seolah-olah mempersendakan rakyat Kemaman.
“Berbeza dengan parti kita, kita memberi keutamaan, pertimbangan yang mendalam dan berat walaupun kita tak tahu (pada waktu itu) siapa yang telah dipilih tapi kita tahu calon itu adalah jauh lebih baik daripada calon-calon yang telah diumumkan oleh parti-parti lain sebelum daripada ini,” kata Annuar yang sebelumnya turut dibayangkan oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai berkemungkinan jadi calon tapi tak lekat.
PN kemudian mengumumkan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calonnya manakala BN menamakan bekas panglima angkatan tentera Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, dengan kedua-duanya disahkan pencalonan untuk pertarungan satu lawan satu pada penamaan calon Sabtu lalu.
Namun, berlawanan dengan apa yang didakwa Annuar dalam ceramahnya itu, Samsuri kelahiran Jertih dan bukan anak tempatan Kemaman – yang juga ketandusan calon akar umbi seperti Umno – di samping turut mewakili DUN Ru Rendang dalam kawasan Parlimen Marang, dibandingkan dengan Raja Affandi yang mengecapi pelbagai kenangan manis membesar dan bersekolah rendah dan menengah di Kemaman.
Raja Affandi turut melihat PRK Kemaman sebagai ruang tepat baginya untuk melangsaikan ‘hutang’ kepada penduduk kawasan itu yang banyak membimbing dan membentuk peribadinya sehingga kini. “Ini macam bayar balik… saya, keluarga, anak dan cucu, kami rasa amat terhutang dengan apa yang saya nikmati, peroleh selama ini. Jadi, bila fikir semula kenapa saya tak boleh bagi balik, bukan hanya kepada kerajaan tetapi kepada tempat saya di Kemaman ini,” katanya.
Mengakui teruja dengan sambutan pengundi yang ditemuinya setakat ini sangat menggalakkan, Raja Affandi turut gembira dengan semangat luar biasa ditampilkan jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) yang membantu melancarkan kempennya.
Mungkinkah kerana ketokohan dan karisma calon BN itu, PAS yang akan mempertahankan kerusi berkenaan dilihat bersifat apologetik? Tuan Ibrahim awal-awal lagi mengingatkan bahawa PN tidak boleh terlalu yakin di sebalik maklum balas yang diterima sangat positif dan mendapat kerjasama parti-parti komponen tapi perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan.
Menyangkal dakwaan bahawa parti itu terdesak kerana tidak menyangka BN mengetengahkan seorang calon banyak berjasa dengan lebih 40 tahun dalam ketenteraan negara, pencalonan Samsuri dipertahankan sebagai didasarkan kepada kelebihan dan pengalamannya dalam politik.
“Hasrat kita jika calon menang, (ia) dapat membawa agenda negeri ke peringkat Pusat secara terus di Parlimen. Justeru, kita perlu memastikan rakyat keluar mengundi supaya peratusan dan sokongan dapat dipertingkat,” kata Tuan Ibrahim.
Samsuri sendiri pasrah yang kedudukannya sebagai menteri besar Terengganu bukan jaminan mudah untuk mempertahankan kemenangan PAS di samping berharap majoriti besar diperoleh Che Alias di kerusi itu pada PRU15 lalu tidak akan membuat jentera parti berasa selesa, sebaliknya terus bekerja keras dan jangan sekali-kali memandang rendah calon lawan.
“Saya selalu sebut dalam mana-mana pilihan raya… (situasinya) macam main bola, selagi tak habis wisel penamat, selagi itu kita berlari tak habis garis penamat, kita jangan merasa selesa (dan) kena terus bekerja hingga titik yang terakhir,” katanya.
Dalam pada itu, ia masih dilihat sebagai cabaran menggunung buat BN untuk mengubah kedudukan 40-0 di pihak lawan di Terengganu – dalam perebutan kerusi Parlimen pada PRU15, BN-Umno kecundang 8-0 selain dikalahkan 32-0 pada PRN 12 Ogos lalu. Sebelum ini, Naib Presiden PAS Idris Ahmad dilaporkan berkata rakyat Terengganu tidak rela untuk memecahkan “telur” dan masih dengan “mood 40-0”, menolak kepimpinan Umno, PKR, Amanah, dan DAP.
Namun, sindiran Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Ahmad Maslan bahawa tiada faedah rekod “40-0” itu dikekalkan kerana ia akan menyebabkan kawasan Parlimen itu “membakar satu-satunya jambatan” antara Terengganu dengan kerajaan perpaduan harus menarik juga untuk difikirkan pengundi Kemaman.
“Apa faedahnya hendak kekalkan ‘telur’ (untuk Barisan Nasional) di Terengganu. Tiada faedah pun. Sekiranya calon PAS iaitu Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar menang PRK Kemaman sekalipun, kawasan itu masih pembangkang di peringkat kerajaan pusat. Jangan ‘dibakar’ satu-satunya jambatan perhubungan ini. Gunakan peluang ini, jika tidak perlu menunggu sehingga PRU16 nanti,” katanya.
Kempen PRK Kemaman masih di peringkat awal dan belum terasa benar bahangnya. Meminjam analogi Samsuri, PN selaku pasukan tuan rumah lazimnya memiliki sedikit kelebihan tetapi pelawat, yang bermaksud BN, juga berpeluang melakukan kejutan dengan jaringan lewat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan